Tuesday, November 13, 2012

AKIDAH AHLI SUNNAH DAN PERTENTANGANNYA DENGAN ALIRAN WAHABIYYAH


Ajaran Golongan Wahabi yang bertentangan dengan Aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah

Ramai orang merasakan golongan ini hanya pembawa bid'ah dalam masalah Furu’ (cabang) semata-mata tetapi sebenarnya golongan ini membawa sebesar-besar bid’ah dalam masalah ‘aqidah.

Antara ajaran golongan ini yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah ialah menolak dan merendah-rendahkan pengajian sifat 20. Sebaliknya mereka membawa kaedah tauhid yang baru iaitu pembahagian Tauhid yang tiga:

Definisi tauhid 3 disisi aliran Wahabi:

1. Tauhid Rububiyyah.

Tauhid bagi mereka yang menyembah berhala. Kononnya mereka yang menyembah berhala untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sementara berhala merupakan pengantara antara hamba dan Tuhannya.

2. Tauhid Uluhiiyah Tauhid bagi mereka yang beribadah hanya kepada Allah semata-mata dengan tiada sebarang perantara.
3. Tauhid Asma wa Sifat
Beriman dengan ayat-mutasyabihat secara zahirnya. Seperti dikata Allah itu bersemayam di atas ‘Arasy dan lain-lain lagi

Bagaimana mungkin tauhid itu terbahagi kepada tiga?

Sedangkan tauhid itu hanya satu iaitu mengesakan Allah dan tidak sama sekali membeza-bezakan seperti tauhid yang tiga ini.

Dengan menerima konsep tauhid rububiyyah dan uluhiyyah mengikut pentafsiran seperti ini, maka banyak amalan-amalan yang diperakui baik menjadi sesat dan boleh membawa syirik kepada pelakunya. Seperti amalan maulid nabi s.a.w. marhaban, berdiri selawat, tabarruk (ambil berkat), tawssul (berwasilah) ziarah makam para nabi, para Rasul, auliya’ dan para solihin.

2. Bolehkah kita mengikut Sebahagian ajaran/amalan wahabi atau tidak perlu langsung.

Penjelasan tentang aqidah dan amalan agama telah jelas dan nyata umpama matahari di siang hari.Para ulama’ telah meninggalkan penjelasan agama dengan sejelas-jelasnya dalam seluruh bidangnya di dalam kitab-kitab yang sampai kepada kita.

Jika begitu tiada keperluan lagi merujuk kepada saranan dan amalan aliran wahabi, kerana telah dibuktikan dalam banyak hal di mana mereka telah menyelewengkan pengertian ayat-ayat al-Quran, hadith dan pandangan para alim Ulama’ silam.

Bahkan telah dibuktikan mereka telah melakukan pemalsuan terhadap kitab-kitab ulama’ silam dengan tujuan supaya dapat mengelirukan umat Islam dan mengikut telunjuk mereka.

Berkemungkinan terdapat juga amalan-amalan yang betul, akan tetapi kalaulah kebenaran sudah bercampur baur dengan kebatilan, akan menjadi kesusahan kepada orang awam untuk menentukan yang mana satu betul dan mana yang salah! Mungkin perkara benar dikatakan salah, dan yang salah dikatakan benar dan diamalkan sehingga keakhir hayat. Maka ini akan mengundang kita kepada kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat.

Oleh itu jauhilah ajaran ini dan berpeganglah dengan amalan-amaln yang disepakati ulama’, insyallah selamat dunia dan akhirat.

3.Apakah akibatnya jika kita mengamalkan ajaran wahabi dari sudut akidah, ibadah dan sosial?

Akibat dari sudut akidah pastinya sangat bahaya, sebab bila tergelincir seseorang muslim dalam akidah akan membawa kegelinciran dalam soal-soal lain.

Selain itu konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di sisi kaum Wahabi membawa implikasi kepada syiriknya amalan maulud Nabi, bacaan berzanji, berdiri kita selawat, marhaban dan memuji-muji Nabi s.a.w. , Menziarahi kubur Nabi s.a.w. amalab tabarruk (ambil berkat) dan lain-lain lagi

Dari sudut ibadah pula banyak amalan-amalan baik yang tergolong dalam bid’ah hasanah dianggap sebagai buruk dan seterusnya masyarakat mula meninggalkannya. Contohnya amalan membaca Yasin di malam Jumaat adalah merupakan amalan baik, setidak-tidaknya kita dapat membaca al-Quran dalam seminggu.

Ini adalah implikasi dari penta’rifan bid’ah yang telah disalah ertikan oleh golongan Wahabi, di mana mereka mengatakan pengertian bid’ah itu segala amalan yang nabi s.a.w. tidak lakukan semasa hayat baginda.

Sementara kita jumhur ulama’ menta’rifkan bid’ah dhalalah itu apabila ianya bertentangan dengan kandungan al-Quran, al-Sunnah,al-Ijma’ dan Qias sahaja dikatakan sebagai bid’ah dhalalah (sesat) dan dilarang untuk beramal dengannya.

Sementara amalan-amalan yang ada sandaran dari dalil-dalil samada dari nas-nas yang bersifat khusus atau umum adalah dianjurkan untuk diamalkan selama mana tidak terdapat nas-nas yang melarang daripada ia diamalkan.

Dari sudut sosial pula dengan munculnya golongan ini akan menimbulkan perpecahan, perbalahan di dalam masyarakat dan perpecahan itu sangat di larang di dalam agama. Yang lebih membimbangkan fahaman golongan ini sudah menjadi kenyataan dan telah mendorong para pengikutnya kepada Islam militan jauhilah golongan ini demi keselamatan akidah, ibadah dan keharmonian dalam bermasyarakat.

4. Bagaimanakah kedudukan pengikut Wahabi dari segi pandangan Islam, samada mereka termasuk dalam golongan musyrik atau sebagainya?

Dalam akidah ahli sunnah wal Jamaah kita diajar supaya tidak kafir mengkafirkan. Walau pun telah jelas para alim ulamak mengolongkan mereka sebagai golongan yang sesat, namun tidak sesekali mengkafirkan mereka. Ramai dari kalangan ulamak yang mengolongkan mereka sebagai ahli bid’ah. Namun Rasulullah s.a.w. menegaskan di dalam hadithnya betapa golongan sesat ini telah dijanjikan nereka untuk mereka dan menjanjikan syurga kepada golongan ahli sunnah wal Jamaah.

Terkadang golongan ini mendabik dada mengaku sebagai ahli sunnah wal Jamaah sedangkan hakikat sebenarnya adalah mereka pembohong yang nyata. Kerana telah terbukti aliran ini bertentangan dengan pengajian ahli sunnah wal Jamaah. Kita menyarankan kepada para pengikut golongan ini agar bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

5. Bagaimana hubungan kita dari segi perkahwinan dan hubungan-hubungan yang lain termasuk sama ada mereka boleh menjadi Imam, penerima zakat dan sebagainya?

Selama mana kita kta tidak mengkafirkan golongan ini, maka mereka masih dikategorikan sebagai saudara sesama muslim yang lain. Walau pun begitu adalah tidak wajar mempertemukan perkahwinan dengan golongan ini kerana berkemungkinan akan membawa perbalahan dalam rumah tangga. Sementara dari sudut menjadi Imamah di dalam solat adalah digalakkan kita berimam dengan imam yang betul akidah dan amalannya. Walau pun begitu sekiranya kita terpaksa berimamkan dari golongan ini, para ulamak mengatakan sah tetapi dianggap makruh. Sementara itu dalam soal sebagai penerima zakat, hulurkanlah zakat kepada mereka-mereka yang bukan tergolongan dari kalangan ahli bid’ah ini.

6. Adakah golongan Whabiyyah dari kalangan SALAF?

Mereka yang mendakwa mereka dari golongan salaf masa kini sebenarnya membawa akidah yang bertentangan dari akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulin.

Ramai para ulamak tidak menyedari hakikat kesalahan akidah yang sedang di promosi oleh golongan ini. Mereka bergerak dengan menimbulkan isu-isu khilafiyyah seperti qunut, tahlil arwah, amalan Yasin di malam Jumaat, talqin dan lain-lain.

Setelah dirasakan masyarakat boleh menerima perkara-perkara yang lebih berat barulah mereka mengorak langkah untuk agenda selanjutnya.

Akidah yang dipromosikan oleh golongan ini adalah akidah “Tashbih dan Tajsim” (menyerupa / menjisimkan zat Allah). Ini terbukti apabila kita meneliti seluruh penulisan golongan ini dalam pelbagai bahasa. Bagi kita yang berbahasa Melayu dapat membuktikan kesesatan golongan ini melalui penulisan mereka di maqalah-maqalah, laman web, majalah-majalah, diskusi, kertas kerja dan pelbagai sumber yang lain.

Adakah begitu rupa pandangan salaf dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat? Tidak sama sekali. Bahkan dua mazhab yang masyhur di sisi ulamak dalam memahami mutasyabihat, Mereka (salaf dan khalaf) melakukan “takwidh dan takwil”.

Di kalangan para sahabat yang secara jelas mengamalkan takwil seperti Saiyidina Abbas, Ibnu Mas’ud, Saiyidin Ali r.a, Hasan al-Basri, Imam Malik, Imam Auzi’, Qatadah, al-Thauri, Mujahid, Ikrimah dan lain-lain yang tersebut banyak nas-nas mereka di dalam kitab-kitab tafsir. (Ruj: Ahli sunnah al-Asya’irah-Hamad al-Sinan/Fauzi al-‘Anjary, halaman 157, terbitan Dar al-Dhia’ Kuwait.)

Jadi mereka ini adalah dari kalangan yang medominasikan akidah Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Jadi telah jelaslah mereka ini bukan dari golongan yang berakidah seperti orang salaf.

7. Apakah  Mereka Golongan Salafiyah Moden

Golongan ini adalah golongan Wahabiyyah yang diberi penjenamaan semula selepas istilah Wahabiyyah memberikan respon yang “salbi’ negetif. ( salafiyyah :Dr. Saed Ramadhan al-Buty).

Dahulu lebih dikenali dengan faham kaum muda di Malaysia atau Muhamadiyyah di Indonesia. Mengenai kaum muda telah diberi ulasan di dalam kitab Fatwa Mufti Kerajaan Johor, iaitu al-‘Allamah Duo’ Sayyid Alawi bin Tahir al-Hadad yang tegas sifatnya iaitu:

“ Yang dikatakan Kaum Muda pada maksud zaman ini iaitu: Satu kumpulan orang yang tidak cukup mengerti dan faham tentang agama Islam, mereka bersungguh-sungguh hendak menghampiri dan menyatukan agma Islam kepada agama yang lain. Apa jua perkara yang terbit daripada agama kristian dan Majusi mana yang dipandang molek dan elok pada zahirnya berkehendak mereka memalingkan hukum-hukum Islam kepadanya seperti berkata sesetengah daripada mereka itu mengatakan babi itu suci... (FMKJ:Dato’ Sayyid Alawi: 397-398)

Apa juga golonngan ini mengelarkan diri mereka dengan Istilah Faham Sunnah, Manhaj Sunnah, Ittiba’ Sunnah, Ansar Sunnah dan berbagai istilah lain. Awas dengan golongan ini.

8. Pandangan para umala’ terhadap gerakan Salafiyyah al-Wahabiyyah.

Golongan ini telah bergerak pada kurun yang ke 12 Hijrah di Najd, Jazirah Arabiyyah. Di sebutan oleh ibn Humaid, Mufti Hanabillah di Makkah, bahawa fahaman Muhamad Abdul Wahab menyebarkan kesesatan ke serata alam. (al-Sulub al-Wahabiyyah-Ibnu Humaid, halaman 275, 276, 277).

Menjadikan Ibnu Taimiyyah dan Ibu Qaiyim sebagai Idola dalam memahami akidah, syari’ah dan akhlak. Golongan ini menentang amalam Taqlid dan Ijma’ ulama’ (al-Sawa’iq al-Ilahiyyah-Syeikh Sulaiman Abd Wahab). Fahaman yang membawa trend ‘Takfir , Tabdi’, Tafsiq, Syirik, sesat dan dan berbagai lagi. Siapa sahaja yang bercanggah pendapat dengan faham ini akan digelar dengan pelbagai gelaran buruk yang mudah terpacul dari mulut mereka.

Paling membimbangkan sesiapa jua yang bercanggah pendapat dengan mereka, bukan sahaja di anggap sesat dan syirik bahkan mereka mengharuskan pertumpahan darah.( Radd al-Mukhtar-Ibnu ‘Abidin hlm: 414) Ibnu ‘Abidin menganggap golongan ini sama dengan golongan Khawarij di zaman ini.

Dr.Saed Ramadhan al-Buthy menyatakan dalam satu ruang bahawa fahaman Wahabiyyah adalah fahaman yang dirancang oleh Bristish Yahudi tujuan memporak perandakan kesatuan Umat Islam ( www.buthy.com). Sementara Syeikh Zaki Ibrahim ]dalam kitabnya “al-Salafiyyah Mu’asarah ila aina? Man hum Ahlussunnah Waljama’ah?] menyatakan dengan jelas golongan Wahabiyyah adalah fahaman yang bertopengkan Fahaman Salaf.

Sedangkan tujuan mereka sebenarnya hanya untuk mempropagandakan nama salaf untuk meyakinkan umat Islam agar menyokong gerakan ini, bahkan beliau menyatakan dengan berani golong ini sebenarnya adalah anak cucu peninggalan Khawarij. (al-Salafiyyah al-Muasarah ila aina… Syeikh Zaki Ibrahim ,Raid ‘Asyirah Muhamadiyyah, Rais Majlis Sufi, hlm: 23)

Dalam kitab Senjata Syari’at yang telah ditashihkan oleh tiga orang tokoh besar seperti Syeikh Abdullah Fahmi, Hj Ahmad Tuan Husin Pokok Sena dan Hj Abdulah Abd Rahman Merbuk Kedah ada menyatakan tentang kitab ‘Zaad al-Maad” karangan Ibnu Qayyim al-Jauzi sebagai kitab yang terkeluar dari aliran ahlu Sunnah wal Jama’ah, ( Senjata Syari’at, Abu Qaniah, hlm: 19) kerana ia menyebarkan fahaman aliran Ibnu Taimiyyah.

9. Gerakan Kaum Muda / Wahabi di Malaysia

Ia telah bermula pada tahun 1950an ini bermakna ia telah berlaku sebelum merdeka, yang telah bergerak di arab Saudi pada kurun ke 12Hijrah. Di Indonesia mula berkembang sekitar tahun 30 atau 40an.

Antara tokoh-tokoh Wahabi yang bergerak dan menonjol di Malaysia seperti Syeikh Abu bakar Asy’ari di negeri Perlis dan Syeikh Ibrahim al-Aqidi di Pulau Pinang. Dari kata-kata orang-orang tua mereka, mereka berdua merupakan anak didik kepada Hasan Bandung yang mengerakkan Muhamadiyyah di Indonesia. Perlu di jelaskan Muhamadiyyah adalah pengerak utama fahaman Wahabi di Indonesia dan mempunyai pengaruh yang amat besar.

Fahaman kaum muda yang berteraskan fahaman Wahabi telah bertapak di Perlis dan di beberapa tempat di Pulau Pinang sejak tahun 50an hasil dari gelombang kaum muda yang didokong dua tokoh tadi. Para ulama’ pada masa itu telah bangun dalam menangani golongan ini, diantaranya pertemuan dua pihak yang telah dihadiri Syeikh Ghazali Mufti Perak,syeikh Abu Bakar al-Bakir dan ulama’-ulama’ lain, pertemuan itu turut di sertai oleh tokoh kaum muda ia Syeikh Abu Bakar al-Ays’ari, Ibrahim al-‘Aqidi dan lain-lain.

Selain itu penulisan para ulama’ dalam menjawab serangan golongan ini, seperti penulisan Syeikh Abd Qadir al-Mindili yang berjodol ‘Sinar Matahari buat Menyuluh Kesilapan Abu Bakar Ays’ari’ yang telah dicetak di Mesir pada Muharram tahun 1379 Hijrah beberapa tahun selepas merdeka.

Pertemuan itu berakhir dengan kegagalan Syeikh Ibrahim al-Aqidi menjawab beberapa soalan yang di ajukan sehingga beliau jatuh dari kerusi dan meninggal dunia. (Dr. Harun Din:www.al-Subki.com).

Begitu juga penulisan Abu Qaniah dan Abu Zahidah yang berjodol ‘Senjata Syari’ah yang dicetak pada 23/7/1953 telah ditashihkan oleh syeikh Abdullah Fahmi, Hj Ahmad Tuan Husin Pokok Sena dan Hj Abd Rahman bin Hj Abdullah Merbuk Kedah, menjadi bahan bukti betapa wujudnya gelombang Kaum Muda yang berpaksikan ajaran Wahabi tersebar di Malaya sebelum merdeka lagi.

Selain itu surat wasiat Syeikh Abdullah Fahmi juga menjadi bukti mengingatkan orang-orang Islam di Malaya agar berhati-hati dengan golongan Khawarij yang berjaya memasuki Negara pada masa itu.(www al-Subki.com).

10. Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim dan Gerakan Wahabi

Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim adalah ulama’ kurun yang ke tujuh Hijrah. Gerakan Wahabi telah menjadikan dua orang tokoh ini sebagai asas pegangan dalam semua persoalan Islam. Ini terbukti bila mana kitab-kitab yang menjadi rujukan asas dalam penulisan dan pemikiran mereka berdasarkan kitab-kitab karangan dua tokoh ini.

Gerakan ini bekerja keras menghimpun dan menyebarkan segala penulisan dua tokoh ini dalam pelbagai cara seperti melalui bahan cetak atau pun media elektronik.

Jika kita rajin meninjau laman-laman web dan blog-blog golongan ini kita dapati kitab-kitab dua tokoh ini menjadi rujukan utama mereka. Bahkan di Malaysia terdapat markaz yang diberi nama Markaz Ibnu Qayyim al-Jauzi. Begitu juga terdapat laman web yang domennya Ibnu Qayyim.net.

Jelasnya kita dapat melihat penulisan tokoh-tokoh golongan ini di Malaysia makalahnya dipenuhi dengan bahan-bahan yang dirujuk dari kitab-kitab dua tokoh ini. Antara kitab yang sangat masyhur seperti Fatawa Kubra karangan Ibnu Taimiyyah dan Zaad al-Maad karangan Ibnu Qayyim al-Jauzi.

Jika kita pernah terbaca Minggun Malaysia Oktober 2007 terpapar sebuah artikal yang membela Ibnu Taimiyyah dengan mengatakan: “Ramai tukang ahli fitnah” yang menabur pelbagai tuduhan terhadap tokoh ini hanya kerana tidak senang dengan pendekatan Islam yang lebih terbuka dan ilmiah.

Isunya Adakah pendekatan tauhid tasybih dan tajsim yang terdapat dalam kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Khariji (khawarij)/ al-Jauzi sebagai pendekatan ilmiyyah dan terbuka? atau ia merupakan penghancuran tauhid yang tulin yang diwarisi turun temurun dari para ulama solihin??

والله أعلم باالصواب

No comments: