Sunday, October 31, 2010

Murid Dalam Institusi Tarekat

Murid merupakan kompenen asas dalam sesuatu institusi tarekat. Sekalipun ia tidak sepenting institusi syeikh dalam institusi tarekat tetapi tanpa murid seorang syeikh tidak akan bergelar syeikh.Dalam penggunaan sufi istilah ini pada asasnya, dirujuk kepada seseorang yang telah bebas daripada sebarang bentuk iradah atau kehendak diri sendiri, sebagaimana yang dibahaskan oleh al-Syeikh al-Din al-Arabi:

i. Seseorang yang telah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Allah apabila ia sudah mengetahui bahawa segala apa yang berlaku dalam kewujudan ini adalah atas kehendak atau iradah Allah. kemudian ia memfanakan dirinya ke dalam iradah Allah, maka segala yang menjadi iradah Allah sahaja jua menjadi pilihannya, tidak perlu lagi ia kepada yang lain.

ii. Seseorang murid mesti menyerahkan seluruh kehendak dan keyakinan kepada Syeikhnya,dan mentaati segala perintah, sekalipun perintah tersebut dilihat seperti menyalahi zahir syarak.

Daripada dua keadaan di atas tadi, seseorang murid yang telah bergelar murid itu sudah tidak memiliki kehendak dirinya lagi. Dengan keadaan sedemikian itu barulah seseorang itu benar-benar bersedia dengan sepenuh hati untuk di bentuk keperibadiannya, lalu dengan itu dirinya mudah untuk dididik dan disempurnakan kemantapan kerohaniannya. Dengan kata lain seorang murid itu ialah orang yang telah menyerahkan bulat dirinya untuk dibimbing kearah mendekatkan dirinya kepada Allah. Dalam konteks inilah secara lebih khusus istilah murid itu merujuk kepada seseorang yang telah mula menceburkan dalam sesebuah tarekat tertentu dan diperakui oleh syeikh tentang kehendak dan azamnya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu terjadilah suatu proses di mana syeikh bertindak sebagai " pembimbing " dan murid pula menjadi " orang yang dibimbing "


Syarat Seorang Murid

Bagi memudahkan perancangan dan proses bimbing berjalan licin institusi tarekat telah merumuskan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap mereka yang bergelar murid. Syarat berkenaan sebagaimana berikut :

1. Murid seharusnya membersihkan diri dari sifat-sifat tercela(mazmumah) seperti hasad dengki,sombong, pembohong, mencuri, menipu,batu api berburuk sangka dan sifat tercela yang lain.

2. Mengambil ijazah tarekat yang benar dan mengamalkannya. Tidak terpengaruh dengan sikap masyarakat yang membawanya kepada kelalaian dari mengingati Allah, lalu menyebabkan berlakunya hal-hal yang membawa dosa. Seterusnya mengawal diri dengan kerap berpuasa, berjaga malam, berkekalan dalam zikrullah dan sentiasa taat kepada syeikh selama mana ia tidak menyeleweng.

3. Berazam bersungguh untuk mentaati setiap suruhan Allah dan setia kepada syeikh. Sentiasa meningkatkan amal untuk menyingkap pelbagai hakikat yang tersembunyi.

4. Melatih diri mentaati dan kasih terhadap syeikh yang merupakan hamba Allah yang sentiasa taat kepada perintah Allah.

5. Murid mesti berusaha menambah ilmu pengetahuan selaras dengan firman Allah : " Katakanlah wahai Muhamad, " Tuhanku tambahkanlah ilmuku ".

6.Sentiasa berada dalam ruang lingkup peraturan syriat agar tercapai hakikat yang sebenar, mujahadah yang kuat, sabar dalam semua keadaan dan sentiasa beradap pada setiap waktu dan tempat.