Friday, June 10, 2011

Disiplin Huffaz

1. Pengenalan

Menghafaz al-Quran merupakan satu proses mujahadah yang menuntut pelbagai usaha daripada para huffaz. Usaha dan Ikhtiar ini meliputi pelbagai disiplin dan pendekatan yang dilaksanakan demi mencapai matlamat iaitu kejayaan mengingati al-Quran dengan sempurna dan cemerlang. Itulah cita-cita setiap hafiz dan hafizah ketika menceburi bidang fardu kifayah ini. Namun realitinya cita-cita tidak akan tercapai tanpa usaha, doa dan tawakkal dan realitinya juga ramai di kalangan pelajar gagal melaksanakan tanggongjawabnya. Dalam proses menghafaz pelajar perlu melalui beberapa peringat disiplin supaya ia benar-benar dapat mengekalkan tahaf hafazan yang berkualiti. Disiplin tersebut sebenarnya telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sirah baginda semasa menerima wahyu. Sejak dari awal menerima wahyu Malaikat Jibrillah a.s telah membimbing baginda, mulai dari menghafaz dan mengulang hafazan sehinggalah baginda wafat. Diantara disiplin yang membuahkan suatu sistem menghafaz yang berkesan itu ialah:

2. Talaqqi Dan Musyafahah

Sebelum seseorang pelajar memulakan hafazan, perkara utama yang perlu didahului ialah memperbetulkan bacaanya di hadapan guru tasmi’, dengan itu segala kesilapan yang berlaku dapat di perbetulkan oleh guru tasmi’, khususnya dengan hal-hal yang berkaitan dengan hukum-hukum tajwid seperti makhraj dan sifat huruf, hukum nun mati, hukum madud dan lain-lain..

Sistem talaqqi bermaksud guru sahaja membaca sedang pelajar mendengar atau murid sahaja membaca guru mendengar bacaan murid sambil membetulkan kesilapan. Sementara sistem musyafahah bermaksud menerima dari mulut ke mulut, ini bererti guru membaca murid mendengar kemudian diikuti murid membaca guru mendengar dan menyemak sambil memperbetulkan kesilapan yang berlaku. Begitu juga halnya dengan beberapakelainan (bacaan-bacaan gharib) yang mana diantara bacaan dan penulisannya perlu diperjelaskan oleh seorang guru yang mursyid.

Proses ini perlu dilalui oleh setiap pelajar, supaya tidak terjadi kesilapan di dalam penghafalan. Jika waktu pembelajaran di dalam kelas tidak mengizinkan, pelajar dikehendaki berjumpa dengan guru tasmi’ di luar waktu pembelajaran bagi memperbetulkan bacaan. Hal ini sangat ditekankan kepada pelajar tahfiz yang berada di semester 1 dan 2 kerana sebahagian daripada pelajar di semester ini masih perlu diberikan perhatian khususnya dari sudut hukum tajwid amali. Guru tasmi’ dikehendaki memberikan contoh bacaan dan latih tubi.

Kepentingan sistem talaqqi atau musyafahah ini suatu yang tidak boleh diabaikan sama sekali khususnya dalam disiplin mempelajari dan menghafaz al-Quran. Seorang penuntut harus menerima ilmu al-Quran dari gurunya secara berhadapan dan ini memerlukan kepada masa yang panjang tidak cukup dalam tempoh yang pendek. Sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran ilmu al-Quran itu penuntut akan menemui pelbagai kaedah penulisan, atau sebutan bertujuan memelihara penyebutan huruf-hurufnya yang betul dari segi lafaz dan maananya. Maka jelaslah di sini bahawa sistem talaqqi atau musyafahah itu merupakan syarat utama bagi seseorang yang ingin mempelajari al-Quran dan apatah lagi jika berhasrat menjadi seorang guru al-Quran.

2. Menghafaz

Proses penghafazan merupakan suatu usaha untuk menyimpan maklumat dan pengetahuan yang dipelajari (Abd Fatah: 15). Maka itu kerja-kerja ini tidak sekadar bergantung kepada kesihatan tubuh badan yang baik sahaja bahkan memerlukan kekuatan minda dan kesungguhan yang tinggi. Proses menghafazan ini dapat membantu mengekalkan ingatan dan kecerdasan minda selain dapat membantu mengingat pelajaran yang lain.

Menurut Abd Fatah Hassan (1994:13) Hafazan boleh di bahagi kepada tiga peringkat itu menghafaz secara cepat, hafazan jangka waktu singkat dan hafazan jangka waktu panjang. Hafazan secara cepat tidak kekal lama ia boleh jadi tidak lancar dan mudah lupa, sekadar bertahan beberapa saat sahaja. Hafazan jangka waktu pendek boleh kekal dalam beberapa minit atau jam. Sementara hafazan jangka waktu panjang mampu menyimpan maklumat yang diperolehi di masa lampau.

Perkara Penting Kepada Semua Pelajar Tahfiz
a. Bagi persediaan tasmi’ pelajar dikendaki menghafaz pada waktu yang sesuai, waktu tersebut seperti berikut:
1. Selepas solat fardhu Maghrib.
2. Selepas solat fardhu Isyak. ( mulai jam 9.00 - 11.30 malam)
3. Sepertiga malam sebelum solat subuh.
4. Selepas solat subuh.
5. Sebelah pagi sebelum selesai waktu Duha.

• Pelajar tidak digalakkan menghafaz sewaktu proses penerimaan tasmi’ sedang berjalan di dalam kelas. Waktu ini hanya digunakan untuk melancarkan hafazan dan tasmi’, kemudian pelajar dikehendaki membuat pengulangan.

b. Tempat Sesuai Melakukan Hafazan:

1. Masjid.
2. Surau / Musollah.
3. Bilik kelas.
4. Bilik tutorial.
5. Dewan kuliah
6. Di bawah pohon rendang. ( jauh dari laluan orang).

C. Pralaku sebelum menghafaz :
1. Solat sunat taubat
2. Solat sunat hajat
3. Solat tahajjud.
4. Solat sunnat tasbih.
5. Solat sunat taqwiyatul hifzi.
6. Melazimkan istghfar.
7. Membaca do’a-do’a khas.

3. Tasmi’ (memperdengarkan Hafazan)

Tasmi’ bermaksud “memperdengarkan”, tasmi’ adalah memperdengarkan semula hasil hafazan yang dilakukan samada semalam atau sebelumnya yang dilakukan di hadapan guru tahfiz. Ia suatu yang wajib ke atas setiap pelajar tahfiz. Kebiasaannya proses tasmi’ dilakukan pada waktu pagi, selepas solat fardhu subuh atau selewat-lewatnya bermula dari jam 7.30 sehingga jam 10.00 pagi.

Proses tasmi’ berjalan secara berhadapan dimana pelajar tahfiz memperdengarkan semua hafazan baru yang telah diperolehi pada hari sebelumnya. Disepanjang peroses tasmi’ ini, guru akan menyemak setiap kalimah yang diperdengarkan, jika terdapat sebarang bentuk penambah, pengurangan, terlupa atau tertinggal maka wajib bagi seorang guru tahfiz memperbetulkannya. Selain itu guru tahfiz wajib menegur kesalahan yang berkaitan dengan hukum tajwid.

Pada lazimnya proses tasmi’ berjalan dalam tempoh lima minit bagi setiap seorang pelajar sekiranya hafazan yang ditasmi’ itu benar-benar lancar. Namun begitu ia bergantung kepada persediaan yang telah dilakukan oleh setiap pelajar. Setiap pelajar perlu menghantar tasmi’ satu maqra’ atau sekurang-kurangnya dua muka surat pada setiap pertemuan Ini bagi tujuan supaya pelajar dapat menamatkan silibus hafazan bagi setiap semester lebih awal. Dengan tamatnya silibus hafazan lebih awal pelajar dapat memberikan penumpuan kepada pengulangan hafazan ( I’adah tasmi’) bagi persediaan peperiksaan akhir semester.

Jangka masa tamat silibus hafazan bergantung kepada halaman muka surat yang ditasmi’ pada setiap pertemuan. Seandainya seseorang pelajar itu menghantar tasmi’ satu maqra’ pada setiap pertemuan mereka boleh menamatkan silibus hafazan pada minggu kesembilan. Begitu pula jika pelajar menghantar dua muka surat pada setiap pertemuan mereka boleh menamatkan silibus hafazan dalam tempoh sepuluh minggu.

4. Tikrar (Mengulang Hafazan)

Takrir bermaksud mengulangkaji kembali setiap ayat yang telah di hafaz samada hafazan baru atau hafazan lama. Pengulangan adalah satu cara untuk mengekalkan ayat-ayat yang telah dihafaz agar sentiasa segar di minda, apakala ia diperlukan ia boleh diambil pada bila-bila masa. Rasulullah s.a.w. kerap mengulang hafazannya bersama malaikat Jibril a.s setiap tahun pada bulan ramadhan. Dalam disiplin ini baginda telah memberikan satu peringatan yang tegas kepada setiap penghafaz al-Quran agar sentiasa memlakukan takrir terhadap hafazan.
Dari Abu Musa dari Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:
تَعَاهَدُوا هَذَا الْقُرْءَانَ فَوَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنَ الإِبْلِ فِيْ عُقُلِهَا
Maksud:
Peliharalah baik-baik al-Quran, sebab demi zat yang jiwa Muhamad ada di dalam gengamnya, bahwa al-Quran itu lebih mudah terlepas daripada seekor unta yang ada di dalam ikatan talinya.
Maka sebab itu al-Quran yang telah dihafaz itu perlu diulang-ulang selalu supaya ia sentiasa segar di minda. Guru saya sentiasa mengikat saya supaya sentiasa memelihara al-Quran yang telah dihafaz, ini kerana al-Quran itu tidak akan kekal dalam diri orang yang mengabaikannya, ia umpama seekor unta yang perlu diikat, seandainya ikatan tersebut terurai maka terlepaslah unta tersebut dan pergi meninggalkan tuannya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْءَان كَمَثَلِ صَاحِبِ الإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا، وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ
Maksud:
Hanya senya perumpamaan orang yang menghafal al-Quran adalah sebagaimana perumpamaan pemilik seekor unta yang diikat, sekiranya ia terus mengikatnya dapatlah ia menahannya dan seandainya ia terlepas ia akan pergi (lupa).


4. Fenomena Lupa

Kelupaan atau al-Nisyan didifinasikan oleh al-Jurjani sebagai kelalaian daripada sesuatu yang telah diketahui yang tidak disebabkan oleh faktor usia. Masalah kelupaan hafazan merupakan masalah besar bagi setiap hafiz samada di peringkat belajar atau sesudah bekerjaaya. Pelbagai faktor boleh dikenal pasti sebagai puncanya, diantaranya:

4.1 Sistem penghafazan yang kurang berkesan: Iaitu sistem yang hanya mementingkan penghafalan ayat-ayat baru sahaja tanpa menekankan pengulangan bersungguh.

4.2 Kekangan masa: Ini termasuk keperluan mengambil subjek-subjek yang banyak sedang pada masa yang sama keperluan hafazan perluan dipenuhi. Kesibukkan pada hal yang lain seperti mengajar, kerap pulang atau membuang masa tanpa aktiviti yang berkaitan dengan hafazan juga penyebab lupa.

4.3 Sikap negatif: Sikap ambil mudah, tiada perasaan tanggongjawab terhadap hafazan menyebabkan hafalan yang pernah dilakukan semakin hilang dari ingatan.

5. Pengulangan Hafazan Yang berkesan

Satu strategi pengulangan mesti dilakukan untuk memindahkan memori jangka pendek kepada memori jangka panjang. Pakar motivasi memperincikan bahawa ia mesti mempunyai ciri-ciri berikut:

5.1 Niat dan Azam: 50% maklumat boleh disimpan apabila anda berniat menyimpannya,jangan sekali-kali pandang remeh terhadap pengulangan.
5.2 Ulangan yang berkesan: Mesti bersistem, berjadual dan dipantau.
5.3 Mudahkan : Dengan memahami makna, cerita, kepala ayat dan sebagainya.
5.4 Sasaran : Jumlah pengulangan hafazan atau jangka masa tertentu menjadi matlamat yang ingin dicapai.

6. Beberapa Pendekatan Tambahan


6.1 Membaca atau mengulang dalam hati dengan suara yang kuat.
6.2 Ketika membaca atau mengulang, bayangkan rupa bentuk susunan ayat dalam setiap muka surat yang dihafaz. Untuk itu gunakan mushaf yang bersaiz besar.
6.3 Mengulang dengan bacaan suara yang jelas dan secara tadwir.
6.4 Membaca di hadapan guru tanpa memegang mushaf.
6.5 Membiasakan mengulang hafazan dalam solat.
6.6 Mendengar bacaan orang lain. Dalam hal ini pengunaan pemain CD atau MP3 boleh dimanfaatkan.
6.7 Sentiasa mencatat kesalahan dalam buku catatan.
6.8 Menulis semula ayat yang dihafaz dalam buku khas atau komputer.
6.9 Mengamalkan pemakanan sihat.
6.10 Mendapat rehat dan tidor yang cukup
6.11 Mengamalkan riadhoh secara konsisten.
6.12 Menyertai Majlis Perujian Tahfiz.

8. Motivasi dan Peningkatan Kualiti Hafazan

Satu faktor yang sangat penting bagi seseorang hafiz dan hafizah dalam menghafaz al-Quran ialah motivasi. Motivasi yang diperlukan oleh seorang penghafaz al-Quran ialah pembentukkan sikap positif sebagai penghafaz al-Quran yang sentiasa ingat tanggongjawabnya. Setiap tenaga pengajar mesti berperanan sebagai ahli motivasi yang berkesan dalam menbentuk sikap positif para pelajarnya. Berikut 10 pendekatan dalam membina sikap positif:

7.1 Jangkakan kejayaan
7.2 Lakonkan watak orang cemerlang
7.3. Ubah penampilan secara positif.
7.4 Berkawan dengan orang berjaya.
7.5 Dalami ilmu kecemerlang.
7.6 Fokus kepada kemahuan dan cita-cita.
7.7 Kenangkan kejayaan silam.
7.8. Saranan diri positif
7.9. Soal diri dengan soalan positif.
7.10 Dapatkan model ikutan.

Kesimpulan

Segala usaha dalam meninggkatkan kualiti hafazan wajib dirancang secara serius dan dilaksanakan juga secara serius. Semua pihak khususnya tenaga pengajar bertanggongjawab untuk memastikan semua anak-anak didik mereka menjadi para huffaz yang berkualiti. Kerana tanggongjawab ini pastinya akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t. Wallahu’alam.
Omar Mokti (10 Jun 2011. Jumaat, 1.00 pagi).

1 comment:

Unknown said...

Tq. Perkongsiannya. Doakan saya menjadi seorang hafizah