Tuesday, May 11, 2010

Sakinah 1

Definisi


Sakinah berasal daripada perkataan arab iaitu Sakana, Yusakinu, Sakiinatan yang bererti tenang atau aman. Didalam Tafsir al-Tobari ia mempersamakan kalimah sakinah dengan tuma’ninah atau Aminah yang bererti kedamaian. Dalam bahasa seharian kita, sakinah lebih kerap diertikan sebagai keluarga yang rukun damai atau aman tenteram.

Merujuk kepada keluarga yang rukun damai itu ialah keluarga yang memperolehi sakinah, mawaddah dan warahmah. Antara lain definisi Sakinah adalah keluarga yang memperolehi kedamaian, keamanan, kebahagian ketenteraman dan ianya dapat dirasai oleh semua anggota keluarga. Kerana semua keperluan yang dikehendaki mencukupi, baik dari segi ekonomi, kesihatan, pendidikan, komunikasi dan amal ibadat.

Mawaddah pula tidak ada rasa saling sakit menyakiti diantara suami dan isteri, malah yang ada saling sayang menyayangi, dihiasi dengan senda gurau, hormat menghormati dan saling harga menghargai diantara satu sama lain dan ianya juga dinikmati oleh semua anggota keluarga.

Sementara warohmah( ورحمة ) pula ialah kasih sayang yang meliputi semua ahli keluarga, dari suami dan isteri hingga ke anak-anak saling sayang menyayangi .

Bagaimanakah untuk mendapatkan Sebuah keluarga sakinah, bolehkan ia wujud tanpa diusahakan dan apakah proses yang perlu dilalui sebelum seseorang itu mendirikan rumahtangga, bagaimana pula mengendalikanya Semua ini boleh dibentuk sekiranya setiap suami dan isteri itu memahami konsep perkahwinan itu sendiri, kerana maksud dari perkahwinan itu adalah perkongsian hidup. Berikut adalah perkara yang perlu dilalui oleh sesiapa jua yang berhasrat mendapatkan sebuah keluarga sakinah


Konsep Perkahwinan atau Pernikahan


Agama Islam itu mempunyai system dan peraturan khusus bagi memelihara kesejahteraan masyarakat dan institusi kekeluargaan Sudah menjadi resam alam setiap individu yang berhasrat mengakhiri zaman bujang, mereka akan mencari pasangan masing-masing tidak kurang juga ada diantara mereka dijodohkan oleh orang tua. Ditahap ini ia disebut oleh syariat sebagai proses pertunangan.


Pertunangan Dan Dibenarkan Melihat Bakal Isteri atau suami

Sebelum seorang lelaki dan perempuan itu mengikat tali pertunangan kedua-dua pihak berhak melihat diantara satu sama lain mengikut had batasan yang dibenarkan syarak. Maka bagi lelaki itu dibenarkan melihat muka dan dua tapak tangan menurut kebanyakan fuqaha, kerana kdua-dua anggota tersebut sudah cukup mengambarkan kecantikan dan kejelitaan seorang wanita. Begitu juga sebaliknya pihak perempuan boleh melihat bakal suaminya mengikut keperluan syarak.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah ( saw ) di dalam hadithnya yang di riwayatkan oleh Jabir:

إذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَن يَنْظُرَ مِنْها إِلى ما يَدْعُوْهُ إِلَى نِكاحِها فَلْيَفْعَلْ.

Ertinya : Apabila salah seorang darimu meminang seorang perempuan. Jika kamu berpeluang melihatnya lakukanlah jika denganya boleh menggalakan kamu menikahinya

Manakala masa yang sesuai melihat kedua-duanya itu sebelum berlaku peminangan. ( al-khitbah ) Melihat boleh dilakukan dengan izinnya atau tidak dan boleh dilakukan tanpa pengetahuanya atau keluarganya, demi menjaga kehormatan perempuan tersebut dan keluarganya.

Hal ini wajar diberikan perhatian kerana mendirikan rumahtangga ialah perkara besar; hidup berumahtangga bukan untuk sehari dua, ianya berlanjutan sehingga kehari tua. Oleh itu wjarlah ia dilakukan supaya tidak timbul penyesalan setelah berumahtangga.


Meminang ( al-Khitbah )


Meminang membawa maksud seseorang yang menzahirkan keinginanya untuk berkahwin dengan wanita yang telah persetujuinya dengan memaklumkan hasratnya itu kepadanya atau walinya. Setelah persetujuan dari kedua belah pihak dicapai maka tali pertunanangan dimeteraikan dengan pihak bakal suami diberi tempoh yang tertentu untuk menyediakan segala persiapan dan keperluan alam rumah tangga. Tempoh ini disebut pertunangan.

Seperkara penting yang harus dingatkan kepada kedua-dua bakal suami dan isteri ini ialah bahawa pertunangan bukan bermakna mereka sudah menjalinkan kontrak perkahwinan. Hal ini disalah fahamkan oleh kebanyakan pemuda dan pemudi pada hari ini, terdapat juga sesetengah ibubapa dari kedua-dua belah pihak membiarkan hal yang dilarang oleh agama berlaku dihadapan mata mereka. Ini akan lebih membuatkan sianak tiada perasaan malu dan rasa bersalah untuk bertemu dan membawa kemana sahaja tunang mereka sesuka hati. Ingatlah bahawa kedudukan mereka ini masih tetap ajnabi, maknanya mereka masih diharamkan oleh agama Islam dari bergaul bebas, mereka sendiri harus menghad pergaulan itu, kecuali pada perkara yang diharuskan oleh syarak.


Hikmat Pertunangan ( Meminang )


Terdapat beberapa hikmah tertentu dalam peminangan itu. Agama Islam meletak amalan ini sebagai amalan yang sunat yang diamalkan oleh Rasulullah (saw ) sebelum setiap pasangan itu melangkah ke gerbang perkahwinan.

Dalam tempoh tertentu yang telah dipersetujui itu, kedua-dua belah pihak mempunyai masa yang banyak untuk mengenali diri diantara satu sama lain. Dari saat itulah masing-masing mendapat kesempatan mengenali sifat peribadi, akhlak, perangai atau tabiat dan kecenderungan pasangan masing-masing. Tetapi harus dengan cara yang dibenarkan oleh syarak, contohnya bakal sisuami boleh berziarah kerumah tunangnya atau dengan meminta kawan akrabnya yang boleh dipercayaai untuk memaklumkan akan sifat, perangai, tabiat dan kecenderunganya



[1] Ibid, halaman 37

No comments: