Friday, September 17, 2010

Adab Seorang Syeikh Tarekat Tasawuf

Selain daripada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh institusi tarekat tasawuf kepada mereka yang bergelar Syeikh atau Imam. Masih terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi oleh seseorng Syeikh atau Imam.Ini bertujuan menjaga reputsi dan nama baik institusi tarekat tasawuf. Bagi menepati adab-adab terebut tulisan Abd Qahir bin Adb Allah al-Suhrawardi dalam kitab 'Awarif al-Ma'arif serta juga catatan mengenai adab seorang syeikh yang dibuat oleh al-syeikh Muhamad Amin al-Kurdi dalam kitab Tanwir al-Qulub fi Mu'amalah 'Allam al-Ghuyub menjadi rujukan dalam perbincangan ini.Diantara adab tersebut ialah:

Pertama
Para syeikh atau Imam dilarang mempromosikan diri dengan apa cara sekalipun dengan tujuan mencari pengikut.Malahan kedatang seseorang murid untuk berguru dengannya hendaklah diterima dengan penuh rasa sedar dan berhati-hati bahawa ada kemungkinan itu merupakan satu unsur Ibtila' atau ujian daripada Allah. Maka itu setiap patah percakapan yang diungkapkan kepada muridnya hendaklah dianggap sebagai nasihat ikhlas dari seorang ayah kepada anaknya demi kepentingan anak tersebut, tidak bermaksud untuk menarik minat murid itu terhadapnya. Atas asas ini, kalangan sufi mahukan supaya setiap syeikh itu bercakap dengan muridnya itu dalam keadaan hatinya sentiasa memohon hidayah kepada Allah agar percakapannya itu adalah dalam percakapan yang benar sahaja.Ini kerana, dalam perspektif golongan sufi, satu perkataan daripada seorang syeikh yang jatuh ketelinga seorang murid itu adalah bagaikan sebiji benih yang jatuh ke tanah ; Awas biji benih yang rosak boleh menyebabkan kebinasaan, bukannya menghasilkan tumbuhan. Dalam hubungan ini' biji benih yang rosak itu ialah percakapan atau kata-kata yang berasaskan hawa nafsu, yang di dalamnya mengandungi dua matlamat:
1. Cuba memancing kegemaran orang. 2. Cinta kepada kemasyhuran dan mahukan ramai pengikut.


Kedua:
Seseorang syeikh atau Imam perlu memperuntukan masa yang khusus untuk melakukan khalwah. Seorang syeikh tidak boleh mendakwa dirinya memiliki kekuatan kerohanian yang luar biasa sehingga ia menyangka kesentiasaan bergaul dengan orang ramai serta berbual dengan mereka tidak akan memberi apa-apa kesan buruk kepada keadaan kerohanian, lalu menyebabkan tidak perlu lagi ia melakukan khalwah; sedang Rasulullah s.a.w. sendiri bersama dengan kesempurnaan halnya, masih terus melakukan qiam al-layl dan melakukan khalwah dalam proses qiyam al-layl tersebut. apa yang cukup penting dalam hal ini ialah perlunya seseorang syeikh itu mengesahkan bahawa jalwahnya sentiasa berada di bawah naungan khalwah, sehingga kegiatan jalwahnya itu boleh menjadi tambahan dan pengukuhan kepada khalwah dirinya.

Ketiga:
Seseorang syeikh itu hendaklah menyesuaikan dirinya dengan sanggup turun ketahap hal para muridnya dengan cara berlembut dan cara yang boleh menyenangkan mereka. Seseorang syeikh perlu sentiasa berlapang dada dan bersikap bertolak ansur mengenai hak dirinya sendiri. Tidaklah boleh dia menekan dan menunjukkan kehebatan serta kemuliaan dirinya sahaja. Seseorang syeikh juga tidak boleh menyusahkan muridnya sehingga ketahap mereka tidak mampu melaksanakannya semata-mata didorong oleh kehendak dirinya sendiri.

keempat:
Seseorang syeikh itu hendaklah hendaklah bersikap belas kasihan terhadap orang-orang Islam yang terdiri dari kalangan para sahabatnya, khususnya terhadap para muridnya. Dia mesti menunaikan mereka samada ketika dalam keadaan sihat atau sakit.Apakala dilihat murid-muridnya tidak berupaya melawan nafsu dan sukar meninggalkan berbagai kebiasaan hidupan harian, maka tugas seorang syeikh hendaklah memberikan nasihat secara lembut, memberikan rukhsah( keringanan ) kepada murid berkenaan, kesabarannya harus dipertingkatankan dan menjadi seorang yang pemaaf. Seorang syeikh tidak boleh tergesa-gesa menyekat muridnya daripada meneruskan perjalanan alam kesufiaannya.Malahan dengan secara lembut hendaklah ia trus memberikan bimbingan sehingga murid berkenaan mendapat hidayah Allah.

kelima:
Seseorang syeikh dengan apa cara sekalipun, mestilah membersihkan diri daripada harta benda anak muridnya. Dekian juga dia perlu membersihkan dirinya dari sebarang khidmat dan apa juga bentuk faedah yang disumbangkan oleh para muridnya. Ini ialah kerana, kedatangan seseorang murid kepadanya merupakan suatu hantaran Allah , maka itu tunjuk ajar yang disumbangkan itu mestilah diberikan dengan penuh keikhlasan demi kerana Allah. Malahan seseorang syeikh mestilah menganggap apa yang diberikan kepada muridnya itu sebagai suatu bentuk sedekah yang disumbangkan demi kerana Allah.

Keenam:
Seseorang syeikh hendaklah merahsiakan apa juga rahsia dan keaiban muridnya yang telah diketahuinya.Apakala sesorang syeikh sedar akan perilaku muridnya mulai sumbang yang mana tidak sepatutnya berlaku, atau terbentuknya unsur-unsur 'ujub dalam diri murid-muridnya, maka syeikh berkenaan tidak seharusnya menyalahkan terus murid tersebut. Malahan hendaklah ia membicarakan hal-hal berkaitan secara umum dalam jamaah, supaya ia dapat memberikan isyarat agar perkara-perkara yang tidak diingini tersebut dapat ditinggalkan segera. Pendekatan seperti ini tidak setakat menyedarkan individu berkenaan malah ia dapat memberikan peringatan dan kesan kepada yang lain.

Ketujuh:
Apabila seseorang murid menceritakan ru'yah yang dialaminya atau mukashafah yang terbuka di hatinya atau mushahadah yang tershuhud kepadanya, yang di dalam semuanya itu terdapat perkara-perkara yang istimewa, maka seseorang syeikh itu hendaklah mendiamkan dirinya sahaja tanpa banyak bercakap mengenai perkara-perkara tersebut, tidak terlalu banyak membahaskan perkara tersebut Apa yang perlu ialah syeikh hendaklah memberikan amalan-amalan tambahan kepada murid berkenaan, iaitu amalan yang boleh menolak sesuatu yang tidak baik yang mungkin timbul dari pengalamannya itu, di samping dapat ia meningkatkan lagi darjatnya ketahap yang lebih tinggi. Sebaliknya jika syeikh itu mengulas panjang sesuatu yang diceritakan oleh muridnya, disamping itu ia mengatakan tahap muridnya itu telah meningkat tinggi dan hebat maka sebenarnya syeikh itu telah mengkhianati hak muridnya itu. Sebab murid berkenaan akan merasakan dirinya telah mencapai darjat yang tinggi hasil dari pengalamannya itu, sedangkan hal yang demikian itu sebenarnya boleh menjatuhkan darjatnya murid berkenaan.

No comments: