Friday, November 18, 2011

Konsep Hijrah

1. Konsep Hijrah Pada Sudut Era Globalisasi

Hijrah dari sudut era globalisasi, juga meliputi perubahan dan penghijrahan dari aspek-aspek fizikal, minda, sikap, hati, selain persekitaran dan pelbagai keadaan kehidupan. Dalam hal ini Allah menjelaskan sebahagian besar ungkapan reformasiNya pada ayat 11 Surah al-Ra'd:

إن الله لا يغير مابقم حتى يغيروا ما بأنفسهم...

"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,''

Kita lihat betapa pentingnya perubahan dan pencapaian dari satu peringkat kepada peringkat yang lain yang lebih baik dan cemerlang. Yang pasti, ia akan membawa banyak kepada perubahan yang lebih baik, kebaikan, keberkatan dan kesejahteraan serta dapat pula dimanfaatkan bagi kepentingan hidup di dunia ini dan bekalan di akhirat nanti.

2. Konsep Hijrah Dari Aspek Masa,

Hijrah amat menitikberatkan pengurusan masa supaya manusia itu tidak berada dalam kerugian, sebelum ia habis dan berakhir dengan kematian. Malahan peringatan tegar ini telah di jelaskan oleh Allah dalam firmanNya:

والعصر* إن الإنسـنلفي خسر* إلا الذين ءامنوا وعملوالصلحات وتواصوابالحق وتواصوابالصبر
Maksudnya: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.


Sementara itu Rasulullah s.a.w menegaskan lagi dalam sabdanya yang bermaksud: “ Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara ” iaitu:

1. Masa muda sebelum tua.
2. Masa kaya sebelum miskin.
3. Masa lapang sebelum sempit.
4. Masa sihat sebelum sakit dan
5. Masa hidup sebelum mati.

yang jelas memperhitungkan bahawa keseimbangan pencapaian dan kemajuan amat diperlukan, bukan saja dalam melaksanakan khidmat atau ibadat, malahan proses mempertingkatkan darjah ketaatan, keimanan dan ketaqwaan ke hadrat Allah. Dalam hubungan ini, era globalisasi akan menguji dan menilai kebijaksanaan manusia mempergunakan masa agar tidak lalai dengan arus kemajuan.

3. Hijrah dari segi bahasa bererti perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi sejarah, hijrah bermaksud perpindahan Nabi dan umat Islam dari kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini telah menjadi satu titik peralihan dalam kehidupan Nabi dan juga perkembangan agama Islam itu sendiri. Penghijrahan ini dilakukan secara senyap bagi mengelakkan diketahui oleh musyirikin Mekah. Mereka berpindah dalam kumpulan yang kecil secara berperingkat-peringkat. Malah penghijrahan nabi bersama Abu Bakar ke Madinah mempunyai hikmahnya tersendiri. Mereka merupakan kumpulan akhir berhijrah bagi tujuan mengabui mata kaum musyrikin.

Dari segi istilah, perkataan hijrah berasal dari akarnya, daripada kata bahasa Arab ha-ja-ra bermaksud; berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain; atau ; berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik; Dalam al-Qur`an, di antara ayat-ayat yang mengandungi kata hijrah ialah surah al-Muddaththir, surah al-Ankabut, surah al-Muzzammil dan al-Nisa;.Antara makna hijrah yang terkandung dalam ayat-ayat di atas ialah meninggalkan perbuatan dosa sebagaimana dalam surah al-Muddaththir ayat 5;

والرّجزفَاهْجُرْ
Maksudnya: Dan Segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.


.Hijrah juga adalah suatu usaha yang dilakukan kerana menunaikan perintah Allah. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Ankabut ayat 26:

فئامن له لوط وقال إنى مهاجر إلى ربّي إنه هوا العزيز الحكيم

Maksudnya: setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Nabi Ibrahim berkata: Sesungguhnya aku akan berpindah ke tempat yang diperintahkan oleh Tuhan;.Ia juga bermaksud menjauhi persekitaran yang tidak baik, melalui uzlah pemikiran dan kerohanian dengan cara yang bijaksana, sebagaimana dalam surah al-Muzzammil ayat 10;dan bersabarlah terhadap apa yangmereka (orangkafir) ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik;. Hijrah juga merujuk peringatan Allah kepada kaum muslimin bahawa orang kafir sentiasa berusaha menjadikan kaum muslimin bergantung kepada mereka dan menjalanikehidupan seperti mereka. Dalam surah an-Nisa; ayat 89 bermaksud:

;Mereka (orang kafir) ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir,sehingga kamu akan menjadi sama seperti mereka. Maka janganlah kamu menjadikan mereka sebagai penolongmu hingga mereka berhijrah pada jalan Allah; Berdasarkan sifat dan keistimewaan bahasa Arab bahawa setiap terbitan perkataan dari satu kata akarnya.

Dalam Al-Quran, Allah yang Maha Tinggi, berfirman:


Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang kekal.´ (Surat AtTaubah: 20-22).

Beberapa hari lagi kita akan memasuki Tahun Baru Hijrah. Tahun dalam agama kita adalah Tuhan Hijrah. Maka itu adalah penting untuk kita mengingati makna dan kepentingan Hijrah itu sendiri. Hijrah adalah salah satu peristiwa yang penting dalam sejarah Islam. Maka itu tidak hairanlah jika Khalifah Umar (ra) memilih Hijrah untuk menjadikannya kalendشr atau tahun Islam. Secara fizikal, Hijrah adalah perjalanan dari satu bandar ke bandar lain yang jaraknya 300 batu.Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah ia juga menandakan permulaan satu era, satu tamadun, satu budaya dan satu sejarah baru bagi umat manusia.Islam berkembang bukan sahaja kerana Hijrah secara fizikal, tetapi juga kerana umat Islam memandang serius terhadap semua aspek dan dimensi Hijrah. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah dari Makkah ke Madinah, baginda tidak sahaja berpindah tempat tinggal atau bermastautin di sebuah kota baru, malah baginda juga merubah segala aspek kehidupan di kota yang didatanginya itu. Adalah penting untuk kita mempelajari dan merenung perubahan yang terjadi di Madinah sejak berlakunya penghijrahan Rasulullah SAW itu. Banyak pelajaran yang boleh kita pelajari dan menjadikannya panduan dalam hidup kita

2. Hijrah Melahir Modal Insan Terbilang

Sempena kita berada di awal tahun baru 1433H, marilah kita sama-sama merenung Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud:

ومن يهاجرفي سبيل الله يجد في الأرض مرغم كثيرا وسعةومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله وكان الله غفورا رحيما

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang di tuju maka telah tetap pahala di sisi Allah dan adalah Allah s.w.t Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Sedar atau pun tidak pada 27 November 2011 ini, kita akan memasuki tahun 1433H 1 Muharram. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, di antaranya ialah dengan meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap kalendar Hijrah yang sangat tinggi nilainya. Sudah sekian lama, umat Islam lebih terbiasa dengan kalendar Masihi dalam kehidupan seharian.Tanyalah diri kita masing-masing tentang sejauh manakah penggunaan kalendar Hijrah untuk mengatur urusan hidup kita seharian? bagaimanakah mungkin kita dapat menentukan waktu solat, puasa Ramadhan, hari raya dan beberapa lagi hari penting dalam Islam tanpa kita merujuk kepada kalendar Hijrah?. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, memartabatkan penggunaan kalendar Hijrah, agar identiti umat Islam lebih terserlah. Sambutan tahun baru Hijrah juga bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati konsep Hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Sekiranya pada bulan Zulhijjah yang baru lalu, kita banyak menyentuh tentang pengorbanan suci yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya Nabi Ismail a.s serta beberapa pengorbanan yang lain, maka pada bulan Muharram pula, kita perlu memfokuskan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah sehingga berjaya mendirikan Negara Islam. Perintah Hijrah ini bukan sahaja dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w., tetapi turut dilalui oleh beberapa nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini. Sesungguhnya Hijrah adalah suatu kewajipan yang mesti ditempohi sebelum datangnya pertolongan dan kejayaan yang lebih besar daripada Allah s.w.t. Jelas sekali hubungan rapat diantara korban dan Hijrah tidak dapat dipisahkan sama sekali. Hanya orang yang sanggup berkorban kerana Allah SWT dan Rasul-Nya sahajalah yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat serta diberi pertolongan oleh Allah SWT.Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah Allah s.a.w. kerana makna Hijrah itu sendiri ialah suatu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah.

Oleh itu mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwabersejarah itu sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan ³Budaya Hijrah´ dalam kehidupan kita seharian, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w, hadith riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasai) yang bermaksud:

“ Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah.´Antara pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada Hijrah Rasulullah s.a.w. ialah:.

1. Hijrah adalah persaudaraan. Semangat ukhuwwah Islamiah yang ditanam dalam diri umat Islam daripada peristiwa Hijrah tersebut sehingga perpecahan dan perbalahan sesama sendiri antara penduduk asal Madinah (Aus) dan (Khazraj) dapat diselesaikan. Begitu juga berlakunya persaudaraan yang luar biasa antara golongan Ansar dan Muhajirin dapat disatukan atas dasar Islam,seperti Sa’ad bin Rabi’ dengan Abdul Rahman bin Auf.

2. Hijrah itu ialah kejayaan. Hijrah itu membentuk suatu pegangan yang kuat, segala masalah dapat diselesaikan berpaksikan akidah Islamiah. Kita dapat saksikan melalui catatan sejarah di mana bangsa Arab Madinah yang terdiri daripada Aus dan Khazraj bersengketa sesama sendiri.Golongan Yahudi yang merupakan penduduk minoriti Madinah pada masa itu, dapat hidup senang dan menguasai ekonomi Madinah. Yahudi mengambil kesempatan atas perbalahan itu di mana satu golongan Yahudi memberi bantuan kepada Aus dan satu golongan yang lain memberi bantuan kepada Khazraj. Yahudi telah menjual senjata kepada golongan yang berbalah ini yang menyebabkan mereka dapat mengautkeuntungan di atas perpecahan orang lain.Oleh itu, menjadi satu yang tidak pelik, apabila Zionis Yahudi pada hari inimenggunakan kuasa besar terutama Amerika dalam menjajah bumi umat Islam di mana musuh Islam ini tidak berjaya melakukan penjajahan baru melainkan dengan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam dengan meniupkan kembali semangat(‘Asabiah). Bumi Afghanistan diranapkan selepas umat Islam berpecah dari dalam dan luar negara. Begitu juga Iraq dimusnahkan, setelah hancurnya kesatuan umat Islam. Malah hukuman gantung terhadap Saddam Hussein bekas Presiden Iraq merupakan antara usaha dalam menambahkan lagi permusuhan antara umat Islam yang sedia bertelagah sesama sendiri. Musuh Islam bersorak riang atas perpecahan umat Islam, menjajah setelah kita berpecah, mengaut keuntungan atas perbalahan sesama sendiri yang tidak berkesudahan.


Jika Rasulullah s.a.w. berjaya membuang semangat ‘asabiah dan menangani masalah perpecahan sesama sendiri dengan menjadikan Islam sebagai asas perpaduan, maka umat Islam hari ini pun wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan kita semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani memperkotak-katikkan kita sesuka hati mereka. Melalui ikatan persaudaraan yang dijalinkan atas asas iman yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. telah membolehkan sebuah Daulah Islamiah ditegakkan sehingga bukan sahaja system pemerintahan, perundangan, pendidikkan, ekonomi dan sosial berasaskan Islam dapat dilaksanakan, malah sistem jahiliah yang menindas seperti amalan riba dapat dihapuskan. Hijrah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada yang bebas, insan yang dihina kepada yang mulia, insan yang lemah bertukar menjadi kuat. Daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu.

Oleh itu marilah kita berhijrah dengan menyuburkan semula pengetahuan Agama dan memperkasakan iman serta membasmi kejahilan dan memerangi kesesatan. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 74

والذين ءامنوا من بعد وهاجروا وجاهدوا في سبيل الله والذين ءاوواوّنصروا أولئك هم المؤمنون حقا لهمّ مغفرة ورزق كريم

Yang bermaksud: Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah danmereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan kurniaan yang mulia´.

Sumber: Jabatan Kemajuan IslamMalaysia

No comments: