Sunday, October 30, 2011

MEMAHAMI DAN MENGHAYATI 'AIDILADHA

Apabila menjelang bulan Zulkaedah dan Zulhejjah seluruh ummat Islam mulai sibuk dengan urusan masing-masing untuk menyahut seruan Allah sebagai tetemuNya yang terpilih. Bersyukur kepada mereka yang berpeluang pergi ke tanah suci pada tahun ini, kerana termasuk di dalam koata giliran menunai fardhu haji, bagi yang masih belum tertunai hajat mereka bersabarlah menunggu giliran dan seruan dari oleh Allah subahanhu wa ta'ala, insyaAllah...

Sementara itu, bagi yang tidak ke tanah suci Mekah, masing-masing sibuk menguruskan persiapan menjelangnya 'Aidiladha terutamanya bagi membuat persiapan melakukan ibadah Qurban. Masjid, surau, organisasi tertentu dan orang perseorangan, sudah tentunya tidak duduk diam membuat pelbagai perancang dan persiapan bagi memenuhi hajat dan keperluan masyarakat yang dituntutan oleh Islam ini. 'Aidiladha yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail bagi mentaati perintah Allah. Inilah simbol kesatuan umat Islam sedunia yang ditonjolkan melalui perhimpunan ibadah haji sepanjang tahun. Perhimpunan agong ini menjadi lambang terikat kukuhnya tali persaudaraan diantara seluruh umat Islam sedunia yang berpegang kepada satu ikatan akidah yang sama. Allah swt. menjelaskan dalam al-Quran surah Ali-Imran ayat 103,

" واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا...

Ertinya: Dan berpeganglah kamu semua pada tali Allah(agama Islam)dan janganlah kamu berpecah-belah...

Jika disorot peristiwa bermulanya sesuatu perayaan umat Islam itu, ia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar bagi menggantikan amalan hari perayaan orang jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.

Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."

...لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجا
Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). (Surah Al Maidah, ayat 48)

Kita harus faham perayaan ini bukan semata-mata aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadah yang dituntut dalam agama. Maka itu adalah sangat cantik sekiranya kita dapat memenuhi bulan Zulhijjan ini dengan melakukan puasa sunat, terutamanya bermula dari 1 Zulhijjah sehinggalah 9 Zulhijjah atau setidak-tidaknya berpuasalah pada 8 dan 9 Zulhijjah. Kemudian disusuli dengan melakukan ibadat qurban.

Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.

Aidilfitri disunahkan bertakbir pada sepanjang malam hari raya dan berakhir apakala selesai sahaja solat sunat 'Aidilfitri. Sedang bagi 'Aidiladha ia dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut, Aidilfitri disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah, sementara Aidiladha disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah.

Dari sebuah hadit yang diriwayatkan oleh Tarmizi: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan."

Oleh sebab itu Islam menuntut supaya setiap amal ibadah yang dilakukan itu mesti ikhlas, berlebih lagi dalam melakukan ibadah qurban. Ia mesti dilakukan dengan penuh keredaan dan berlapang dada, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk nunjuk.seperkara lagi ialah kita berkemampuan mengeluarkan belanjanya. Ingatlah apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang qurban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang qurban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)

Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging qurban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.

Selepas kita berjaya membuktikan keutuhan dan kesungguhan mentauhidkan Allah. Amalan ziarah menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha sangat wajar dihidupan.

Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan agama. Pada pertengahan Ramadan sudah berkumandang lagu raya seolah-olah kita lupa sebenarnya ibadat berpuasa menuntut pengorbanan nafsu yang tinggi.

Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan televisyen dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin dilupakan

Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah. Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat korban.

Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan seekor lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging korban diberikan kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat merasai nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha.

Firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa." (Surah al-Maidah, ayat 27)


Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita di sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah

Wednesday, October 5, 2011

GURINDAM MENJALANKAN KERJA

JIKA BANYAK CELA MENCELA,
TIDAK MENJADI SATU PUN KERJA.

JIKA KURANG USUL PERIKSA
KERJA YANG BERAT MENJADI SIA-SIA.

JIKA ASYIK BERCAKAP-CAKAP
SEGALA KERJA MENJADI TAK CEKAP.

JIKA KERJA BERDIKIT-DIKIT
DARI BUSUT MENJADI BUKIT.

JIKA MAHU BERGOTONG-ROYONG
SAGU DIPEROLEH DI DALAM RUYONG.

JIKA MASIH BERCERAI-BERAI
SAMPAI BILA KERJA TAK SELESAI.

JIKA ORANG BANYAK PERINTAH
BERTUNGKUS-LUMUS AMATLAH BETAH.

JIKA MAHU TEGUR-MENEGUR
NYIUR YANG TINGGI BOLEH DIGUGUR.

JIKA BANYAK MEMBERI ALASAN
USAH DIHARAP MENDAPAT GANJARAN.

JIKA KERJA MENURUT ATURAN
GUNI YANG BERAT MENJADI RINGAN.

JIKA ASYIK BERBALAS NISTA
ROSAKLAH KUAH PECAHLAH BELANGA.

JIKA TANGAN RINGAN SENTIASA
HASIL DIPEROLEHI SEPANJANG MASA.


Petikan Seminar Guru di Sarawak 2008