SYIAH
Bahaya Syiah kepada
akidah Islam dan sebagai perosak akidah Islam tidak dapat dinafikan. Kita
juga tidak dapat menafikan bahawa Syiah adalah pergerakan Batiniah dan
merupakan pelopor kepada kemunculan puak-puak dan ajaran sesat dan
kumpulan-kumpulan Batiniah yang lain. Kemungkinan ada yang tidak bersetuju
ini yang agak keras namun sejarah dan kajian menyebut puak-puak sesat Batiniah
seperti Ismailiah, Nusoiriah, Qaromitah, Duruz, Bahaiah dan selainnya adalan
pecahan dari golongan Syiah. Percanggahan pendapat dalam menentukan Imam
mereka dari keluarga Rasulullah menjadikan mereka berpecah kepada pelbagai
jenis ajaran dan kumpulan. Walaupun ada dakwaan bahawa Syiah sudah tidak
mengamalkan ajarannya. Akidah-akidahnya sudah tidak disebar dan dipegangi
lagi tapi hakikatnya sukar diterima kerana adanya konsep taqiah dalam
ajaran syiah. Kemungkinan mereka bergerak dengan menyembunyikan akidah
dan identiti mereka yang sebenar untuk memudahkan dakwah mereka tersebar dan
perancangan politik mereka tercapai.
Kekuatan Syiah boleh dilihat apabila
mereka mempunyai kuasa, pengaruh dan negaranya sendiri. Iran adalah
negara Syiah yang tidak akan membiarkan negara sunni berdiri tegak meskipun
mereka berada dalam satu barisan dengan puak sunni memerangi musuh-musuh Islam.
Diperpustakaan-perpustakaan seluruh dunia, buku-buku rujukan syiah masih diguna
pakai, dikaji dan dipelajari oleh puak-puak syiah. Ajaran-ajaran mereka
masih diamalkan. Oleh itu, untuk menulis tentang ajaran sesat di Malaysia
tidak lengkap tanpa menyebut ajaran Syiah bahkan ia merupakan satu kemestian
untuk membuka hakikat bahawa Syiah itu adalah ajaran sesat Batiniah melalui
sejarah dan ciri-ciri persamaan antara keduanya.
Syiah Di Malaysia
Syiah telah lama bertapak
di Tanah Melayu bahkan ada yang berpendapat Kerajaan Islam awal iaitu Perlak
dan Pasai terpengaruh dengan Syiah. Di Malaysia, pengaruh Syiah semakin
kuat selepas kejayaan revolusi Iran yang pelopori oleh Ayatullah al-Khumainy
pada tahun 1989m dan terbentuknya Kerajaan Islam Syiah Iran. Atas asas
kerajaan Islam, rakyat Malaysia telah memberi banyak kerjasama dan pertolongan
kepada kerajaan Islam Syiah Iran tanpa melihat pada usaha mereka untuk
menyebarkan akidah Syiah di Malaysia. Kedatangan orang-orang Pakistan dan
India yang bermazhab Syiah ke Malaysia juga banyak membantu penyebaran Syiah di
Malaysia.
Syiah tersebar di Malaysia dengan cepat kerana beberapa faktor:
1)
Orang Malayu Islam sangat cinta dan kasih pada keluarga Nabi Muhammad
sollallahu’alaihiwasallam. Di atas asas sayang dan cinta tersebut mereka
mudah menerima dakwah Syiah yang melampau dalam membesarkan dan mengagongkan
keluarga Rasulullah sollallahu’alaihiwasallam.
2)
Hukum fekah Syiah yang longgar dan mudah. Setengah orang terpengaruh
dengan hukum fekah Syiah yang lebih mudah mengikut pendapat mereka berbanding
hukum fekah mazhab-mazhab lain seperti boleh jama’(himpun) solat lima waktu
dalam satu waktu sahaja. Mereka juga merasa kagum dengan keharusan nikah
mut’ah dalam mazhab Syiah.
3)
Kesungguhan pendakwah-pendakwah Syiah di Malaysia. Mereka mengedarkan
risalah, majalah dan bahan-bahan edaran lain untuk menyebarkan fahaman mereka.
Bagaimana Aliran Syiah Berkembang
Di Malaysia?
Aliran syiah tersebar di Malaysia melalui beberapa cara antaranya:
1. Ziarah rasmi dan
tidak rasmi rombongan-rombongan dari pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia.
Ziarah tersebut diakhiri dengan program ceramah, keterangan berkenaan dengan
akidah dan ajaran Syiah. Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan
menziarahi Iran disamping menghadiri program-program yang diadakan oleh Syiah
di India, Bangladesh, Australia, Thailand, dan Kuala Lumpur.
2-
Melalui pelajar Malaysia yang belajar di Iran dan mendapat biasiswa khas dari
kerajaan Iran sebagaimana terdapat juga pelajar di hantar ke Pakistan untuk
mempelajari akidah dan ajaran Syiah. Penghantaran pelajar ini bermula
semenjak 20 tahun dahulu lagi. Pada tahun 1984 seramai enam orang pelajar
dari Sekolah Agama Darul al-Falah telah dihantar menyambung pelajaran di
Universiti Qum di Iran. Selepas itu dihantar pula seramai 10 orang
pelajar lelaki dan perempuan daripada sekolah yang sama dan Sekolah Agama Darul
al-’Atiq di Johor Bahru ke Pakitan bagi mempelajari Bahasa Parsi dan ajaran
Syiah di sana. Mereka ini apabila pulang akan menjadi pendakwah Syiah dan
akan mengembangkan Syiah di Malaysia.
3-
Melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia. Mereka mengadakan
ziarah ke Pusat Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah. Mereka memberi
hadiah-hadiah yang berupa buku, majalah Syiah kepada perpustakaan umum,
universiti, kolej, masjid, dan penerbit-penerbit buku. Sebagaimana mereka
juga menghantar beberapa rakyat Malaysia ke Mekah untuk menunaikan haji bersama
pengikut-pengikut Syiah secara percuma dari kerajaan Iran.
4-
Terdapat bantuan dan sokongan daripada golongan akademik dan politik di
Malaysia. Sesetengah pemimpin politik pro Islam menyokong kerajaan
Iran. Antara mereka ada yang menganggap tidak ada beza antara Syiah dan
Ahli Sunnah Waljama’ah kerana telah dibuang oleh Ayatollah Khumeini.
Pegawai Diplomasi Iran ada mempelawa Almarhum Dato Fadhil Muhammad
Nor(1937-2002) bekas presiden PAS mengubati dan merawat penyakitnya di Tehran,
Iran. Ini menunjukkan beberapa perkara, pertama: terdapat usaha dari
golongan Syiah untuk menjalinkan hubungan dengan pemimpin politik Islam di
Malaysia; kedua: kehebatan pemimpin PAS sehingga disanjung dan dipandang tinggi
oleh orang Syiah; ketiga: kemungkinan ada hubungan baik antara Iran dan PAS di
Malaysia. Walaupun begitu pada pendapat penulis hubungan tersebut
bukanlah hubungan kerjasama untuk menyebarkan Syiah di Malaysia.
Terdapat golongan akademik yang terpengaruh dengan Syiah terdiri
daripada pensyarah universiti, kolej dan lain-lain di Malaysia. Ini
memudahkan penyebaran ajaran Syiah dalam masyarakat pelajar di Malaysia
apatahlagi kerajaan Iran memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia bagi
melanjutkan nyambung pengajian mereka di Iran dan Pakistan. Melalui
majlis-majlis ilmu yang diadakan di universiti atau pusat-pusat pengajian yang
lain, pensyarah dan guru-guru menyebarkan dakwah Syiah di majlis-majlis
tersebut yang turut dihadiri oleh ulamak Syiah. Terdapat juga pensyarah
yang sengaja memberi assignment dan menugaskan pelajar mengkaji dan menyelidik
tentang Syiah, membuat ringkasan teks-teks ucapan pemimpin Syiah dan
seumpamanya agar mereka dapat mengenali Syiah dan terpengaruh dengannya.
5-
Menyebarkan pamplet, buku, dan majalah Syiah kepada orang ramai seperti Majalah
Fatimah dan majalah al-Quds. Buku-buku tentang Syiah juga tidak
ketinggalan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti buku Nahju
Al-Haq Wa Kasyfu As-Sidq yang
ditulis oleh penulis Syiah yang bernama al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar
al-Hiliyy telah diterjemahkan oleh Lutfi Ibrahim ke dalam Bahasa Melayu dan
menjadi rujukan utama bagi pengikut Syiah di Malaysia. Penulis buku
tersebut terkenal dengan sifat khianat dalam meriwayatkan hadis sebagaimana
dinyatakan oleh Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy.
Puak
Syiah Di Malaysia:
Syiah
telah berpecah kepada pelbagai puak dan golongan. Puak dan kumpulan
tersebut adalah seperti berikut :
Pertama:
Syiah Pelampau yang dikatakan oleh setengah orang telah pupus dan berakhir
pengaruhnya di dunia Islam. Apatah lagi Syiah yang ada sekarang tidak
mengaku yang mereka asalnya daripada Syiah pelampau tersebut.
Kedua:
Syiah Ismailiyyah yang terdapat di India, Pakistan, timur dan selatan Afrika,
dan di beberapa negara Arab.
Ketiga:
Syiah Imamiah atau Ithna ‘Asyariah yang tersebar di Iran, Iraq, Syria, Lubnan,
Kuwait, Bahrain, negara-negara Balkan, India, Pakistan, dan selainnya.
Keempat: Syiah Zaidiyyah yang tersebar di Yaman dan ia lebih
cenderung dan hampir dengan Ahli Sunnah wa Al-Jamaah
Setiap
kumpulan Syiah yang tersebut di atas pula terbahagi dan berpecah kepada
beberapa kumpulan yang lain. Oleh itu, Syiah boleh dianggap antara
kumpulan yang paling banyak mazhab aliran dan merupakan mazhab tertua yang
wujud selepas kebangkitan Islam. Di Malaysia pula terdapat tiga kumpulan
utama Syiah :
Pertama:
Syiah Ismailiyyah Bahra Atau Tayyibiah(Syiah Taiyibi Daud Bohra)
Syiah
ini pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Ia dikenali juga dengan nama Syiah
Musta’liyah kerana mengiktiraf al-Musta’ly dan keturunannya sebagai Imam
mereka. Anak Musta’ly bernama al-Tayyib, jadi golongan ini juga dinamakan
Taiyibiah. Golongan ini banyak di India dan Yaman. Mereka telah
meninggalkan bidang politik dan berkecimpung dalam bidang ekonomi(perniagaan).
Orang India menamakan dan mengenali mereka sebagai Bohrah yang bermaksud
peniaga dalam bahasa India lama. Imam Tayyib telah masuk al-Sitr(tempat
persembunyian) pada tahun 525h dan menghilangkan diri sampailah sekarang.
Begitu juga keturunannya yang merupakan Imam-imam bagi golongan Syiah Tayyibiah
tersembunyi dan tidak diketahui tentangnya sehingga nama merekapun tidak dapat
diketahui sampailah sekarang. Ulamak-ulamak mereka juga tidak tahu siapa
imam-imam mereka. Puak Syiah Bohrah ini berpecah kepada dua golongan:
1.
Bohrah Sulaimaniyah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama
Sulaiman Bin Hasan. Pusat bagi golongan ini ialah di Yaman sehinggalah ke
hari ini.
2. Bohrah Daudiah yang dinisbahkan kepada
pendakwah mereka yang bernama Qutub Syah Daud. Golongan ini terdapat di
India dan Pakistan semenjak kurun ke sepuluh hijrah lagi.
Pendakwah-pendakwah golongan ini menetap di Bombay. Puak atau golongan
inilah tersebar di Malaysia di kalangan pemilik kedai yang dikenali Kedai
Bombay. Terdapat tanah perkuburan dan masjid khas untuk mereka.
Pusat dakwah mereka ialah di Daerah Klang. Pengikut golongan ini dianggar
lebih kurang 200 hingga 400 orang
Kedua:
Syiah Ismailiyah al-Agho Khoniyyah (Syiah
Ismailiyyah Agha Khan).
Syiah
ini juga pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Kumpulan Syiah ini muncul di Iran
pada awal kurun ke 19 masehi. Antara pendakwah-pendakwah mereka ialah:
1-
Hasan Ali Shah. Dia dikenali sebagai Agha Khan Pertama. Pihak
Inggeris telah menggunakannya untuk mengetuai peberontakan sebagai satu helah
bagi mereka menduduki Iran. Dia telah dibuang negeri ke Afghanistan,
kemudian dia menuju ke Bombay. Mati pada tahun 1881m.
2-
Agho Ali. Dia dikenali sabagai Agha Khan Kedua. Wafat pada 1885m.
3-
Muhammad al-Husainy iaitu anak Agha Khan Kedua. Dia digelar Agha Khan
Ketiga. Dia tinggal di Eropah dan tenggelam dalam dunia hiburan dan
keseronokan. Apabila wafat pada tahun 1957m, dia telah mewasiatkan
cucunya yang bernama Karim sebagai pengantinya. Ini bercanggah dengan
ajaran Ismailiyyah yang menetapkan penganti imam atau ketua mereka hendaklah
anak yang sulung.
4-
Karim yang digelarkan Agha Khan Keempat. Mengantikan datuknya pada tahun
1957m. dia mendapat pendidikan di Amerika.
Kumpulan
Syiah Agha Khan ini tersebar dan terdapat di Nairoby, Darussalam, Zimbabwe,
Moghadisu, Kongo, Balgiky, India, Pakistan, Syria dan pusat utama kepimpinannya
ialah di Karachi. Di Malaysia, kumpulan ini terdapat di Lembah Klang dari
kalangan pemilik kedai-kedai Peerbhai. Pengikut kumpulan ini tidak dapat
diketahui jumlahnya tetapi mengikut pendapat ia lebih sedikit daripada
kumpulan Syiah yang pertama.
Ketiga:
Syiah Jaafariah atau Imamiah Ithana ‘Asyariah.
Kumpulan ini mula tersebar di Malaysia pada tahun 1979m di
kalangan tenaga pengajar di universiti-universiti di Malaysia melalui buku-buku
fahaman Syiah. Pengikut kumpulan ini telah menterjemah beberapa buah buku
fahaman Syiah ke dalam Bahasa Melayu. Bilangan pengikut kumpulan ini di
Malaysia mengikut sumber Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) antara 300 hingga
500 orang. Tetapi jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dengan
tepat.
Kumpulan
Syiah inilah yang paling masyhur di Malaysia. Oleh itu penulis akan
menulis tentang Syiah ini dan menerangkan kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat
batiniah yang terdapat padanya.
Sejarah
Ringkas Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Asyariah
Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah yang terkenal
dengan pangilan Syiah Imamiah
muncul hasil dari percanggahan pendapat antara pengikut Syiah siapakah yang
layak menjadi imam mereka selepas kewafatan Imam Jaafar As-Sodiq. Antara
mereka ada yang mahu melantik anak sulung imam Jaafar iaitu Ismail Bin Jaafar
dan ada yang mahu melantik anaknya yang bernama Musa al-Kazhim bin Jaafar
kerana mengikut dakwaan mereka Imam Jaafar telah menyatakan Musa sebagai
pengantinya. Kumpulan yang melantik Ismail sebagai imam mereka dikenali
selepas itu dengan nama Syiah Ismailiah dan kumpulan yang melantik Jaafar pula
dikenali dengan Syiah Jaafariah nisbah kepada nama Jaafar.
Kumpulan Syiah ini dinamakan Imamiah mengikut pendapat Imam
al-’Asy’ari kerana pegangan dan dakwaan mereka Imam Ali bin Abi Tolib di lantik
oleh Rasulullah sebagai iman penganti selepas kewafatan baginda dengan cara
‘nas’. Mengikut pendapat lain mereka dikenali sebagai Syiah Imamiah Ithna
‘Ayariah kerana pegangan mereka wajib terdapat imam di setiap zaman dan ke
semua imam-imam tersebut seramai dua belas orang mestilah dari keturunan Imam
Ali Bin Abi Tolib. Mereka ialah :
1- Abu Hasan Ali
bin Abi Tolib(23sblm hijrah-40h) yang digelar al-Murtadha.
2- Abu Muhammad
Hasan bin Ali(2-50h) yang digelarkan az-Zaky.
3- Abu Abdullah
Husein bin Ali (3-61h) yang digelarkan Sayyid as-Syuhada’.
4- Abu Muhammad
Ali bin Husein(38-95h) yang digelarkan Zainal Abidin.
5- Abu Jaafar
Muhammad bin Ali(57-114h) yang digelarkan al-Baqir.
6- Abu Abdullah
Jaafar bin Muhammad(83-148h) yang digelar as-Sodiq.
7- Abu Ibrahim
Musa bin Jaafar(128-183h) yang digelar al-Kazhim.
8- Abu Hasan Ali
bin Musa(148-203h) yang digelarkan ar-Redha.
9- Abu Jaafar
Muhammad bin Ali(195-220h) yang digelar al-Jawwad.
10-Abu Hasan Ali bin
Muhammad(212-254h) yang digelar al-Hady.
11-Abu Muhammad al-Hasan bin
Ali(232-260h) yang dikenali sebagai al-’Askary
12-Abu al-Qasim Muhammad bin al-Hasan(256h-) yang digelar
al-Mahdy yang merupakan Imam yang ke dua belas
Pengikut Syiah Imamiah berpegang bahawa Imam mereka yang
terakhir iaitu al-Mahdy telah masuk ke dalam sardaba/bilik bawah tanah dalam
rumah ayahnya dan terus ghaib sampailah sekarang. Mereka bercanggah tentang
umur al-Mahdy semasa beliau ghaib. Ada yang berpendapat umurnya pada masa
tersebut ialah empat tahun dan ada yang berpendapat lapan tahun.