Tuesday, October 1, 2013

PENDEKATAN DAKWAH TERHADAP BUKAN ISLAM (NON-MUSLIM)


PENDAHULUAN

Dakwah adalah asas kepada kemunculan agama Islam dan penyebarannya. Tanpa dakwah Islam tidak muncul dan tersebar luas sebagaimana yang ada pada masa ini. Peranan dakwah yang sebegini penting dapat dilihat dengan jelas dalam sejarah kelahiran agama Islam dan perkembangannya. Setelah Rasulullah s.a.w wafat maka tugas dan kewajipan berdakwah dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam berdasarkan kepada kedudukan mereka sebagai umat yang terbaik dan paling layak bagi melaksanakan kewajipan tersebut. (Q.3:110).

Defenisi

Dakwah dari sudut etimologi (bahasa), berasal daripada perkataan arab iaitu Da'a, Yad'u, Da'watan, wada'iyatan yang memberi erti menyeru, memanggil, mengajak, mempengaruhi atau melaung. Kata dasar “dakwah” dalam penggunaan bahasa arab menurut kamus munjid al-Tullab (hlm.200) boleh diterima pakai untuk 17 makna yang berlainan.

     Manakala dari sudut terminologi (istilah), Dr.Yusuf al-Qardawi mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan ketetapannya di muka bumi, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah s.w.t sahaja, melepaskan diri daripada segala konkongan yang bukan daripada Allah s.w.t (taghut ) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah s.w.t, menafikan hak ke atas orang yang dinafikan hak oleh Allah s.w.t, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan berjihad pada jalan-Nya.

Menurut Kamus Dewan ( hlm: 244-255)
Suatu kegiatan menyeru dan membimbing (mendidik dan sebagainya) serta menyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari (menghayati) dan mengamalkan ajaran agama (agama Islam).

Menurut Muhamad Ghazali: Dakwah sebagai suatu program yang lengkap, yang semua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia, bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yg menjadi petunjuk mereka.

Istilah  Non-Muslim

Istilah ini  merujuk kepada orang-orang yang belum kembali kepada Islam atau bukan beragama Islam atau yang mempunyai kepercayaan atau agama selain dari agama Islam. Istilah Non-Muslim lebih ideal untuk digunakan dalam konteks dakwah berbanding istilah-istilah yang lain seperti al-Kufr, al Munafiq dan al-Syirik  kerana ketiga-tiga istilah ini lebih sesuai untuk diasimilasikan terhadap golongan yang menolak Islam setelah sampai kepadanya kebenaran. Maka tidak adil untuk disama-ratakan kesemua golongan bukan Islam sebagai tiga golongan di atas. Oleh yang demikian, seputar topik Pendekatan Dakwah Terhadap Non-Muslim istilah pendekatan dalam konteks ini boleh diertikan sebagai:

1. Metod; merujuk kepada kaedah, cara atau sistem penyampaian dakwah,
2. Uslub; gaya penyampaian isi atau kandungan dakwah dengan  ibarat atau bentuk tertentu dan
3. Wasilah; medium atau saluran yang digunakan untuk menyampaikan kandungan dakwah.

     Oleh yang demikian, ringkasnya topik Pendekatan DakwahTerhadap Non-Muslim merupakan suatu topik yang membincangkan tentang apakah metod atau uslub atau wasilah yang terbaik yang boleh diaplikasikan dalam usaha penyampaian dakwah Islamiyah kepada golongan bukan Islam berdasarkan kepada latar belakang sasaran (mad’u )serta kepercayaan yang dianuti.


NON-MUSLIM

Zaidan (1976: 366-390)  membahagikan orang bukan Islam kepada tiga, iaitu:

i. Golongan atasan, yang biasanya lebih banyak menentang dakwah dan sukar untuk diajak kepada Islam kerana ingin mempertahankan kedudukan mereka.

ii. Golongan orang awam, yang biasanya lebih senang menerima dakwah kerana mereka tiada apa-apa kepentingan untuk menolak Islam.

iii. Golongan munafik, yang sering melakukan kerosakan dalaman masyarakat Islam. Mereka juga susah untuk menerima dakwah kerana terikat dengan kepentingan mereka.
Selain itu, Non-Muslim atau orang bukan Islam menurut Ab.Aziz Mohd Zin (2001), terdiri daripada pelbagai kelompok dan kepercayaan, iaitu:

i. Golongan pemuja patung berhala ( golongan musyrik).

Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan penganut agama Hindu dan Buddha.Dalam kalangan golongan ini juga terdapat kelompok yang menganut kepercayaan animism iaitu mempercayai wujudnya roh semangat dan kuasa disebalik pokok, binatang dan sebagainya.

ii. Golongan yang beragama Kristian dan Yahudi.

iii. Agama Kristian dan Yahudi dikategorikan dalam kelompok Agama Samawi (Agama Langit),yang mana kedua-dua agama ini pada asalnya adalah daripada ajaran Nabi Isa a.s dan Nabi Musa a.s yang berpandukan kepada kitab Injil dan kitab Taurat, namun kemudiannya telah diselewengkan oleh para pengikutnya. Istilah asalnya, golongan ini disebut dalam al-Quran sebagai Ahli Kitab

iv. Golongan Ateisme
Golongan ini terdiri daripada kelompok yang berfahaman bebas dari ikatan agama yang ada (free thinker). Istilah asalnya, disebut sebagai golongan mulhid.

v. Golongan Munafik
Munafik iaitu golongan yang berpura-pura dan menyembunyikan isi hatinya yang sebenar. Menurut Najati (1993) , orang munafik ialah orang yang lemah peribadi, orang yang teragak-agak dan orang yang tidak boleh menentukan sikap yang jelas tentang keimanannya. Muhammad Jamil Ghazi pula menyatakan golongan munafik sebagai golongan yang semasa bersama orang mukmin mereka melahirkan keimanan, manakala ketika bersama dengan orang kafir mereka melahirkan kekufuran, perbuatan ini adalah berdasarkan kepentingan dirinya.


ASAS DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM

Asas utama sekali yang harus dilakukan oleh seorang da’ie sebelum melakukan proses dakwah Islamiyah ialah muhasabah diri serta memperbetulkan niat dan matlamat. Niat yang betul yakni, Lillahi t aa’la akan melahirkan sifat keikhlasan dalam diri seorang da'ie yang mana sentuhannya secara tidak langsung akan mempengaruhi personaliti dan karisma diri seorang pendakwah yang terzahir pada jasad. Mudahnya, akhlak yang baik adalah cerminan yang terbaik dalam proses memulakan dakwah, terutama kepada golongan non-muslim khususnya di Malaysia. Hal ini kerana, kebanyakan golongan non-muslim di Malasyia menolak dan tidak memandang Islam sebagai sebuah agama atau satu cara hidup yang terbaik adalah berpunca daripada peribadi muslim itu sendiri, sama ada golongan muslim yang berada di puncak kepimpinan mahu pun bawahanya.

      Dalam hal ini, perspektif yang salah terhadap konsep Islam dan Muslim menyumbang kepada peratusan penerimaan terhadap isi kandungan dakwah. Contohnya seperti Islam agama terrorist  kerana suka berperang, agama yang kejam, zalim terhadap penganut agama lain, Islam terlalubanyak peraturan dan menyusahkan dan lain-lain. Oleh yang demikian, perkara pertama yang terlebih dahulu perlu dilakukan oleh seorang da’ie ketika berdakwah kepada non-muslim ialah memperbetulkan misconceptions yakni salah tanggapan terhadap Islam. Jelaskan kepada mereka tentang perbezaan konsep antara Islam dan Muslim. Islam dan Muslim merupakan dua subjek nilai yang berbeza. Islam merujuk kepada satu cara hidup yang terbaik yang dianjurkan oleh Allah s.w.t yang dijamin sesuai dengan fitrah manusia pada setiap zaman.Pada Islam berdirinya prinsip-prinsip yang menjadi pegangan kepada manusia yang mengimaninya dan golongan manusia inilah yang diistilahkan sebagai Muslim.

     Maka, perbezaannya adalah jelas yang mana apa yang hendak kita sampaikan kepada mereka adalah tentang mesej-mesej Islam bukannya tentang mesej-mesej Muslim. Kembali kepada fitrah atau lumrah manusia itu sendiri, yang mana ianya tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan tidak aka ada manusia yang sempurna. Justeru itu, tidak adil untuk Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna itu dihukum atas ketidak sempurnaan penganutnya dalam menghayati norma-norma yang dianjurkan dalam Islam. Selain itu, terdapat dalam golongan non-muslim dan juga ahli keluarga mereka menyalah tafsir dan silap faham mengenai istilah Melayu dan juga Islam. Mereka menganggap orang Melayu adalah orang Islam dan masuk Islam bererti masuk Melayu. Fahaman terhadap kedua-dua istilah ini adalah salah sama sekali.

      Fahaman ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi persepsi negatif golongan non-muslim untuk menjinakkan diri atau mendekati masyarakat muslim yang dalam konteks di Malaysia majoritinya terdiri daripada orang berbangsa Melayu. Dari aspek lain mereka selalu menjadikan orang melayu sebagai contoh kepada Islam sama ada pada aspek baik dan buruk. Imej yang buruk tentang melayu tidak boleh ditempelkan terhadap muslim dan Islam. Oleh yang demikian, kesamaran tentang pemahaman masuk Islam adalah masuk melayu perlu diperbetulkan dan dijelaskan agar Islam tidak dilabelkan pada mana-mana kaum atau bangsa kerana Islam adalah sebuah agama universal dan penganutnya terdiri daripada pelbagai suku kaum dari seluruh pelusuk dunia.

      Perkara ini penting untuk dijelaskan oleh seorang da’ie dalam mendekati mad’u (sasaran) non-muslim. Analoginya mudah, umpama sebiji cawan yang kotor, andai dituangkan air yang bersih sehingga penuh pun tetap tidak akan dapat diminum, malah akan dibuang kerana ianya tetap kotor dan boleh memudaratkan kesihatan. Tetapi, seandainya sebiji cawan tersebut dibersihkan terlebih dahulu sebelum dituangkan air yang bersih ke dalamnya, air tersebut akan dapat diminum walaupun hanya sedikit. Kesimpulannya, asas dakwah terhadap non-muslim merangkumi :

1. Bina hubungan
2. Membina asas kepercayaan antara da’ie dan mad’u
3. Menghilangkan kesamaran dan salah faham mad’u terhadap Islam.


PENDEKATAN DAKWAH TERHADAP NON-MUSLIM

Di dalam rujukan utama kita yakni Al-Quran Al-Karim, Allah SWT telah menggariskan beberapa pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh seorang pendakwah dalam menyebarkan dakwah.

Firman Allah SWT ;

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan Dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.(Surah an-Nahl: 125)


Manakala, asas metodologi atau pendekatan dakwah menurut Ab. Aziz Mohd. Zin (1999) ialah ;

1. Penjelasan yang nyata dan jelas
2. Berperingkat-peringkat
3. Mudah
4. Menjinakkan
5. Adanya sebab disebalik sesuatu suruhan dan larangan.
6. Bersesuaian dengan keadaan sasaran.


     Oleh yang demikian, dalam konteks “Pendekatan Dakwah Terhadap Non-Muslim” maka beberapa pendekatan berikut boleh diaplikasikan :


1. Dakwah bil Hal

Dakwah bil hal juga disebut sebagai “Dakwah bil qudwah hasanah” yang bererti dakwah melalui tingkah laku serta contoh teladan yang baik. Ditonjolkan melalui akhlak dan nilai moral yang terzahir pada diri seseorang individu muslim. Ab. Aziz Mohd. Zin (2001) menyebut dakwah bilhal sebagai;

     Dakwah bil hal bererti dakwah melalui contoh teladan yang baik. Ia menjadi contoh teladan atau modul kepada kemuliaan dan keagungan Islam. Dakwah bilhal boleh menghilangkan perasaan prejudis dan negatif orang bukan Islam terhadap Islam. Penonjolan contoh teladan yang baik dalam kehidupan harian orang Islam satu perkara yang penting dalam dakwah kerana ia boleh memperlihatkan tentang kemuliaan agama Islam yang perlu diikuti oleh semua orang. Contoh teladan yang baik akan menjadi pengaruh yang besar kepada orang lain untuk mengikuti sesuatu cara hidup yang ditunjukkan”

     Dakwah bil hal merupakan satu pendekatan dakwah yang efektif dalam konteks psikologi dakwah kepada non-muslim. Contohnya, seperti kata pepatah, “senyum, tak perlu kata apa apa”. Menurut psikologi manusia, senyuman yang ikhlas akan membuatkan orang yang berada disekeliling kita berasa senang dan mampu menarik minat orang untuk lebih mendekati kita. Dalam hal ini, senyuman juga merupakan satu akhlak yang terpuji yang dianjurkan dalam Islam. Sunnatullah untuk kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi dalam sahihnya Rasululullah s.a.w bersabda;  “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah”. Selain itu, terdapat banyak lagi akhlak dan nilai moral yang terpuji yang dianjurkan oleh Islam dalam setiap ceruk kehidupan manusia. Bermula dari akhlak antara manusia dengan pencipta, akhlak manusia sesama manusia, akhlak manusia dengan haiwan, akhlak manusia dengan alam dan sebagainya.


2. Dakwah bil Mal

Dakwah bil mal bermaksud usaha dakwah yang dilakukan melalui gerak kerja berbentuk kebajikan, sama ada berbentuk kewangan ataupun berbentuk sumbangan tenaga dan masa. Antara yang boleh dilakukan ialah memperkasakan badan-badan zakat dan kebajikan yang ada di Malaysia dengan memperbaiki kelemahan dalaman dan luaran organisasi sama ada daripada aspek pengurusan mahu pun prosedur supaya badan-badan ini boleh menjadi penjana sumber pada kelangsungan gerak kerja dakwah kepada non-muslim.

     Dalam sektor zakat, bahagian yang boleh dibahagikan kepada golongan non-muslim hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu gerak kerja dakwah kepada non-muslim samada melalui penganjuran program-program berbentuk kebajikan atau pun bantuan saluran kewangan kepada golongan mualaf (non-muslim) yang hendak berjinak-jinak atau berminat dengan Islam) dan golongan non-muslim yang memerlukan yang layak menerima bantuan zakat (merujuk kepada bantuan yang seumpama dengannya).

     Selain itu, mengatur program-program berbentuk khidmat masyarakat atau kebajikan di hospital,penjara, rumah anak-anak yatim atau kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya non-muslim juga wajar dilakukan terutamanya kepada golongan yang lemah dan memerlukan. Program-program sebegini boleh memikat sasaran atas sumbangan dan khidmat yang diberikan.


3. Dakwah bil Kutub

 Dakwah bil kutub bererti dakwah melalui penulisan. Dalam era globalisasi kini, da’wah bil kutub tidak semestinya merujuk kepada penulisan risalah atau buku-buku, asalkan berkaitan dengan penulisan dan boleh dijadikan sebagai wasilah dakwah maka ianya boleh dikategorikan sebagai da’wah bil kutub. Contoh yang paling mudah ialah dakwah melalui Blog, Laman Web, Yahoo Group, Facebook , emel, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan banyak lagi. Dakwah melalui penulisan adalah antara metod dakwah yang paling meluas boleh diaplikasikan oleh semua orang. Apa yang dimaksudkan dengan penulisan ialah satu kegiatan memikir, mengkaji, merakam dan menulis sekumpulan pengalaman diri hasil daripada pemerhatian, Kegiatan penulisan sama ada penulisan kreatif atau non-kreatif dapat membantu idea-idea dan pemikiran serta ilmu tersebar dengan meluas. Dalam konteks dakwah, penulisan merupakan aktiviti penyampaian maklumat tentang Islam, serta mengajak manusia ke arah kebaikan dan memberi peringatan kepada manusia yang lalai.

     Antara isi kandungan dakwah yang boleh dimasukkan dalam penulisan dakwah kepada non-muslim ialah penjelasan tentang keistimewaan Islam dan keuntungan-keuntungan yang akan diperolehi melalui Islam. Dengan itu, keadilan, kesejahteraan, persamaan, peluang dalam pencarian penghidupan dan lain-lain dasar dalam Islam perlulah ditonjolkan penjelasannya supaya orang bukan Islam berasa tidak rugi apabila menerima Islam, malah sebaliknya.


4. Dakwah bil Lisan

Selain itu, dakwah kepada non-muslim juga boleh dilakukan melalui pendekatan, one to on, ceramah-ceramah umum, mousqe tour guide‟ dan lain-lain. Walau bagaimanapun, lapangan atau pun wasilah yang paling sesuai dalam usaha dakwah kepada non-muslim dengan metod billisan ialah pada majlis dialog perbandingan agama atau “interfaith dialog.” atau pun pada seminar-seminar perbandingan agama, seminar kefahaman Islam dan sebagainya. Hal ini kerana, sudah pasti kalangan hadirin yang menghadirkan diri di majlis-majlis sebegini adalah golongan yang memang ingin mengetahui tentang Islam dan apakah perbezaannya dengan agama-agama yang lain. Justeru, penekanan isi berhubung dengan wahyu dan kerasulan harus disampaikan dan dikupas dengan sebaik mungkin sesuai dengan tahap pengetahuan yang umumnya ada pada golongan sebegini serta disampaikan dengan uslub yang terbaik dan gaya bahasa yang mudah untuk difahami oleh mereka. Penekanan tentang wahyu dan kerasulan (isi dakwah) adalah untuk memberi kefahaman bahawa Islam berasal dari Pencipta alam ini dan keadaannnya berbeza sama sekali dengan agama-agama lain yang punca asalnya tidak menentu, sama ada dari pencipta atau dari pemikiran manusia. Antara yang boleh ditonjolkan ialah bukti-bukti mengenai keaslian dan kemukjizatan al-Quran, bukti-bukti mengenai Nabi Muhammad sebagai Nabi terakhir yang terdapat di dalam al-Quran dan juga kitab-kitab agama lain seperti Kitab Hindu, Bible dan sebagainya. Dalam pada itu, turut diterangkan tentang perbandingan antara Islam dengan agama-agama lain, contohnya isu tentang kepercayaan yakni akidah Islamiyah. Hal ini akan memperlihatkan kepada mereka bahawa dasar-dasar akidah dalam Islam sesuai dengan fitrah kejadian manusia, senang dan lebih mudah untuk difahami.

Firman Allah s.w.t :

Maksudnya: Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta"
                                                                                                                             

CARI PERSAMA DAN ELAKAN PERBEZAAN

Firman Allah s.w.t ;

Maksudnya:
Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai ahli kitab, marilahkepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah, Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya)maka Katakanlah kepada mereka:“Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam

(Surah Ali Imran: 64)

     Dalam keghairahan kita melakukan dakwah kepada non-muslim sama ada dakwah bil hal, billisan dan sebagainya, ayat ini mengajar kita supaya mencari persamaan ketika berdakwah. Seelok-eloknya carilah persamaan dan jauhilah perbezaan.

Hal ini kerana, dalam konteks dakwah, satu titik persamaan akan lebih mendekatkan kita dengan mereka berbanding satu titik perbezaan yang hanya akan mendatangkan pelbagai perspektif yang negatif terhadap Islam dan akan menjauhkan lagi mereka dengan kita.

Firman Allah s.w.t lagi dalam surah al-Ankabut:                

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri."
(Surah al-Ankabut: 46)

     Ayat ini menjelaskan bahawa kita dibenarkan untuk berbahas dengan non-muslim Tetapi hendaklah dilakukan dengan cara yang baik. Namun, cara yang lebih tegas boleh digunakankepada golongan non-muslim yang zalim, yakni berlaku zalim kepada golongan muslim. Walau  bagaimanapun, kita sama sekali dilarang untuk mencerca sembahan mereka serta ditegah dari memperlekehkan amalan-amalan mereka yang lain sebagaimana firman Allah s.w.t :

Maksudnya:
dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yangmereka telah lakukan.

(Surah al-An‟am: 108)



PENUTUP

Sebagai seorang da’ie limitasi tugas kita hanyalah sebagai mubaligh/ah. Tugas kita hanyalah sebagai penyampai, yang menyampaikan kepada golongan non-muslim tentang Islam. Allah s.w.t telah menegaskan bahawasanya tugas kita hanyalah menyampaikan kepada mereka petunjuk, tetapi hanya Allah s.w.t jualah yang akan memberikan petunjuk yakni hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. 

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan  disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

(Surah al-Baqarah: 272)




Rujukan:

Ab. Aziz Mohd. Zin. 1999. Dakwah di Malaysia. Kuala Lumpur:  Penerbit Universiti Malaya

Ab. Aziz Mohd. Zin.  1999). Metodologi Dakwah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

 Ab. Aziz Mohd. Zin. 1999. Pengantar Dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Dr. Abdul Karem Zaidan. 2009. Dasar-Dasar Ilmu Dakwah.  Dewan Pustaka Fajar

Dato’ Haji Mohd Amin Abdul Rahman. 2007. Panduan Dakwah Secara Pratikal. Darul Fikir Sdn. Bhd.







No comments: