Tuesday, August 2, 2011

Rahmat Bulan Ramadan Tiada Tandingannya

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ٍSaudara/ri Yang DiMuliakan

Di dalam sebuah hadis sohih yang diriwayatakan oleh Imam al-Tirmidzi Rasulullulah saw bersabda
إذا كانت أول ليلة من رمضان, فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار ، وصفدت الشياطين ، زناد : يا فاعل الخير أقبل، و يا باعي الشر أقصر ))
Maksudnya :
Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan,maka dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka dan diikat para syaitan dan di seru : Wahai orang-orang yang melakukan kebaikan selamat datang dan wahai orang yang melakukan kejahatan berhentilah
Jelaslah daripada hadith ini apakah yang sepatutnya dilaksanakan oleh seorang muslim itu apabila tibanya bulan Ramadhan al-Mubarak.Sesungguhnya Allah SWT melipat gandakan pahala di atas amalan yang dilakukan oleh hambaNYa kerana kelebihan dan rahmat bulan ini. Pahala melakukan amalan sunat adalah seperti melakukan ibadat wajib manakala amalan fardu dilipatkaligandakan sebanyak tujuh puluh kali. Oleh itu sebagai umat Islam marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan –amalan yang mulia dan menjauhi segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Contoh dan ikutan yang terbaik adalah Rasulullah saw di mana didalam bulan ini, baginda melipat gandakan amalan baginda walaupun baginda seorang yang ma’sum, terpelihara daripada melakukan maksiat dan telah dijanjikan syurga oleh Allah swt.

Justeru itu kita sebagai umat Nabi Muhammad saw perlu merebut peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan di samping meningkatkan kualiti amalan-amalan fardu dan menambah amalan-amalan sunat.

Antara amalan –amalan yang perlu diamalkan oleh kita di dalam bulan yang mulia ini;

Pertama : Solat berjemaah lima waktu sehari semalam.Sabda Rasulullah saw
صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة.
Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.
Antara amalan yang perlu diperbaiki oleh kita, janganlah kita datang ke masjid untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih sahaja tetapi marilah kita makmurkan rumah Allah di setiap waktu solat.

Kedua : Membanyakkan membaca al-Quran dan menghadiri majlis-majlis ilmu dan tadarus. Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة. يقول الصيام : أي رب، منعته الطعام والشهوة فشفعني فيه ، ويقول القرآن: منعته النوم بالليل، فشفعني فيه. قال فيشفعان.

Daripada Ibnu Umar ra bahawasanya Rasul saw bersabda :
“ Puasa dan al-quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata:
“Wahai Tuhanku, dia telah menahan dirinya dari makan dan hawa nafsu, berilah syafaat kepadanya.
Al-Quran pula berkata:
“Dia telah berjaga malam kerana membacaku, berilah syafaat kepadanya. Lalu Allah Taala memberi syafaat kepada hambanya yang berpuasa dan membaca al-Quran.

Sehubungan dengan ini,diriwayatkan bahawa Imam Syafei mengkhatamkan al-Quran sebanyak 30 kali pada bulan-bulan biasa dan 60 kali dalam bulan Ramadan.

Ketiga : Membanyakkan sedekah, membantu golongan miskin dan memberi makan kepada orang yang berpuasa. Di dalam suatu khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah saw pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Salman r.a , maksudnya : “Barangsiapa memberi makan bagi orang-orang yang berpuasa baginya keampunan segala dosa-dosa yang pernah dilakuan dan bebas dari api neraka serta baginya pahala tanpa ada pengurangan daripadanya sedikitpun.” Ada sahabat yang bertanya ; Wahai Rasulullah tidak semua dikalangan kami yang mampu memberi makan orang yang berpuasa ? Maka rasulullah saw menjawab : “ Allah mengurniakan pahala-pahala ini bagi sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa walaupun hanya dengan buah tamar, air minuman ataupun susu”

Keempat : Menghidupkan malam bulan Ramadan dengan ibadat seperti solat terawih, tadarus al-Quran, berzikir, bertasbih dan berselawat. Sabda Rasulullah saw :

Sesiapa yang menghidupkan malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu...

No comments: