Thursday, November 8, 2012

MENGHAYATI KONSEP HIJRAH 1434


1.0 Pengenalan

Umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut tahun baru Islam . Dengan wujudnya kalendar Islam ini, umat Islam dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dsepanjang bulan-bulan Islam. Kalendar Islam diwujudkan bertujuan memperingati sirah para rasul dan memertabatkan peristiwa bersejarah dalam Islam di bumi yang tercinta ini. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa umat Islam di Negara Malaysia telah terkehadapan dalam memertabatkan syi’ar Islam dirantau Nusantara. Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.

Demi menyuntik semangat dan mengukuhkan intergriti kepada setiap umat Islam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. ini di jadi suatu peristiwa penting dalam kalendar Islam. Kerajaan dalam memperkasakan hal ini telah mengiktiraf 1 Muharam merupakan tahun yang penuh bermakna kepada umat Islam di Malaysia. Peristiwa yang bersejarah ini telah diberikan pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia sebagai hari cuti umum. Perayaan awal tahun Islam yang bersejarah ini di panggil Ma’al Hijrah.

2.0 Definisi

Hijrah dari segi bahasa bererti perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi sejarah, hijrah bermaksud perpindahan Nabi dan umat Islam dari kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini telah menjadi satu titik peralihan dalam kehidupan Nabi dan juga perkembangan agama Islam itu sendiri. Penghijrahan ini dilakukan secara senyap bagi mengelakkan diketahui oleh musyirikin Mekah. Mereka berpindah dalam kumpulan yang kecil secara berperingkat-peringkat. Malah penghijrahan nabi bersama Abu Bakar ke Madinah mempunyai hikmahnya tersendiri. Mereka merupakan kumpulan akhir berhijrah bagi tujuan mengabui mata kaum musyrikin.

Dari segi istilah, perkataan hijrah berasal dari akarnya, daripada kata bahasa Arab ha-ja-ra bermaksud; berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain; atau ; berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik; Dalam al-Qur`an, di antara ayat-ayat yang mengandungi kata hijrah ialah surah al-Muddaththir, surah al-Ankabut, surahal-Muzzammil dan al-Nisa; Antara makna hijrah yang terkandung dalam ayat-ayat di atas ialah meninggalkan perbuatan dosa sebagaimana firman Allah surah al-Muddathir ayat 5;

Maksudnya: Dan Segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

.Hijrah juga adalah suatu usaha yang dilakukan kerana menunaikan perintah Allah. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Angkabut ayat 26 yang bermaksud:

Maksudnya: setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Tahun dalam agama kita adalahTuhan Hijrah. Maka itu adalah penting untuk kita mengingati makna dan kepentingan Hijrah itu sendiri. Hijrah adalah salah satu peristiwa yang penting dalam sejarah Islam. Maka itu tidak hairanlah jika Khalifah Umar (ra) memilih Hijrah untuk menjadikannya kalender atau tahun Islam. Secara fizikal, Hijrah adalah perjalanan dari satu bandar ke bandar lain yang jaraknya 300 batu.Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah ia juga menandakan permulaan satu era, satu tamadun, satu budaya dan satu sejarah baru bagi umat manusia. Islam berkembang bukan sahaja kerana Hijrah secara fizikal, tetapi juga kerana umat Islam memandang serius terhadap semua aspek dan dimensi Hijrah. Apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah, baginda tidak sahaja berpindah tempat tinggal atau bermastautin di sebuah kota baru, malah baginda juga merubah segala aspek kehidupan di kota yang didatanginya itu. Adalah penting untuk kita mempelajari dan merenung perubahan yang terjadi di Madinah sejak berlakunya penghijrahan Rasulullah s.a.w itu.Banyak pelajaran yang boleh kita pelajari dan menjadikannya panduan dalam hidup kita

3.0 Konsep Hijrah Pada Sudut Era Globalisasi

Jika dilihat dari sudut era globalisasi, hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan dari pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati, selain persekitaran dan pelbagai keadaan kehidupan. Perubahan yang dilaku mampu merubah keadaan hidup samada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan tarap hidup. Dalam soal ini Allah memperingatkan kita melalui firmanNya ayat 11 surah al-Ra'd:

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,''

Kita lihat betapa pentingnya perubahan dan pencapaian dari satu peringkat kepada peringkat yang lain yang lebih baik dan cemerlang. Yang pasti, ia akan membawa banyak kepada perubahan yang lebih baik, kebaikan, keberkatan dan kesejahteraan serta dapat pula dimanfaatkan bagi kepentingan hidup di dunia ini dan bekalan di akhirat nanti.

4.0 Konsep Hijrah Dari Aspek Masa, Hijrah amat menitikberatkan pengurusan masa supaya manusia itu tidak berada dalam kerugian, sebelum ia habis dan berakhir dengan kematian. Malahan peringatan tegar ini telah di jelaskan oleh Allah dalam firmanNya surah al-'Asr 1 - 4:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."

Sementara itu Rasulullah s.a.w menegaskan lagi dalam sabdanya yang bermaksud: “ Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara ” iaitu:

1. Masa muda sebelum tua. 2. Masa kaya sebelum miskin. 3. Masa lapang sebelum sempit. 4. Masa sihat sebelum sakit dan 5. Masa hidup sebelum mati.

Disamping itu jangan lupa dalam memperhitungkan keseimbangan pencapaian dan kemajuan yang diperlukan kita tidak terlupa akan tuntutan terhadap ibadat kepada Allah, malahan proses mempertingkatkan darjah ketaatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah seimbang. Dalam hubung ini, era globalisasi akan menguji dan menilai kebijaksanaan kita mempergunakan masa agar tidak lalai dengan arus kemajuan. 5.0 Kepentingan Hijrah

5.1 Perubahan Pusat Gerakan Islam Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah.

5.2 Penyebaran Islam Semakin Meluas Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.

5.3 Perubahan Kedudukan Nabi Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.

5.4 Pertambahan Umat Islam Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari 2 golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.

5.5 Penubuhan Negara Islam Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.

5.6 Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.

5.7 Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

5.8 Perubahan Dasar Politik Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang apa sahaja penentangan Quraisy secara kekerasannya. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar.

6.0 Faktor Terjadinya Peristiwa Hijrah

6.1 Bai'at Aqabah
Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui Bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.

6.2 Tekanan Musyirikin Mekah

Ancaman dari kaum musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Madinah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.

6.3 Kegagalan Dakwah di Taif

Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.

6.4 Kematian Abu Talib dan Khadijah

Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.

6.5 Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.

6.6 Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.

6.7 Kedudukan Madinah yang Strategik

Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.

6.8 Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi

Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.

6.9 Wahyu

Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah

7.0. Hijrah Melahirkan Insan Terbilang

Sempena meyambut tahun baru 1434H, marilah kita sama-sama menanamkan satu azam dan tekad baru yang dapat menyutik semangat bagi mendorong kita untuk melakuan suatu yang lebih baik di tahun yang baru ini. renungilah firman Allah dalam surah nisak ayat 100 yang bermaksud:

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang di tuju maka telah tetap pahala di sisi Allah dan adalah Allah s.w.t Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, di antaranya ialah dengan meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap kalendar Hijrah yang sangat tinggi nilainya. Sudah sekian lama, umat Islam lebih terbiasa dengan kalendar Masihi dalam kehidupan seharian. Sejauh manakah kita telah mengaplikasikan kalendar Hijrah di dalam kehidupan kita sebelum ini. Bagaimanakah mungkin kita dapat menentukan waktu solat, puasa Ramadhan, ‘Aidilfitri dan beberapa lagi hari penting dalam Islam tanpa kita merujuk kepada kalendar Hijrah?. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, memartabatkan penggunaan kalendar Hijrah, agar identiti umat Islam lebih terserlah. Sambutan tahun baru Hijrah juga bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati konsep Hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Sekiranya pada bulan Zulhijjah yang baru lalu, kita banyak menyentuh tentang pengorbanan suci yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya Nabi Ismail a.s serta beberapa pengorbanan yang lain, maka pada bulan Muharram pula, kita perlu memfokuskan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah sehingga berjaya mendirikan Negara Islam. Perintah Hijrah ini bukan sahaja dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilalui oleh beberapa nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini. Sesungguhnya Hijrah adalah suatu kewajipan yang mesti ditempohi sebelum datangnya pertolongan dan kejayaan yang lebih besar daripada Allah SWT. Jelas sekali hubungan rapat diantara korban dan Hijrah tidak dapat dipisahkan sama sekali. Hanya orang yang sanggup berkorban kerana Allah SWT dan Rasul-Nya sahajalah yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat serta diberi pertolongan oleh Allah SWT.Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah AllahSWT kerana makna Hijrah itu sendiri ialah suatu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah.

Oleh itu mengingati peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwa bersejarah itu sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan Budaya Hijrah´ dalam kehidupan kita seharian, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Rasulullah s.a.w., ( hadith riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasai) yang bermaksud:

“Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah.”

Antara pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada Hijrah Rasulullah s.a.w. ialah:

1. Hijrah adalah persaudaraan.

Semangat ukhuwwah Islamiah yang ditanam dalam diri umat Islam daripada peristiwa Hijrah tersebut sehingga perpecahan dan perbalahan sesama sendiri antara penduduk asal Madinah (Aus) dan (Khazraj) dapat diselesaikan. Begitu juga berlakunya persaudaraan yang luar biasa antara golongan Ansar dan Muhajirin dapat disatukan atas dasar Islam,seperti Sa’ad bin Rabi’ dengan Abdul Rahman bin Auf.

2. Hijrah itu ialah kejayaan.

Hijrah itu membentuk suatu pegangan yang kuat, segala masalah dapat diselesaikan berpaksikan akidah Islamiah. Kita dapat saksikan melalui catatan sejarah di mana bangsa Arab Madinah yang terdiri daripada Aus dan Khazraj bersengketa sesama sendiri. Golongan Yahudi yang merupakan penduduk minoriti Madinah pada masa itu, dapat hidup senang dan menguasai ekonomi Madinah. Yahudi mengambil kesempatan atas perbalahan itu di mana satu golongan Yahudi memberi bantuan kepada Aus dan satu golongan yang lain memberi bantuan kepada Khazraj. Yahudi telah menjual senjata kepada golongan yang berbalah ini yang menyebabkan mereka dapat mengaut keuntungan di atas perpecahan orang lain. Oleh itu, menjadi satu yang tidak pelik, apabila Zionis Yahudi pada hari ini menggunakan kuasa besar terutama Amerika dalam menjajah bumi umat Islam di mana musuh Islam ini tidak berjaya melakukan penjajahan baru melainkan dengan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam dengan meniupkan kembali semangat(‘Asabiah). Bumi Afghanistan diranapkan selepas umat Islam berpecah dari dalam dan luar negara. Musuh Islam bersorak riang atas perpecahan umat Islam, menjajah setelah kita berpecah, mengaut keuntungan atas perbalahan sesama sendiri yang tidak berkesudahan.

Rasullah s.a.w. berjaya mewujudkan perpaduan dengan melenyap sikap ‘asabiah dikalangan orang arab dengan menjadikan Islam sebagai asas pepaduan, maka umat Islam hari ini pun wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan kita semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani memperkotak-katikkan kita sesuka hati mereka. Melalui ikatan persaudaraan yang dijalinkan atas asas iman yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. telah membolehkan sebuah Daulah Islamiah ditegakkan yang bukan sahaja system pemerintahan, perundangan, pendidikkan, ekonomi dan sosial berasaskan Islam dapat dilaksanakan, malah sistem jahiliah yang menindas seperti amalan riba dapat dihapuskan. Hijrah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada yang bebas, insan yang dihina kepada yang mulia, insan yang lemah bertukar menjadi kuat. Daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu.

Oleh itu marilah kita berhijrah dengan menyuburkan semula pengetahuan Agama dan memperkasakan iman serta membasmi kejahilan dan memerangi kesesatan. Firman Allah surah al-Amfal ayat 7 yang bermaksud:

"Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah danmereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan kurniaan yang mulia."

Kesimpulan

Umat Islam hari ini tidak seharusnya seronok saban kali Maal Hijrah baru muncul. Seronok dapat berehat bersama ahli keluarga sempena cuti Maal Hijrah, mengadakan atau menghadiri majlis-majlis di sana sini. Tidak cukup hanya dengan semua itu. Apa yang penting ialah gerak kerja melaksanakan setiap tekad dan azam yang telah dirancang bagi diri sendiri dan ahli keluarga, pringkat desa dan nasional dan seterusnya antarabangsa hendaklah di aplikasikan secara bersepadu dan berterusan. Justeru itu untuk lebih maju ke hadapan samada dalam bidang pelajaran, ekonomi, kerjaya dan politik kita harus bangkit segera tanpa menoleh kebelakang. Kita bukan sekadar ingin menyerlahkan kekuatan dan kemajuan yang sudah dimiliki bersama orang lain malah lebih dari itu kita seharusnya mampu memberikan satu produk atau jenama baru yang dikeluarkan oleh negara kita sendiri. Bukan sekadar diguna pakai oleh anak tempatan , tetapi mampu memikat hati dan berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain. Dengan itu produk negara kita akan terjenama di persada dunia seumpama produk dari negara-negara yang hebat seperti Cina, Jepun, Korea dan negara maju yang lain. Maka barulah ia boleh dikatakan berubah dari yang kurang baik kepada yang baik dan dari yang lebih baik dan yang terbaik. Disamping itu jangan lupa dalam memperhitungkan keseimbangan pencapaian dan kemajuan yang diperlukan kita tidak terlupa akan tuntutan terhadap ibadat kepada Allah, malahan proses mempertingkatkan darjah ketaatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah seimbang. Dalam hubung ini, era globalisasi akan menguji dan menilai kebijaksanaan kita mempergunakan masa agar tidak lalai dengan arus kemajuan.

2 comments:

azlismkpengkalanchepa2 said...

terima kasih...amat berguna kepada saya..syukran

ruhanislah said...

sangat berguna... terima kasih