Thursday, December 9, 2010

AL-QURAN KETETAPANNYA SEJAK DARI LUH MAHFUZ

Penurunannya Sekaligus dan Diwahyukan Secara Beransur-ansur.

Menurut Ulama Tafsir, turunnya AL-Quran melalui 3 tahap berdasarkan dalil Al-Quran dan Hadith Sohih:

1. Al-Quran di Luh Mahfuz

Firman Allah swt : "Bahkan yang didustakan mereka itu ialah Al-Quran yang mulia, yang tersimpan di Luh Mahfuz."
( Quran: al Buruj : 20-22 )

2. Al-Quran diturunkan ke langit bumi sekaligus.

Firman Allah swt : "Sesungguhnya telah Kami turunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar yang mulia, yang tersimpan di Luh Mahfuz.”
( Quran: al Qadar : 1)

Firman Allah swt : “Sesungguhnya telah Kami turunkan dia (Al-Quran) pada satu malam yang penuh berkah, sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang memberi peringatan.”
( Quran: ad Dukhan : 3)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. berkata Al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan ke langit bumi sekaligus kemudian diturunkan secara beransur-ansur’.
(Riwayat : Imam Thabrani)

Imam as-Suyuti mengemukakan bahawa al-Burthubi menukilkan hikayat ijma’ bahawa turunnya Al-Quran sekaligus adalah dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit pertama).

3. Al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah (langit pertama) dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur.

Firman Allah swt : “Al-Quran ini Kami turunkan secara beransur-ansur supaya kamu bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan Kami turunkan dia secara sedikit demi sedikit.”
( Quran: al Isra : 106)

Turunnya Al Quran dalam bahasa arab dalam tujuh huruf (dialek suku-suku bangsa arab –iaitu Quraisy, Huzail, Saqif, Hawazan, Kinanah, Tamim dan Yaman).

Hikmah diturunkan dalam 7 huruf (lahjah/dialek) bagi menyatukan suku-suku bangsa Arab.

AYAT YANG MULA-MULA DITURUNKAN DAN SURAH SEMPURNA YANG MULA-MULA DITURUNKAN

Ayat paling mula diturunkan ialah ayat 1-5 surah al-Alaq tetapi tidak sempurna keseluruhan surah Al-Alaq. Dikenali sebagai ayat menandakan kenabian Nabi Muhammad SAW.

Surah al Muddatsir : ayat –ayat paling mula diturunkan perintah tabligh (Kerasulan Baginda SAW).

Surah yang sempurna semua ayatnya mula-mula diturunkan ialah Surah Al Fatihah (bermaksud- Pembukaan).

Diriwayatkan yang demikian dari jalan Abu Ishak dari Abi Maisarah berkata : “Apabila Rasulullah SAW mendengar suara baginda pergi dengan lari dan beliau menyebutkan turunnya malaikat kepada baginda dan perkataannya : Ucapkanlah Alhamdulillahirabbil'alamin sampai akhir surah".

RUJUKAN

1. Jalaluddin As Suyuti : Riwayat Turunnya Ayat-ayat Quran, Pustaka Darul Fikir

1 comment:

jewaputra said...

Assalaamu 'alaikum Ustaz.
Al-Quran berada di Lauh Mahfuz sejak azali. Lalu, diturunkan berperingkat mengikut masa dan kejadian yang berlaku. Apa yang saya faham, segala peristiwa yang berlaku kemudiannya seperti yang terdapat di dalam Al-Quran itu sudah terdahulu tercatat di dalam Al-Quran, umpamanya kesah para Anbiya', termasuk sahabat (Ali Imran) dan lain-lannya.

Bagaimana Al-Quran itu dihimpun dan dibawa turun dari Lauh Mahfuz kepada Rasulullah?

Di dalam surah 'Abasa :15 ada menyebut,
بِاَيْدِيْ سَفَرَةٍ ۙ
Maksudnya : (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz.

Adakah Malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz untuk di bawa ke Baitul Izzah?

Pasti tulisan Al-Quran yang kemudiannya dicetak menjadi sebuah buku itu tidak sama bentuknya dengan Al-Quran yang berada di Lauh Mahfuz. Kerana tulisan yang ditulis adalah mengikut fahaman dan ilmu orang Arab. Maka tulisan itu pernah diperbaiki beberapa kali untuk memudahkan umat membaca dan memahami Al-Quran. Jadi, yang berbeza hanyalah pada bentuk tulisan tetapi sama pada bunyinya kerana Al-Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab.

Pada fahaman saya, tidak salah jika ada orang mengubah tulisan Al-Quran mengikut fahamannya sendiri untuk memudahkan dia mengingati dan menghafalnya kerana mukjizat Al-Quran itu terdapat pada 'bunyi' pada bacaannya, bukan pada bentuk tulisan Arab yang sediada. Maka apabila ia berada dalam bentuk tulisan Arab, syaitan pun tidak memahami tulisannya melainkan apabila Al-Quran itu dibacakan.
~tmj~