Tuesday, October 1, 2013

PENDEKATAN DAKWAH TERHADAP BUKAN ISLAM (NON-MUSLIM)


PENDAHULUAN

Dakwah adalah asas kepada kemunculan agama Islam dan penyebarannya. Tanpa dakwah Islam tidak muncul dan tersebar luas sebagaimana yang ada pada masa ini. Peranan dakwah yang sebegini penting dapat dilihat dengan jelas dalam sejarah kelahiran agama Islam dan perkembangannya. Setelah Rasulullah s.a.w wafat maka tugas dan kewajipan berdakwah dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam berdasarkan kepada kedudukan mereka sebagai umat yang terbaik dan paling layak bagi melaksanakan kewajipan tersebut. (Q.3:110).

Defenisi

Dakwah dari sudut etimologi (bahasa), berasal daripada perkataan arab iaitu Da'a, Yad'u, Da'watan, wada'iyatan yang memberi erti menyeru, memanggil, mengajak, mempengaruhi atau melaung. Kata dasar “dakwah” dalam penggunaan bahasa arab menurut kamus munjid al-Tullab (hlm.200) boleh diterima pakai untuk 17 makna yang berlainan.

     Manakala dari sudut terminologi (istilah), Dr.Yusuf al-Qardawi mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan ketetapannya di muka bumi, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah s.w.t sahaja, melepaskan diri daripada segala konkongan yang bukan daripada Allah s.w.t (taghut ) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah s.w.t, menafikan hak ke atas orang yang dinafikan hak oleh Allah s.w.t, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan berjihad pada jalan-Nya.

Menurut Kamus Dewan ( hlm: 244-255)
Suatu kegiatan menyeru dan membimbing (mendidik dan sebagainya) serta menyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari (menghayati) dan mengamalkan ajaran agama (agama Islam).

Menurut Muhamad Ghazali: Dakwah sebagai suatu program yang lengkap, yang semua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia, bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yg menjadi petunjuk mereka.

Istilah  Non-Muslim

Istilah ini  merujuk kepada orang-orang yang belum kembali kepada Islam atau bukan beragama Islam atau yang mempunyai kepercayaan atau agama selain dari agama Islam. Istilah Non-Muslim lebih ideal untuk digunakan dalam konteks dakwah berbanding istilah-istilah yang lain seperti al-Kufr, al Munafiq dan al-Syirik  kerana ketiga-tiga istilah ini lebih sesuai untuk diasimilasikan terhadap golongan yang menolak Islam setelah sampai kepadanya kebenaran. Maka tidak adil untuk disama-ratakan kesemua golongan bukan Islam sebagai tiga golongan di atas. Oleh yang demikian, seputar topik Pendekatan Dakwah Terhadap Non-Muslim istilah pendekatan dalam konteks ini boleh diertikan sebagai:

1. Metod; merujuk kepada kaedah, cara atau sistem penyampaian dakwah,
2. Uslub; gaya penyampaian isi atau kandungan dakwah dengan  ibarat atau bentuk tertentu dan
3. Wasilah; medium atau saluran yang digunakan untuk menyampaikan kandungan dakwah.

     Oleh yang demikian, ringkasnya topik Pendekatan DakwahTerhadap Non-Muslim merupakan suatu topik yang membincangkan tentang apakah metod atau uslub atau wasilah yang terbaik yang boleh diaplikasikan dalam usaha penyampaian dakwah Islamiyah kepada golongan bukan Islam berdasarkan kepada latar belakang sasaran (mad’u )serta kepercayaan yang dianuti.


NON-MUSLIM

Zaidan (1976: 366-390)  membahagikan orang bukan Islam kepada tiga, iaitu:

i. Golongan atasan, yang biasanya lebih banyak menentang dakwah dan sukar untuk diajak kepada Islam kerana ingin mempertahankan kedudukan mereka.

ii. Golongan orang awam, yang biasanya lebih senang menerima dakwah kerana mereka tiada apa-apa kepentingan untuk menolak Islam.

iii. Golongan munafik, yang sering melakukan kerosakan dalaman masyarakat Islam. Mereka juga susah untuk menerima dakwah kerana terikat dengan kepentingan mereka.
Selain itu, Non-Muslim atau orang bukan Islam menurut Ab.Aziz Mohd Zin (2001), terdiri daripada pelbagai kelompok dan kepercayaan, iaitu:

i. Golongan pemuja patung berhala ( golongan musyrik).

Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan penganut agama Hindu dan Buddha.Dalam kalangan golongan ini juga terdapat kelompok yang menganut kepercayaan animism iaitu mempercayai wujudnya roh semangat dan kuasa disebalik pokok, binatang dan sebagainya.

ii. Golongan yang beragama Kristian dan Yahudi.

iii. Agama Kristian dan Yahudi dikategorikan dalam kelompok Agama Samawi (Agama Langit),yang mana kedua-dua agama ini pada asalnya adalah daripada ajaran Nabi Isa a.s dan Nabi Musa a.s yang berpandukan kepada kitab Injil dan kitab Taurat, namun kemudiannya telah diselewengkan oleh para pengikutnya. Istilah asalnya, golongan ini disebut dalam al-Quran sebagai Ahli Kitab

iv. Golongan Ateisme
Golongan ini terdiri daripada kelompok yang berfahaman bebas dari ikatan agama yang ada (free thinker). Istilah asalnya, disebut sebagai golongan mulhid.

v. Golongan Munafik
Munafik iaitu golongan yang berpura-pura dan menyembunyikan isi hatinya yang sebenar. Menurut Najati (1993) , orang munafik ialah orang yang lemah peribadi, orang yang teragak-agak dan orang yang tidak boleh menentukan sikap yang jelas tentang keimanannya. Muhammad Jamil Ghazi pula menyatakan golongan munafik sebagai golongan yang semasa bersama orang mukmin mereka melahirkan keimanan, manakala ketika bersama dengan orang kafir mereka melahirkan kekufuran, perbuatan ini adalah berdasarkan kepentingan dirinya.


ASAS DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM

Asas utama sekali yang harus dilakukan oleh seorang da’ie sebelum melakukan proses dakwah Islamiyah ialah muhasabah diri serta memperbetulkan niat dan matlamat. Niat yang betul yakni, Lillahi t aa’la akan melahirkan sifat keikhlasan dalam diri seorang da'ie yang mana sentuhannya secara tidak langsung akan mempengaruhi personaliti dan karisma diri seorang pendakwah yang terzahir pada jasad. Mudahnya, akhlak yang baik adalah cerminan yang terbaik dalam proses memulakan dakwah, terutama kepada golongan non-muslim khususnya di Malaysia. Hal ini kerana, kebanyakan golongan non-muslim di Malasyia menolak dan tidak memandang Islam sebagai sebuah agama atau satu cara hidup yang terbaik adalah berpunca daripada peribadi muslim itu sendiri, sama ada golongan muslim yang berada di puncak kepimpinan mahu pun bawahanya.

      Dalam hal ini, perspektif yang salah terhadap konsep Islam dan Muslim menyumbang kepada peratusan penerimaan terhadap isi kandungan dakwah. Contohnya seperti Islam agama terrorist  kerana suka berperang, agama yang kejam, zalim terhadap penganut agama lain, Islam terlalubanyak peraturan dan menyusahkan dan lain-lain. Oleh yang demikian, perkara pertama yang terlebih dahulu perlu dilakukan oleh seorang da’ie ketika berdakwah kepada non-muslim ialah memperbetulkan misconceptions yakni salah tanggapan terhadap Islam. Jelaskan kepada mereka tentang perbezaan konsep antara Islam dan Muslim. Islam dan Muslim merupakan dua subjek nilai yang berbeza. Islam merujuk kepada satu cara hidup yang terbaik yang dianjurkan oleh Allah s.w.t yang dijamin sesuai dengan fitrah manusia pada setiap zaman.Pada Islam berdirinya prinsip-prinsip yang menjadi pegangan kepada manusia yang mengimaninya dan golongan manusia inilah yang diistilahkan sebagai Muslim.

     Maka, perbezaannya adalah jelas yang mana apa yang hendak kita sampaikan kepada mereka adalah tentang mesej-mesej Islam bukannya tentang mesej-mesej Muslim. Kembali kepada fitrah atau lumrah manusia itu sendiri, yang mana ianya tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan tidak aka ada manusia yang sempurna. Justeru itu, tidak adil untuk Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna itu dihukum atas ketidak sempurnaan penganutnya dalam menghayati norma-norma yang dianjurkan dalam Islam. Selain itu, terdapat dalam golongan non-muslim dan juga ahli keluarga mereka menyalah tafsir dan silap faham mengenai istilah Melayu dan juga Islam. Mereka menganggap orang Melayu adalah orang Islam dan masuk Islam bererti masuk Melayu. Fahaman terhadap kedua-dua istilah ini adalah salah sama sekali.

      Fahaman ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi persepsi negatif golongan non-muslim untuk menjinakkan diri atau mendekati masyarakat muslim yang dalam konteks di Malaysia majoritinya terdiri daripada orang berbangsa Melayu. Dari aspek lain mereka selalu menjadikan orang melayu sebagai contoh kepada Islam sama ada pada aspek baik dan buruk. Imej yang buruk tentang melayu tidak boleh ditempelkan terhadap muslim dan Islam. Oleh yang demikian, kesamaran tentang pemahaman masuk Islam adalah masuk melayu perlu diperbetulkan dan dijelaskan agar Islam tidak dilabelkan pada mana-mana kaum atau bangsa kerana Islam adalah sebuah agama universal dan penganutnya terdiri daripada pelbagai suku kaum dari seluruh pelusuk dunia.

      Perkara ini penting untuk dijelaskan oleh seorang da’ie dalam mendekati mad’u (sasaran) non-muslim. Analoginya mudah, umpama sebiji cawan yang kotor, andai dituangkan air yang bersih sehingga penuh pun tetap tidak akan dapat diminum, malah akan dibuang kerana ianya tetap kotor dan boleh memudaratkan kesihatan. Tetapi, seandainya sebiji cawan tersebut dibersihkan terlebih dahulu sebelum dituangkan air yang bersih ke dalamnya, air tersebut akan dapat diminum walaupun hanya sedikit. Kesimpulannya, asas dakwah terhadap non-muslim merangkumi :

1. Bina hubungan
2. Membina asas kepercayaan antara da’ie dan mad’u
3. Menghilangkan kesamaran dan salah faham mad’u terhadap Islam.


PENDEKATAN DAKWAH TERHADAP NON-MUSLIM

Di dalam rujukan utama kita yakni Al-Quran Al-Karim, Allah SWT telah menggariskan beberapa pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh seorang pendakwah dalam menyebarkan dakwah.

Firman Allah SWT ;

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan Dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.(Surah an-Nahl: 125)


Manakala, asas metodologi atau pendekatan dakwah menurut Ab. Aziz Mohd. Zin (1999) ialah ;

1. Penjelasan yang nyata dan jelas
2. Berperingkat-peringkat
3. Mudah
4. Menjinakkan
5. Adanya sebab disebalik sesuatu suruhan dan larangan.
6. Bersesuaian dengan keadaan sasaran.


     Oleh yang demikian, dalam konteks “Pendekatan Dakwah Terhadap Non-Muslim” maka beberapa pendekatan berikut boleh diaplikasikan :


1. Dakwah bil Hal

Dakwah bil hal juga disebut sebagai “Dakwah bil qudwah hasanah” yang bererti dakwah melalui tingkah laku serta contoh teladan yang baik. Ditonjolkan melalui akhlak dan nilai moral yang terzahir pada diri seseorang individu muslim. Ab. Aziz Mohd. Zin (2001) menyebut dakwah bilhal sebagai;

     Dakwah bil hal bererti dakwah melalui contoh teladan yang baik. Ia menjadi contoh teladan atau modul kepada kemuliaan dan keagungan Islam. Dakwah bilhal boleh menghilangkan perasaan prejudis dan negatif orang bukan Islam terhadap Islam. Penonjolan contoh teladan yang baik dalam kehidupan harian orang Islam satu perkara yang penting dalam dakwah kerana ia boleh memperlihatkan tentang kemuliaan agama Islam yang perlu diikuti oleh semua orang. Contoh teladan yang baik akan menjadi pengaruh yang besar kepada orang lain untuk mengikuti sesuatu cara hidup yang ditunjukkan”

     Dakwah bil hal merupakan satu pendekatan dakwah yang efektif dalam konteks psikologi dakwah kepada non-muslim. Contohnya, seperti kata pepatah, “senyum, tak perlu kata apa apa”. Menurut psikologi manusia, senyuman yang ikhlas akan membuatkan orang yang berada disekeliling kita berasa senang dan mampu menarik minat orang untuk lebih mendekati kita. Dalam hal ini, senyuman juga merupakan satu akhlak yang terpuji yang dianjurkan dalam Islam. Sunnatullah untuk kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi dalam sahihnya Rasululullah s.a.w bersabda;  “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah”. Selain itu, terdapat banyak lagi akhlak dan nilai moral yang terpuji yang dianjurkan oleh Islam dalam setiap ceruk kehidupan manusia. Bermula dari akhlak antara manusia dengan pencipta, akhlak manusia sesama manusia, akhlak manusia dengan haiwan, akhlak manusia dengan alam dan sebagainya.


2. Dakwah bil Mal

Dakwah bil mal bermaksud usaha dakwah yang dilakukan melalui gerak kerja berbentuk kebajikan, sama ada berbentuk kewangan ataupun berbentuk sumbangan tenaga dan masa. Antara yang boleh dilakukan ialah memperkasakan badan-badan zakat dan kebajikan yang ada di Malaysia dengan memperbaiki kelemahan dalaman dan luaran organisasi sama ada daripada aspek pengurusan mahu pun prosedur supaya badan-badan ini boleh menjadi penjana sumber pada kelangsungan gerak kerja dakwah kepada non-muslim.

     Dalam sektor zakat, bahagian yang boleh dibahagikan kepada golongan non-muslim hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu gerak kerja dakwah kepada non-muslim samada melalui penganjuran program-program berbentuk kebajikan atau pun bantuan saluran kewangan kepada golongan mualaf (non-muslim) yang hendak berjinak-jinak atau berminat dengan Islam) dan golongan non-muslim yang memerlukan yang layak menerima bantuan zakat (merujuk kepada bantuan yang seumpama dengannya).

     Selain itu, mengatur program-program berbentuk khidmat masyarakat atau kebajikan di hospital,penjara, rumah anak-anak yatim atau kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya non-muslim juga wajar dilakukan terutamanya kepada golongan yang lemah dan memerlukan. Program-program sebegini boleh memikat sasaran atas sumbangan dan khidmat yang diberikan.


3. Dakwah bil Kutub

 Dakwah bil kutub bererti dakwah melalui penulisan. Dalam era globalisasi kini, da’wah bil kutub tidak semestinya merujuk kepada penulisan risalah atau buku-buku, asalkan berkaitan dengan penulisan dan boleh dijadikan sebagai wasilah dakwah maka ianya boleh dikategorikan sebagai da’wah bil kutub. Contoh yang paling mudah ialah dakwah melalui Blog, Laman Web, Yahoo Group, Facebook , emel, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan banyak lagi. Dakwah melalui penulisan adalah antara metod dakwah yang paling meluas boleh diaplikasikan oleh semua orang. Apa yang dimaksudkan dengan penulisan ialah satu kegiatan memikir, mengkaji, merakam dan menulis sekumpulan pengalaman diri hasil daripada pemerhatian, Kegiatan penulisan sama ada penulisan kreatif atau non-kreatif dapat membantu idea-idea dan pemikiran serta ilmu tersebar dengan meluas. Dalam konteks dakwah, penulisan merupakan aktiviti penyampaian maklumat tentang Islam, serta mengajak manusia ke arah kebaikan dan memberi peringatan kepada manusia yang lalai.

     Antara isi kandungan dakwah yang boleh dimasukkan dalam penulisan dakwah kepada non-muslim ialah penjelasan tentang keistimewaan Islam dan keuntungan-keuntungan yang akan diperolehi melalui Islam. Dengan itu, keadilan, kesejahteraan, persamaan, peluang dalam pencarian penghidupan dan lain-lain dasar dalam Islam perlulah ditonjolkan penjelasannya supaya orang bukan Islam berasa tidak rugi apabila menerima Islam, malah sebaliknya.


4. Dakwah bil Lisan

Selain itu, dakwah kepada non-muslim juga boleh dilakukan melalui pendekatan, one to on, ceramah-ceramah umum, mousqe tour guide‟ dan lain-lain. Walau bagaimanapun, lapangan atau pun wasilah yang paling sesuai dalam usaha dakwah kepada non-muslim dengan metod billisan ialah pada majlis dialog perbandingan agama atau “interfaith dialog.” atau pun pada seminar-seminar perbandingan agama, seminar kefahaman Islam dan sebagainya. Hal ini kerana, sudah pasti kalangan hadirin yang menghadirkan diri di majlis-majlis sebegini adalah golongan yang memang ingin mengetahui tentang Islam dan apakah perbezaannya dengan agama-agama yang lain. Justeru, penekanan isi berhubung dengan wahyu dan kerasulan harus disampaikan dan dikupas dengan sebaik mungkin sesuai dengan tahap pengetahuan yang umumnya ada pada golongan sebegini serta disampaikan dengan uslub yang terbaik dan gaya bahasa yang mudah untuk difahami oleh mereka. Penekanan tentang wahyu dan kerasulan (isi dakwah) adalah untuk memberi kefahaman bahawa Islam berasal dari Pencipta alam ini dan keadaannnya berbeza sama sekali dengan agama-agama lain yang punca asalnya tidak menentu, sama ada dari pencipta atau dari pemikiran manusia. Antara yang boleh ditonjolkan ialah bukti-bukti mengenai keaslian dan kemukjizatan al-Quran, bukti-bukti mengenai Nabi Muhammad sebagai Nabi terakhir yang terdapat di dalam al-Quran dan juga kitab-kitab agama lain seperti Kitab Hindu, Bible dan sebagainya. Dalam pada itu, turut diterangkan tentang perbandingan antara Islam dengan agama-agama lain, contohnya isu tentang kepercayaan yakni akidah Islamiyah. Hal ini akan memperlihatkan kepada mereka bahawa dasar-dasar akidah dalam Islam sesuai dengan fitrah kejadian manusia, senang dan lebih mudah untuk difahami.

Firman Allah s.w.t :

Maksudnya: Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta"
                                                                                                                             

CARI PERSAMA DAN ELAKAN PERBEZAAN

Firman Allah s.w.t ;

Maksudnya:
Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai ahli kitab, marilahkepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah, Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya)maka Katakanlah kepada mereka:“Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam

(Surah Ali Imran: 64)

     Dalam keghairahan kita melakukan dakwah kepada non-muslim sama ada dakwah bil hal, billisan dan sebagainya, ayat ini mengajar kita supaya mencari persamaan ketika berdakwah. Seelok-eloknya carilah persamaan dan jauhilah perbezaan.

Hal ini kerana, dalam konteks dakwah, satu titik persamaan akan lebih mendekatkan kita dengan mereka berbanding satu titik perbezaan yang hanya akan mendatangkan pelbagai perspektif yang negatif terhadap Islam dan akan menjauhkan lagi mereka dengan kita.

Firman Allah s.w.t lagi dalam surah al-Ankabut:                

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri."
(Surah al-Ankabut: 46)

     Ayat ini menjelaskan bahawa kita dibenarkan untuk berbahas dengan non-muslim Tetapi hendaklah dilakukan dengan cara yang baik. Namun, cara yang lebih tegas boleh digunakankepada golongan non-muslim yang zalim, yakni berlaku zalim kepada golongan muslim. Walau  bagaimanapun, kita sama sekali dilarang untuk mencerca sembahan mereka serta ditegah dari memperlekehkan amalan-amalan mereka yang lain sebagaimana firman Allah s.w.t :

Maksudnya:
dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yangmereka telah lakukan.

(Surah al-An‟am: 108)



PENUTUP

Sebagai seorang da’ie limitasi tugas kita hanyalah sebagai mubaligh/ah. Tugas kita hanyalah sebagai penyampai, yang menyampaikan kepada golongan non-muslim tentang Islam. Allah s.w.t telah menegaskan bahawasanya tugas kita hanyalah menyampaikan kepada mereka petunjuk, tetapi hanya Allah s.w.t jualah yang akan memberikan petunjuk yakni hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. 

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan  disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

(Surah al-Baqarah: 272)




Rujukan:

Ab. Aziz Mohd. Zin. 1999. Dakwah di Malaysia. Kuala Lumpur:  Penerbit Universiti Malaya

Ab. Aziz Mohd. Zin.  1999). Metodologi Dakwah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

 Ab. Aziz Mohd. Zin. 1999. Pengantar Dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Dr. Abdul Karem Zaidan. 2009. Dasar-Dasar Ilmu Dakwah.  Dewan Pustaka Fajar

Dato’ Haji Mohd Amin Abdul Rahman. 2007. Panduan Dakwah Secara Pratikal. Darul Fikir Sdn. Bhd.







Saturday, July 27, 2013

SYIAH

Bahaya Syiah kepada akidah Islam dan sebagai perosak akidah Islam tidak dapat dinafikan.  Kita juga tidak dapat menafikan bahawa Syiah adalah pergerakan Batiniah dan merupakan pelopor kepada kemunculan puak-puak dan ajaran sesat dan kumpulan-kumpulan Batiniah yang lain.  Kemungkinan ada yang tidak bersetuju ini yang agak keras namun sejarah dan kajian menyebut puak-puak sesat Batiniah seperti Ismailiah, Nusoiriah, Qaromitah, Duruz, Bahaiah dan selainnya adalan pecahan dari golongan Syiah.  Percanggahan pendapat dalam menentukan Imam mereka dari keluarga Rasulullah menjadikan mereka berpecah kepada pelbagai jenis ajaran dan kumpulan.  Walaupun ada dakwaan bahawa Syiah sudah tidak mengamalkan ajarannya.  Akidah-akidahnya sudah tidak disebar dan dipegangi lagi tapi hakikatnya sukar diterima kerana adanya konsep taqiah dalam ajaran syiah.  Kemungkinan mereka bergerak dengan menyembunyikan akidah dan identiti mereka yang sebenar untuk memudahkan dakwah mereka tersebar dan perancangan politik mereka tercapai.

     Kekuatan Syiah boleh dilihat apabila mereka mempunyai kuasa, pengaruh dan negaranya sendiri.  Iran adalah negara Syiah yang tidak akan membiarkan negara sunni berdiri tegak meskipun mereka berada dalam satu barisan dengan puak sunni memerangi musuh-musuh Islam. Diperpustakaan-perpustakaan seluruh dunia, buku-buku rujukan syiah masih diguna pakai, dikaji dan dipelajari oleh puak-puak syiah.  Ajaran-ajaran mereka masih diamalkan.  Oleh itu, untuk menulis tentang ajaran sesat di Malaysia tidak lengkap tanpa menyebut ajaran Syiah bahkan ia merupakan satu kemestian untuk membuka hakikat bahawa Syiah itu adalah ajaran sesat Batiniah melalui sejarah dan ciri-ciri persamaan antara keduanya.


Syiah Di Malaysia

Syiah telah lama bertapak di Tanah Melayu bahkan ada yang berpendapat Kerajaan Islam awal iaitu Perlak dan Pasai terpengaruh dengan Syiah.  Di Malaysia, pengaruh Syiah semakin kuat selepas kejayaan revolusi Iran yang pelopori oleh Ayatullah al-Khumainy pada tahun 1989m dan terbentuknya Kerajaan Islam Syiah Iran.  Atas asas kerajaan Islam, rakyat Malaysia telah memberi banyak kerjasama dan pertolongan kepada kerajaan Islam Syiah Iran tanpa melihat pada usaha mereka untuk menyebarkan akidah Syiah di Malaysia.  Kedatangan orang-orang Pakistan dan India yang bermazhab Syiah ke Malaysia juga banyak membantu penyebaran Syiah di Malaysia.

Syiah tersebar di Malaysia dengan cepat kerana beberapa faktor:

1)      Orang Malayu Islam sangat cinta dan kasih pada keluarga Nabi Muhammad sollallahu’alaihiwasallam.  Di atas asas sayang dan cinta tersebut mereka mudah menerima dakwah Syiah yang melampau dalam membesarkan dan mengagongkan keluarga Rasulullah sollallahu’alaihiwasallam.
2)      Hukum fekah Syiah yang longgar dan mudah.  Setengah orang terpengaruh dengan hukum fekah Syiah yang lebih mudah mengikut pendapat mereka berbanding hukum fekah mazhab-mazhab lain seperti boleh jama’(himpun) solat lima waktu dalam satu waktu sahaja.  Mereka juga merasa kagum dengan keharusan nikah mut’ah dalam mazhab Syiah.
3)      Kesungguhan pendakwah-pendakwah Syiah di Malaysia.  Mereka mengedarkan risalah, majalah dan bahan-bahan edaran lain untuk menyebarkan fahaman mereka.

Bagaimana Aliran Syiah Berkembang Di Malaysia?

          Aliran syiah tersebar di Malaysia melalui beberapa cara antaranya:
1.             Ziarah rasmi dan tidak rasmi rombongan-rombongan dari pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia.  Ziarah tersebut diakhiri dengan program ceramah, keterangan berkenaan dengan akidah dan ajaran Syiah.  Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan menziarahi Iran disamping menghadiri program-program yang diadakan oleh Syiah di India, Bangladesh, Australia, Thailand, dan Kuala Lumpur.

2-           Melalui pelajar Malaysia yang belajar di Iran dan mendapat biasiswa khas dari kerajaan Iran sebagaimana terdapat juga pelajar di hantar ke Pakistan untuk mempelajari akidah dan ajaran Syiah.  Penghantaran pelajar ini bermula semenjak 20 tahun dahulu lagi.  Pada tahun 1984 seramai enam orang pelajar dari Sekolah Agama Darul al-Falah telah dihantar menyambung pelajaran di Universiti Qum di Iran.  Selepas itu dihantar pula seramai 10 orang pelajar lelaki dan perempuan daripada sekolah yang sama dan Sekolah Agama Darul al-’Atiq di Johor Bahru ke Pakitan bagi mempelajari Bahasa Parsi dan ajaran Syiah di sana.  Mereka ini apabila pulang akan menjadi pendakwah Syiah dan akan mengembangkan Syiah di Malaysia.

3-           Melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia.  Mereka mengadakan ziarah ke Pusat Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah.  Mereka memberi hadiah-hadiah yang berupa buku, majalah Syiah kepada perpustakaan umum, universiti, kolej, masjid, dan penerbit-penerbit buku.  Sebagaimana mereka juga menghantar beberapa rakyat Malaysia ke Mekah untuk menunaikan haji bersama pengikut-pengikut Syiah secara percuma dari kerajaan Iran.

4-           Terdapat bantuan dan sokongan daripada golongan akademik dan politik di Malaysia.  Sesetengah pemimpin politik pro Islam menyokong kerajaan Iran.  Antara mereka ada yang menganggap tidak ada beza antara Syiah dan Ahli Sunnah Waljama’ah kerana telah dibuang oleh Ayatollah Khumeini.  Pegawai Diplomasi Iran ada mempelawa Almarhum Dato Fadhil Muhammad Nor(1937-2002) bekas presiden PAS mengubati dan merawat penyakitnya di Tehran, Iran.  Ini menunjukkan beberapa perkara, pertama: terdapat usaha dari golongan Syiah untuk menjalinkan hubungan dengan pemimpin politik Islam di Malaysia; kedua: kehebatan pemimpin PAS sehingga disanjung dan dipandang tinggi oleh orang Syiah; ketiga: kemungkinan ada hubungan baik antara Iran dan PAS di Malaysia.  Walaupun begitu pada pendapat penulis hubungan tersebut bukanlah hubungan kerjasama untuk menyebarkan Syiah di Malaysia.


Terdapat golongan akademik yang terpengaruh dengan Syiah terdiri daripada pensyarah universiti, kolej dan lain-lain di Malaysia.  Ini memudahkan penyebaran ajaran Syiah dalam masyarakat pelajar di Malaysia apatahlagi kerajaan Iran memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia bagi melanjutkan nyambung pengajian mereka di Iran dan Pakistan.  Melalui majlis-majlis ilmu yang diadakan di universiti atau pusat-pusat pengajian yang lain, pensyarah dan guru-guru menyebarkan dakwah Syiah di majlis-majlis tersebut yang turut dihadiri oleh ulamak Syiah.  Terdapat juga pensyarah yang sengaja memberi assignment dan menugaskan pelajar mengkaji dan menyelidik tentang Syiah, membuat ringkasan teks-teks ucapan pemimpin Syiah dan seumpamanya agar mereka dapat mengenali Syiah dan terpengaruh dengannya.
5-           Menyebarkan pamplet, buku, dan majalah Syiah kepada orang ramai seperti Majalah Fatimah dan majalah al-Quds.   Buku-buku tentang Syiah juga tidak ketinggalan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti buku Nahju Al-Haq Wa Kasyfu As-Sidq yang ditulis oleh penulis Syiah yang bernama al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar al-Hiliyy telah diterjemahkan oleh Lutfi Ibrahim ke dalam Bahasa Melayu dan menjadi rujukan utama bagi pengikut Syiah di Malaysia.  Penulis buku tersebut terkenal dengan sifat khianat dalam meriwayatkan hadis sebagaimana dinyatakan oleh Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy.


Puak Syiah Di Malaysia:
Syiah telah berpecah kepada pelbagai puak dan golongan.   Puak dan kumpulan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama: Syiah Pelampau yang dikatakan oleh setengah orang telah pupus dan berakhir pengaruhnya di dunia Islam.  Apatah lagi Syiah yang ada sekarang tidak mengaku yang mereka asalnya daripada Syiah pelampau tersebut.
Kedua: Syiah Ismailiyyah yang terdapat di India, Pakistan, timur dan selatan Afrika, dan di beberapa negara Arab.
Ketiga: Syiah Imamiah atau Ithna ‘Asyariah yang tersebar di Iran, Iraq, Syria, Lubnan, Kuwait, Bahrain, negara-negara Balkan, India, Pakistan, dan selainnya.
Keempat: Syiah Zaidiyyah yang tersebar di Yaman dan ia lebih cenderung dan hampir dengan Ahli Sunnah wa Al-Jamaah 
Setiap kumpulan Syiah yang tersebut di atas pula terbahagi dan berpecah kepada beberapa kumpulan yang lain.  Oleh itu, Syiah boleh dianggap antara kumpulan yang paling banyak mazhab aliran dan merupakan mazhab tertua yang wujud selepas kebangkitan Islam.  Di Malaysia pula terdapat tiga kumpulan utama Syiah :

Pertama: Syiah Ismailiyyah Bahra Atau Tayyibiah(Syiah Taiyibi Daud Bohra)

Syiah ini pecahan daripada Syiah Isma’iliah.  Ia dikenali juga dengan nama Syiah Musta’liyah kerana mengiktiraf al-Musta’ly dan keturunannya sebagai Imam mereka.  Anak Musta’ly bernama al-Tayyib, jadi golongan ini juga dinamakan Taiyibiah.  Golongan ini banyak di India dan Yaman.  Mereka telah meninggalkan bidang politik dan berkecimpung dalam bidang ekonomi(perniagaan).  Orang India menamakan dan mengenali mereka sebagai Bohrah yang bermaksud peniaga dalam bahasa India lama.  Imam Tayyib telah masuk al-Sitr(tempat persembunyian) pada tahun 525h dan menghilangkan diri sampailah sekarang.  Begitu juga keturunannya yang merupakan Imam-imam bagi golongan Syiah Tayyibiah tersembunyi dan tidak diketahui tentangnya sehingga nama merekapun tidak dapat diketahui sampailah sekarang.  Ulamak-ulamak mereka juga tidak tahu siapa imam-imam mereka. Puak Syiah Bohrah ini berpecah kepada dua golongan:
1.    Bohrah Sulaimaniyah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama Sulaiman Bin Hasan.  Pusat bagi golongan ini ialah di Yaman sehinggalah ke hari ini.
2.    Bohrah Daudiah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama Qutub Syah Daud.  Golongan ini terdapat di India dan Pakistan semenjak kurun ke sepuluh hijrah lagi.  Pendakwah-pendakwah golongan ini menetap di Bombay.  Puak atau golongan inilah tersebar di Malaysia di kalangan pemilik kedai yang dikenali Kedai Bombay.  Terdapat tanah perkuburan dan masjid khas untuk mereka.  Pusat dakwah mereka ialah di Daerah Klang.  Pengikut golongan ini dianggar lebih kurang 200 hingga 400 orang


Kedua: Syiah Ismailiyah al-Agho Khoniyyah (Syiah Ismailiyyah Agha Khan).
Syiah ini juga pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Kumpulan Syiah ini muncul di Iran pada awal kurun ke 19 masehi.  Antara pendakwah-pendakwah mereka ialah:
1-      Hasan Ali Shah.  Dia dikenali sebagai Agha Khan Pertama.  Pihak Inggeris telah menggunakannya untuk mengetuai peberontakan sebagai satu helah bagi mereka menduduki Iran.  Dia telah dibuang negeri ke Afghanistan, kemudian dia menuju ke Bombay. Mati pada tahun 1881m.
2-      Agho Ali.  Dia dikenali sabagai Agha Khan Kedua.  Wafat pada 1885m.
3-      Muhammad al-Husainy iaitu anak Agha Khan Kedua.  Dia digelar Agha Khan Ketiga.  Dia tinggal di Eropah dan tenggelam dalam dunia hiburan dan keseronokan.  Apabila wafat pada tahun 1957m, dia telah mewasiatkan cucunya yang bernama Karim sebagai pengantinya.  Ini bercanggah dengan ajaran Ismailiyyah yang menetapkan penganti imam atau ketua mereka hendaklah anak yang sulung.
4-      Karim yang digelarkan Agha Khan Keempat.  Mengantikan datuknya pada tahun 1957m.  dia mendapat pendidikan di Amerika.
Kumpulan Syiah Agha Khan ini tersebar dan terdapat di Nairoby, Darussalam, Zimbabwe, Moghadisu, Kongo, Balgiky, India, Pakistan, Syria dan pusat utama kepimpinannya ialah di Karachi.  Di Malaysia, kumpulan ini terdapat di Lembah Klang dari kalangan pemilik kedai-kedai Peerbhai.  Pengikut kumpulan ini tidak dapat diketahui jumlahnya tetapi mengikut pendapat ia  lebih sedikit daripada kumpulan Syiah yang pertama.


Ketiga: Syiah Jaafariah atau Imamiah Ithana ‘Asyariah.

Kumpulan ini mula tersebar di Malaysia pada tahun 1979m di kalangan tenaga pengajar di universiti-universiti di Malaysia melalui buku-buku fahaman Syiah.  Pengikut kumpulan ini telah menterjemah beberapa buah buku fahaman Syiah ke dalam Bahasa Melayu.  Bilangan pengikut kumpulan ini di Malaysia mengikut sumber Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) antara 300 hingga 500 orang.  Tetapi jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dengan tepat.
Kumpulan Syiah inilah yang paling masyhur di Malaysia.  Oleh itu penulis akan menulis tentang Syiah ini dan menerangkan kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat batiniah yang terdapat padanya.

Sejarah Ringkas Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Asyariah

Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah yang terkenal dengan pangilan Syiah Imamiah muncul hasil dari percanggahan pendapat antara pengikut Syiah siapakah yang layak menjadi imam mereka selepas kewafatan Imam Jaafar As-Sodiq.  Antara mereka ada yang mahu melantik anak sulung imam Jaafar iaitu Ismail Bin Jaafar dan ada yang mahu melantik anaknya yang bernama Musa al-Kazhim bin Jaafar kerana mengikut dakwaan mereka Imam Jaafar telah menyatakan Musa sebagai pengantinya.  Kumpulan yang melantik Ismail sebagai imam mereka dikenali selepas itu dengan nama Syiah Ismailiah dan kumpulan yang melantik Jaafar pula dikenali dengan Syiah Jaafariah nisbah kepada nama Jaafar.

Kumpulan Syiah ini dinamakan Imamiah mengikut pendapat Imam al-’Asy’ari kerana pegangan dan dakwaan mereka Imam Ali bin Abi Tolib di lantik oleh Rasulullah sebagai iman penganti selepas kewafatan baginda dengan cara ‘nas’.  Mengikut pendapat lain mereka dikenali sebagai Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah kerana pegangan mereka wajib terdapat imam di setiap zaman dan ke semua imam-imam tersebut seramai dua belas orang mestilah dari keturunan Imam Ali Bin Abi Tolib.  Mereka ialah :

1-   Abu Hasan Ali bin Abi Tolib(23sblm hijrah-40h) yang digelar al-Murtadha.
2-   Abu Muhammad Hasan bin Ali(2-50h) yang digelarkan az-Zaky.
3-   Abu Abdullah Husein bin Ali (3-61h) yang digelarkan Sayyid as-Syuhada’.
4-   Abu Muhammad Ali bin Husein(38-95h) yang digelarkan Zainal Abidin.
5-   Abu Jaafar Muhammad bin Ali(57-114h) yang digelarkan al-Baqir.
6-   Abu Abdullah Jaafar bin Muhammad(83-148h) yang digelar as-Sodiq.
7-   Abu Ibrahim Musa bin Jaafar(128-183h) yang digelar al-Kazhim.
8-   Abu Hasan Ali bin Musa(148-203h) yang digelarkan ar-Redha.
9-   Abu Jaafar Muhammad bin Ali(195-220h) yang digelar al-Jawwad.
10-Abu Hasan Ali bin Muhammad(212-254h) yang digelar al-Hady.
11-Abu Muhammad al-Hasan bin Ali(232-260h) yang dikenali sebagai al-’Askary
12-Abu al-Qasim Muhammad bin al-Hasan(256h-) yang digelar al-Mahdy yang merupakan Imam yang ke dua belas


Pengikut Syiah Imamiah berpegang bahawa Imam mereka yang terakhir iaitu al-Mahdy telah masuk ke dalam sardaba/bilik bawah tanah dalam rumah ayahnya dan terus ghaib sampailah sekarang. Mereka bercanggah tentang umur al-Mahdy semasa beliau ghaib. Ada yang berpendapat umurnya pada masa tersebut ialah empat tahun dan ada yang berpendapat lapan tahun.










Friday, July 26, 2013


Kenali Syiah

Definisi (شِيْعَة) Syiah Dan Tasyayyu' (تَشَيُّع) Dari segi etimologis (bahasa), Syiah bererti "Para Pengikut, Penyokong, Pendukung atau Pembela". Contohnya: Syiah Ali, bermaksud satu kelompok yang berupa "Penyokong, pendokong atau pembela Ali". Menurut Terminologi (istilah) syara, Syiah bermaksud "Sesiapa yang mengangkat kepimpinan Ali radiallahu 'anhu dan anak-anaknya". Dan apabila disebut si Fulan itu Syiah maka dia menganut atau berfahaman Syiah.

Tasyayyu' (التشيع) pula menurut keterangan Syeikh al-Mufid ialah: التشيع لغة : هوالاتباع على وجه الدين والولاء للمتبوع على الاخلاص.

"Tasyayyu' menurut etimologi adalah sikap mengikut yang didasari agama dan mengangkat orang yang diikuti dengan ikhlas". Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman kalimah syiah dalam erti faktual suatu kelompok atau fahaman belum wujud dan belum terbentuk. Tetapi kelompok ini lahir ketika terjadinya pertikaian dan peperangan antara Syiah (penyokong) Ali dan Syiah Muawiyah. Hanya kelompok Syiah di waktu itu kesemua mereka berfahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Abdullah Bin Saba' (Si Munafik)

Abdulah bin Saba' adalah seorang pendita Yahudi dari Yaman. Berpura-pura masuk Islam (secara nifak) di zaman Khalifah 'Uthman bin Affan radiallahu 'anhu. Dialah pereka ajaran Syiah yang ekstrem yang menjadi punca bersemaraknya perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam terutama dalam kelompok Syiah itu sendiri. Abdullah bin Saba' pernah berkata yang ditujukan kepada Khalifah Ali radiallahu 'anhu: "Engkaulah Allah". Maka Ali mengisytiharkan bunuh terhadap Abdullah bin Saba' tetapi ditegah oleh Ibn Abbas. Penyokong Ali membuangnya ke Madain (Ibu Negeri Iran lama).

Abdullah bin Saba' orang pertama mengkafirkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman dan tidak mengiktiraf kekhalifahan kecuali hanya dari kalangan Ahli Bait". Seorang ulama Syiah Muhammad Husin al-Zain pernah memperkatakan tentang Abdullah bin Saba': "Abdullah bin Saba' mengeluarkan qaul (yang sesat), mengajarkan fahaman yang ghalu (keterlaluan)..... dan perbuatannya sangat melampaui batas".

Saad bin Abdullah al-Qumy seorang ulama, pemimpin serta ahli hukum Syiah yang lahir pada 229H mengakui wujudnya Abdullah bin Saba'. Beliau menyebut beberapa nama orang yang berkonspirasi yang digelar sebagai Saba'iyah. Menurut beliau lagi bahawa komplot Saba'iyah adalah firqah pertama dalam Islam yang mengeluarkan perkatan-perkataan yang ghalu (keterlaluan). Saad bin Abdullah al-Qumy ulama besar Syiah yang masyhur ini telah memastikan bahawa Abdullah bin Saba' adalah orang yang mengeluarkan perkataan dan menampakkan dirinya mengecam dan menentang Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman radiallahu anhum serta tidak mengiktiraf kekhalifahan mereka.

Pegangan Syiah Imamiyah yang ada sekarang adalah berasaskan ideologi dan doktrin sesat Abdullah bin Saba'. Fahaman ini disampaikan (dipelihara) dalam bentuk riwayat hadis yang dinasabkan kepada keluarga Nabi (Ahli Bait) dengan penuh kebohongan tetapi diterima oleh mereka yang jahil.

Syiah Mengkafirkan Para Sahabat

Agama Syiah mengkafirkan para pembesar sahabat secara umum. Pengkafiran ini boleh dilihat dalam kitab-kitab besar Syiah yang ditulis oleh ulama mereka, contohnya ialah wasiat para ulama mereka:

1. Abu Ja'far berkata:

"Semua manusia (kaum muslimin Ahli Sunnah wal-Jamaah) menjadi Ahli Jahiliyah (kafir/murtad setelah kewafatan Rasulullah) kecuali empat orang, Ali, Miqdad, Salman dan Abu Dzar".

2. Al-Kulaini mensifatkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman telah terkeluar dari kalangan orang yang beriman (murtad/kafir) lantaran tidak melantik Ali sebagai khalifah setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam wafat. Malah al-Kulaini mengkafirkan seluruh penduduk Mekkah dan Madinah. Menurut Kulaini: "Penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah dan penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah dengan terang-terang".

Al-Kulaini juga menetapkan dalam kitabnya al-Kafi: "Sesiapa yang tidak beriman kepada Imam Dua Belas maka dia adalah kafir walaupun dia keturunan Ali atau Fatimah".

3. Al-Majlisi seorang ulama besar Syiah menegaskan: “Bahawa mereka (Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman) adalah pencuri yang khianat dan murtad, keluar dari agama, semoga Allah melaknat mereka dan semua orang yang mengikut mereka dalam kejahatan mereka, sama ada orang dahulu atau orang-orang kemudian".

Budak Ali bin Husin berkata: "Saya pernah bertanya kepada Ali bin Husin tentang Abu Bakar dan 'Umar. Maka dia menjawab: Keduanya kafir dan sesiapa yang mencintainya juga kafir".

4. Abu Basir (ulama Syiah) menegaskan: "Sesungguhnya penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah secara terang-terang dan penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah, lebih buruk tujuh puluh kali dari penduduk Mekkah". Demikianlah kenyataan, fatwa, kepercayaan, pandangan dan tuduhan jahat para ulama Syiah terhadap Ahli Sunnah wal-Jamaah sama ada terhadap ulama atau orang awamnya. _

_______________ Al-Quran Menurut Syiah

Menurut kepercayaan penganut Syiah al-Quran yang ada sekarang sudah diubah-suai, ditambah dan dikurangi oleh para sahabat dan tidak asli. Al-Quran yang asli berada di tangan Ali yang kemudian diwariskan kepada putera-puteranya. Menurut Syiah lagi bahawa pada masa sekarang ini al-Quran yang asli berada di tangan Imam Mahadi al-Muntazar. Al-Kusyi pula berkata:

"Tidak sedikitpun isi kandungan di dalam al-Quran (yang digunakan oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah sekarang, Pent.) yang boleh kita jadikan pegangan".
Menurut para ulama Syiah: “Seseorang itu akan dianggap kafir dan masuk neraka kerana tidak mengikut Imam Dua Belas Syiah atau kafir terhadap Syiah”. Syiah banyak merubah ayat-ayat al-Quran dan tafsirannya. Contohnya ayat:

مَاسَلَكَكُمْ فِى سَقَرٍ "Mengapa kamu masuk neraka?"

(Menurut penafsiran ulama Syiah): قَالُوْا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّيْن

"Orang-orang kafir menjawab, Kami tidak solat". Ulama Syiah merubah tafsirannya yang sebenarnya kepada maksud dan tafsiran: "Kami (masuk neraka kerana) tidak mengikut Imam (Syiah)". Begitulah kekarutan, khurafat dan batilnya kepercayaan penganut syiah yang telah disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagai akidah yang sesat lagi menyesatkan.

______________Hadith Menurut Syiah

Syiah menolak hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh muhaddis Ahli Sunnah wal Jamaah, seperti Imam Bukhari, Muslim, Turmizi dan yang lainnya. Syiah hanya menerima hadis yang diriwayatkan oleh perawi Ahli Bait. Menurut Syiah hadis bukan semata-mata dari Nabi tetapi dari Imam Dua Belas yang maksum. Nilai perkataan imam yang maksum senilai dengan wahyu dan sabda nabi.


brsmbg...







Tuesday, February 12, 2013


Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day) (Johor) 2005/69/8 Akidah

Tarikh Keputusan: 27 Dec, 2005

Huraian Tajuk/Isu:

Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day)

PENGENALAN

Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

” Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.

Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

Keputusan:

KEPUTUSAN FATWA

Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih ( Valentine’s Day ) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut :

Alhamdulillah fatwanya adalah seperti berikut :

” Amalan merayakan hari kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut. ” والله أعلم بالصواب

NOTA : Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 Miladiah di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day, tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah:

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut :

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang atau jika tidak sempat tidak menyatakan kasih padanya, setidak-tidaknya kita tidak memarahi pasangan kita pada setiap hari, sayangilah dia.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barang siapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.

Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari yang kita lalui sebagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.

والله أعلم بالصوب

Ruj: Fatwa Johor dan Majlis Fatwa Kebangsaan.