Saturday, June 4, 2011

Pemantapan Tarannum Al-Quran

PENGENALAN

Mukjizat teragung anugerah Allah Azzawa jalla yang diwahyukan kepada junjungan besar nabi kita, nabi Muhammmad SAW bukan sekadar dipelajari dari sudut hukum-hukum tajwid dan tafsir sahaja, bahkan ia dituntut agar dialunkan secara bertarannum. Alunan tarannum Al-Quran tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain, bahkan tidak sama dengan lagu penglipur lara, syair, qasidah dan nasyid. Tidak ada kitab-kitab agama lain yang mengalunkan alunan tarannum seindah bacaan Al-Quran, kerana tarannum Al-Quran mempunyai kaedah dan prinsip hukum-hukum bacaan yang sesuai dengan kehendak ilmu tajwid dan fasohah Al-Quran.
Justeru, penulisan ini berusaha untuk mengupas kaedah-kaedah penyusunan tarannum yang berkesan dan membicarakan berkaitan pengukuhan dan pemantapan persembahan bacaan Tarannum Bil Quran dengan sempurna. Kertas kerja ini juga cuba menggabungjalinkan perkaitan tajuk ini dengan penguasaan seseorang qari terhadap ilmu tajwid, fasohah dan tartil dalam pembacaan, serta keelokan suara (tahsin al-saut) dalam kemahiran bertarannum. Pentadabburan uslub-uslub Al-Quran melalui cabang ilmu ini diharapkan mencapai wawasan dunia dan akhirat sehingga segala maksud dapat difahami dan dihadamkan pada akal, hati, roh serta dapat beramal dengannya.

PENGERTIAN TARANNUM
Tarannum merupakan suatu ilmu atau suatu kaedah suara yang dipelbagaikan bunyi mengikut proses nada, rentak dan irama yang tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan, khususnya didalam bidang ilmu pembacaan Al-Quran.
Istilah “Tarannum”, “al-Maqaamat”, “al-Han” dan “al-Ghina”di sebut seiring dalam ilmu seni suara. Sebutan “Tarannum” dan “Maqamat” agak sinonim dan sering diguna pakai dalam ilmu seni pembacaan al-Quran. Istilah “Tarannum bi al-Quran” yang dipopularkan penggunaannya dan difahami oleh kebanyakan masyarakat di Nusantara, menunjukkan wujud hubungan erat dengan seni memperelokkan suara dalam pembacaan ayat-ayat suci al-Quran .

KELEBIHAN DAN KEPENTINGAN BERTARANNUM

Banyak hadith yang menggesa umat Islam membaca al-Quran dengan berlagu, antaranya ialah:
1. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
عن أبى هريرة رضى الله عنه أنه كان يقول : قال رسوالله (ص) : لم يأذن الله بشئ أذن لبني أن يتغني بالقرءان.
2. Rasulullah s.a.w bersabda:
ليس منا من لم يتغن بالقرءان

Ertinya: Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak mahu melagukan dengan bacaan Al-Quran.

3. Ibn Bathal menceritakan bahawa galakan membaca al-Quran secara berlagu itu disokong oleh hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdul Alla dari Muammar dari Ibn Syihab yang berbunyi :
ما أذن لنبى فى الترنم فى القرءان
Dengan adanya qari-qari yang membaca al-quran secara berlagu dapat menambahkan lagi kesenian dan keelokan membaca al-quran. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
حسنوا القرأن بأصواتكم فإن الصوت الحسن يزيد القرأن حسنا.
Maksudnya:
“Perelokkanlah bacaan al-quran dengan suara kamu kerana suara yang elok itu lebih menambahkan keelokan al-Quran.”

Imam al-Tabari menjelaskan bahawa tarannum atau lagu itu tidak berlaku kecuali dengan suara yang membolehkan qari memperelok dan mengalunkan suaranya ketika membaca al-Quran.
Manakala Imam Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Asqalani menerangkan dalam kitabnya “Fadhail al-Quran”, bahawa membaca al-Quran secara berlagu sesuai dengan kehendak jiwa dan selaras dengan bentuk ragam ayat al-Quran itu sendiri.
Adalah difahamkan dari beberapa hadis sahih, bahawa sejarah tarannum bi al-Quran bermula sejak penurunan wahyu pertama di Gua Hira’ dan Rasulullah s.a.w sendiri membaca Al-Quran dengan baik,cantik dan elok. Baginda pernah menyuruh umatnya supaya membaca Al-Quran dengan bertaranum, bertazyin (kaedah bertarannum) dan bertahsin (kaedah mengelokkan suara).

3. KAITAN TAJWID, FASOHAH, TARANNUM DAN SUARA

Zaid bin Thabit RA telah menyebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai seseorang membacakan Al-Quran itu sebagaimana ia diturunkan. Menurut hukum, bahawa membaca Al-Quran secara bertajwid itu adalah wajib dan diberi pahala bagi pembacaanya, manakala pembacaan tanpa tajwid secara bacaan yang salah adalah berdosa.

Setelah mendalami ilmu tajwid, secara tidak langsung pembacaan ayat Al-Quran akan menjadi lebih jelas, sempurna dan fasih mengikut lahjah-lahjah Arabiah dan lahjah Quraniah yang ditetapkan dalam bidang fasohah sekaligus akan menyelaraskan rentak-rentak (tartil, tadwir, tahdir) yang menjadi sebahagian dari fasohah.
Setelah bidang fasohah dikuasai, nescaya seseorang itu akan dapat melagukan bacaan ayat Al-Quran mengikut kaedah suara yang dipelbagaikan bunyinya mengikut proses nada, rentak dan irama yang tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan, khususnya bacaan Al-Quran.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa pembaca al-quran yang baik itu bukan saja lidahnya menyebut kalimah-kalimah al-quran dengan betul, bahkan akalnya juga mentadabburkan makna dan memahami pengertiannya, sementara perasaannya turut sama menghayati tuntutan al-quran tersebut dan jiwanya khusyuk kepada Allah Taala. .

PERSEMBAHAN TARANNUM YANG BERKESAN

Pembacaan yang mantap dan persembahan tarannum yang berkesan sangat diimpikan oleh seorang qari dan qariah serta pencinta seni al-Quran.Pakar-pakar tarannum di dalam dan luar negara sentiasa berusaha menggembelingkan tenaga ke arah pemantapan seni tarannum al-quran agar ia dialunkan menepati kehendak bacaan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW , para sahabat dan tabi’en serta generasi selepasNya.
Kaedah talaqqi dan musyafahah daripada guru yang mutqin dan mahir adalah merupakan kaedah pertama dan utama untuk menyebarkan pembacaan Kalam Allah walaupun dewasa kini kita dibanjiri oleh ledakan kemajuan ICT . Ia tidak boleh menggantikan guru dalam memberi tunjuk ajar yang berkesan.
Dalam usaha memantapkan pembelajaran dan penguasaan tarannum tidak boleh menolak secara total terhadap segala inisiatif yang lebih moden dalam pengajaran al-Quran melalui media elektronik. Rancangan Mari Bertarannum yang disiarkan di tv9 merupakan salah satu daripada usaha murni untuk mendidik generasi cilik cara mengasah bakat membaca al-Quran dengan alunan tarannum yang pelbagai. Lebih istimewa lagi apabila proses mentahsinkan suara diajar dengan latihan vocal .
Tuan Hj. Nik Jaafar bin Nik Ismail, seorang pakar tarannum terkemuka tanah air menggariskan beberapa perkara penting mesti difahami oleh seseorang qari dalam usaha mencapai tahap penguasaan tarannum yang berkesan. Perkara-perkara penting tersebut ialah sebagaimana berikut ;

1. Memahami ilmu- ilmu Tahsin al-Saut (memperelokkan suara), ilmu tajwid, ilmu ketartilan bacaan, fasohah dan ilmu tarannum.
Memperelokkan suara dalam pembacaan al-Quran mempunyai kaitan yang amat rapat dalam penguasaan tarannum yang mantap. Seseorang qari mesti mengenal sifat-sifat suara yang dimiliki bagi menyesuaikan tobaqat qarar, nawa, jawab dan jawabul jawab. Persembahan tarannum yang berkesan dan mantap akan lebih terserlah jika suara dialunkan menepati kesemua tingkatan-tingkatan suara tersebut termasuklah tobaqat suara yang paling tinggi iaitu suara mustar atau otak.
Pembacaan al-Quran secara bertajwid adalah fardu ain bagi setiap orang Islam terutamanya seorang qari atau qariah. Seseorang qari semestinya mendalami ilmu tajwid demi memelihara lidah dari kesalahan jaliy dan khafiy semasa membaca kalam Allah. Ia juga bertujuan menyelamatkan seorang qari daripada tersasar dalam menyebut makharij al-huruf dan sifat-sifatnya.

Imam Ibnu Jazari menyatakan dalam puisi kitabnya :

والأخذ بالتجويد حتم لازم من لا يجود القرءان ءاثم
Maksudnya: Mengamalkan tajwid itu suatu kewajipan , kerana berdosa tidak memperelokkan bacaan.

Kemampuan membaca Al-Quran dengan tartil dan fasih adalah tidak kurang pentingnya bagi seseorang qari. Ketartilan pada setiap persembahan amat dititikberatkan bagi memenuhi piawaian tilawah yang berkualiti tinggi sehingga memberi keinsafan kepada pembaca dan pendengar dalam menghayati maksud ayat ,bahkan ia adalah tuntutan daripada Allah SWT sebagaimana firman Nya:
﴿ وَرَتِّلِ القُرءَانَ تَرتِيلاً ﴾
Maksudnya: “Bacalah Al-Quran itu dengan tartil. ”
) اِقرَاهُ عَلىَ تَمَهُّلٍ فَاِنَّهُ يَكُونُ عَونًا عَلَى فَهمِ القُرآنِ وَتَدَبُّرِهِ (
Maksudnya: “Bacalah dengan perlahan dan hati-hati kerana hal itu akan membantu pemahaman serta tadabbur terhadap Al-Quran.”
Ulama’ telah bersepakat bahawa ayat ini merupakan dasar pokok yang memerintahkan Al-Quran dibaca dengan berhati-hati sehingga baik pengucapannya serta memenuhi ketentuan hukum bacaan, perintah mana yang mengandungi hukum wajib.
Ironinya, keempat-empat cabang ilmu ini amat berkait rapat di antara satu sama lain yang melahirkan kombinasi korikulum bersepadu yang mantap. Hasilnya tergubal sistem pemarkahan dan penghakiman tilawah al-quran di Malaysia bagi menilai setiap kategori ini secara sistemetik demi memartabatkan persembahan tarannum yang berkualiti tinggi sesuai dengan kemuliaan mukjizat terunggul.

2. Memahami Fungsi Tarannum Bi al-Quran.
Setiap tarannum mempunyai fungsinya yang tersendiri, ianya terbahagi kepada dua kategori bagaimana berikut:-
1. Tarannum-tarannum yang berfungsi dengan sendiri tanpa bergantung kepada tarannum lain iaitu seperti tarannum Bayati, tarannum Husaini, tarannum Kurdi, tarannum Saba, tarannum Hijaz, tarannum Nahwand, tarannum Rast, tarannum Sikah, dan tarannum Jiharkah.
2. Tarannum-tarannum yang kurang berfungsi dengan sendiri tetapi lebih sesuai menumpang lain-lain tarannum seperti tarannum Iraqi, tarannum ‘Ajami, tarannum Nawa asar atau tarannum ‘Ushaq dan tarannum Syuri.
Tarannum tersebut kurang popular, hanya dapat diminati dan dihayati oleh qari-qari yang mempunyai kepakaran sahaja seperti As-Sheikh Muhammad Rifa’t, As-Sheikh Taha Af-Fashni, As-Sheikh Mustafa Ismail dan sebagainya, kerana ia lebih berfungsi sebagai tarannum selingan atau sebagai wuslah kepada mana-mana persembahan bacaan untuk menambahkan kecanggihan tarannum.

MEMAHAMI CARA PENGHAKIMAN TILAWAH AL-QURAN
Bagi melahirkan penguasaan tarannum yang berkesan, seseorang qari juga perlu mengetahui kaedah penilaian dan perkara-perkara yang dititikberatkan oleh jemaah hakim semasa penghakiman. Ia adalah sebagaimana berikut.
Markah-markah dibahagikan seperti berikut:
a) Tajwid - 40 markah
b) Lagu - 25 markah
c) Suara - 15 markah
d) Fasohah -20 markah

 Tajwid (40 markah)

i. Menjaga segala hukum tajwid dengan sempurna terutama mengenai perkara-perkara yang dihuraikan selanjutnya.
ii. Menyebut dengan betul setiap makhraj huruf seperti: sod (ص), dod (ض), to(ط), zo (ظ), fa’(ف), qafق) (dari segi tebal dan nipisnya.
iii. Menjaga hukum-hukum tarqiq dan tafkhim terutama pada huruf lamل) ( dan ra’ر)).
iv. Mad Asli (Mad Tabi’i) dan Mad Badal tetap dengan kadar panjang 2 harkat.
v. Pada Mad Munfasil boleh dibaca dengan 2 atau 4 atau 5 harakat.Setiap pembaca boleh memilih salah satu daripada wajah yang empat itu. Sekiranya ia memilih salah satu daripadanya hendaklah ia meneruskan bacaannya di atas wajah itu tanpa berpindah ke wajah yang lain. Sekiranya terdapat dalam suatu ayat 2 Mad Munfasil atau lebih maka hendaklah disamakan kadar panjang mad itu, iaitu jika dibaca dengan 2 harakat pada mad Munfasil pertama, maka hendaklah dibaca dengan 2 harakat juga pada Mad Munfasil kedua, demikian seterusnya. Pada Mad Muttasil bolehlah dibaca dengan kadar panjang 4 harakat atau 5 harakat atau 6 harakat ketika waqaf.
vi. Mad Lazim Kalimi dan Harfi Muthaqqal begitu juga Mad Istifham hendaklah panjang bacaannya dengan kadar 6 harakat.
vii. Mad Arid dibaca dengan kadar 2 atau 4 atau 6 harakat ketika waqaf sahaja.
viii. Mad Silah hendaklah dibaca dengan kadar panjang 2 harakat. Tetapi sekiranya selepas Mad Silah terdapat sebab (yakni Hamzah) hendaklah dibaca dengan Qasar, Tawassut dan Isyba’. Dengan itu ia termasuk di dalam bab Mad Munfasil.
ix. Ghunnah dibaca dengan kadar 2 harkat sama ada ia di dalam keadaan waqaf atau wasal.
x. Bagi musabaqah peringkat kebangsaan riwayat yang dijadikan asas pegangan ialah Riwayat Hafas.

 Tarannum (25 markah)

i. Menggunakan maqam-maqam Arab (irama lagu Arab) dengan sekurang-kurangnya empat jenis lagu di dalam satu-satu bacaan, tanpa mengira lagu apa yang dimulakan.
ii. Setiap lagu (maqam atau nughmah) hendaklah disempurnakan secara teratur dan beransur-ansur (tadriji) sekurang-kurangnya empat harakat.
iii. Setiap lagu (maqam atau nughmah) hendaklah dibawa dalam tiga tingkatan (tobaqat) suara, iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
iv. Lagu (maqam) yang dibawa pada ayat yang akhir hendaklah sama dengan lagu yang dibawa pada ayat pertama.
Peringatan:
Lagu yang dianggap istimewa ialah lagu yang mengandungi ciri-ciri berikut:
i. Setiap lagu yang dibawa mengandungi lebih dari empat harakat yang teratur dan tersusun.
ii. Sesuatu lagu dianggap teristimewa sekiranya lagu itu mempunyai unsur tersendiri tanpa meniru sepenuhnya bacaaan qari yang masyhur.
iii. Dapat menyesuaikan lagu dengan kehendak makna ayat tanpa lari dari kaedah tajwid dan usul.
iv. Membawa bunga-bunga lagu yang menarik.
v. Dapat mengawal lagu sepenuhnya ketika nyaring dan perlahan (tinggi, rendah, dan sederhana).
vi. Menambah lagi beberapa lagu lain selain daripada lagu-lagu wajib, dengan tidak melebihi tempoh bacaan yang ditentukan.
vii. Menggunakan empat (nughmah) di dalam bacaan.

 Suara (15 markah):
i. Bersih (kebersihan suara).
ii. Licin dan lancar (kelicinan suara).
iii. Terang, nyata dan lantang (suara yang keluar dengan nyata dan jelas serta lantang).
iv. Suara yang tidak berubah-ubah dari mula bacaan hingga ke akhirnya disebabkan tekanan suara turun naik semasa tengah membaca.

Peringatan:
Suara yang dianggap istimewa ialah suara yang mempunyai ciri-ciri berikut:
a) Suara yang indah merdu dan dapat menghidupkan renik-renik suara.
b) Suara yang licin dan lembut serta terang dan jelas semasa tekanan suara tinggi, rendah dan sederhana.
c) Penyesuaian suara: suara lelaki hendaklah sesuai dengan sifat-sifat kelelakiannya dan suara wanita sesuai dengan unsur-unsur kewanitaannya.
d) Dapat mengawal suara hingga kepada tiga tingkatan (tobaqat ).
e) Dapat mengawal dengan sepenuhnya alunan suara masa nyaring dan masa perlahan.
f) Suara bergerak dan hidup.

 Fasohah (20 markah):
Kesempurnaan fasahah tercapai dengan perkara-perkara berikut:
i. Cermat dan halus dalam bacaaan serta fasih dalam sebutan.
ii. Lancar menyebut perkataan-perkataan dan ayat-ayat.
iii. Terpelihara segala harkah (baris) dan tasydid.
iv. Betul melakukan tempat waqaf dan ibtida’ termasuk Jibril dan Nabawi.
v. Bacaan menurut lahjah Arab Fasaha.
vi. Bacaan sederhana tidak terlalu cepat atau terlalu lambat.

Berpandukan tulisan Tuan Hj. Nik Jaafar bin Nik Ismail, keempat-empat bidang ilmu ini dihuraikan dengan panjang lebar bagi seseorang qari dan pencinta seni tarannum al-Quran agar dapat difahami secara mendalam dan mempraktikkan dalam persembahan tarannum .


PENYUSUNAN TARANNUM YANG BERKESAN
Untuk menyusun tarannum yang hendak dipersembahkan perlulah diambil kira perkara-perkara berikut:-
1. Hendaklah terlebih dahulu memilih jenis-jenis tarannum yang bersesuaian.
Contohnya : Tarannum Bayati dan Husaini.
1.1 Sifat-sifat Tarannum Bayati
 Tarannum Bayati ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifatnya yang tersendiri, iaitu :
 Mempunyai gerak lembut dan tegas.
 Sesuai dengan tabi’i rendah dan sederhana.
 Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.

1.2 Peranan Harakat Bayati
 Untuk mempelbagaikan corak dan bunyi.
 Untuk memberi tenaga dan peningkatan yang sesuai.
 Untuk memberi pengukuran kepada lagu yang akan dibaca seterusnya.
Lagu-lagu Bayati ini amat menarik dengan sifatnya yang halus dan lembut, sesuai dengan keadaan orang-orang Mesir yang berada di Lembah Nil. Peranannya dapat menenangkan jiwa orang yang mendengarnya.
1.3 Sifat Tarannum Husaini

 Mempunyai gerak cergas dan tegas.
 Mempunyai kesesuaian dengan tabaqah yang lebih tinggi
1.4 Peranan Tarannum Husaini
Tarannum Husaini mempunyai peranannya yang tertentu iaitu:
 Memberi tenaga kepada persembahan bacaan yang agak lembab dan lemah.
 Menjadi penggerak semangat kepada harakat-harakat yang berikut.
 Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.

1.5 Mengenal Harakat Husaini :

 Harakat Husaini biasanya bersambung kepada harakat Bayati.
 Harakat Husaini diwasalkan kepada harakat Bayati.
 Harakat Husaini juga boleh dibaca dan disusun secara berasingan.

2. Penukaran satu tarannum kepada satu tarannum yang lain, hendaklah cermat dan canggih, termasuklah sistem wuslah dan sebagainya.
3. Penyusunan dari satu tarannum kepada satu tarannum yang lain hendaklah dipertingkatkan kecermatannya, kehangatannya, kecanggihannya dan sebagainya.
4. Tarannum penutup hendaklah sama dengan tarannum permulaan.

MENGENAL KATEGORI TARANNUM AL-QURAN
Setiap tarannum mempunyai kategorinya yang tertentu sepertimana berikut:-
1. Kategori lembut seperti tarannum Jiharkah, Iraqi, Nahwand dan Saba.
2. Kategori sederhana seperti tarannum Bayati, Husaini, Rast, Sikah, ‘Usshaq dan Syuri.
3. Kategori keras dan tegas seperti tarannum ‘Ajami, Hijjaz dan Kurdi.
Jika seseorang qari mengenal kategori tersebut, ia boleh membantu menyenangkan penyusunan tarannum ke dalam suatu persembahan dengan lebih tepat dan lebih berkesan lagi.

PENYUSUNAN HARAKAT LAGU YANG BERKESAN
Harakat-harakat tarannum itu hendaklah disusun secara sistematik supaya persembahan lebih berkesan. Antara teknik penyusunan yang digunakan ialah:-
1. Harakat-harakat yang dialunkan adalah cermat, mempunyai ciri menghangatkan persembahan serta menggunakan harakat yang canggih.
2. Harakat yang dihiasi dengan alunan lahjah arab dan gabungan lagu-lagu cabang serta gerak suara pelbagai seperti gaya Iraqi, Kurdi dan Syuri, nakriz, bustanjar, kuflah mahur, usysyaq, zinjiran dan mayyah.
3. Harakat yang dihiasi dengan wuslah iaitu gabungan dua bunyi atau lebih dari mana-mana angin lagu dalam satu harakat.
4. Harakat yang mempunyai salalim, iaitu harakat-harakat yang dialunkan mengikut sistem tangga menurun atau menaik.
5. Harakat yang mempunyai Ikhtilalulahni, iaitu harakat-harakat yang dialunkan dengan nada suara yang disumbangkan sama ada secara menurun atau mendaki.
Harakat-harakat tersebut perlu disusun secara sistematik dan menarik. Persembahan yang tidak menepati teknik-teknik di atas akan menyebabkan kecacatan dan melencong dari sasaran sebenar yang akan dicapai. Latih tubi yang berterusan dengan cara talaqqi dan musyafahah akan memberi keberkesanan mendalam terhadap satu-satu persembahan bacaan.

PENGUKUHAN DAN PEMANTAPAN PERSEMBAHAN TARANNUM

Seorang sarjana dalam bidang Al-quran telah menampilkan lima tahap proses pembelajaran secara berskala untuk memantapkan penguasaan persembahan tarannum secara berkesan dan sempurna, sebagaimana berikut ;

ASPEK TARANNUM
Tahap 1 : Proses mengenal tujuh alunan tarannum dengan konkrit dan berkonsisten, tanpa timbul lagi perasaan ragu-ragu terhadap bunyi atau melodi tarannum tersebut.

Tahap 2 : Proses memasang lagu-lagu tarannum dengan teratur dan tersusun mengikut keutamaan berdasarkan kepada teknik pengolahan, pengurusan, perimbangan dan lain-lain.

ASPEK SUARA

Tahap 3 : Proses membetulkan cara pengendalian, pengurusan, pengolahan suara serta kedudukan suara yang tepat pada bacaan dan juga sebutan huruf.

ASPEK TARANNUM DAN SUARA (GABUNGAN)
Tahap 4 : Proses menyambung lagu-lagu tarannum usul dengan furu', malakukan gerak sumbang suara, kemahiran membuat qitaah, menyusun burdah sama ada burdah kasar atau halus, jarang atau kerap, mempelbagaikan gaya dan alunan dalam sesebuah jumlah harakat dan melatih bacaan berlahjahkan arabiah.

Tahap 5 : Ialah proses membentuk bacaan yang lembut, cergas, tegas dan sempurna dari awal hingga akhir.

Oleh kerana itu, seseorang yang ingin belajar tarannum dengan berkesan, mestilah melalui 5 tahap yang disebutkan dan melalui latihan yang berterusan.

TEKNIK PEMBAYANG LAGU ATAU MAQAM TARANNUM
Mohd Ali bin Abu Bakar (1997 ) mengemukakan teknik pengukuhan persembahan tarannum dengan mengggunakan seni kata pembayang daripada syair-syair arab. Haji Qasim bin Haji Ahmad,qari dari Kedah telah menyusun panduan bertarannum menggunakan seni kata nasyid,berzanji dan marhaban sebagai pembayang untuk diterapkan dalam persembahan. Seseorang qari akan cuba menghayati irama, rentak dan nada berbantukan bait-bait syair ini untuk diterapkan dalam persembahan tarannum tertentu. Di antara bait-bait tersebut yang ialah :
1. Maqam tarannum nahawand

بيد العفى فى أقول عن حجابى # وبغفلات اسمو على أشرابى
وبفكرات وقادات وقريحات # وقادات قد كملت أثابى
2. Maqam Tarannum Rast
يا رب قد فسد الزمان فنجنى
يا رب قلت حيلتى فتولنى
يا رب من كل الصائب عفينى
يا رب قد عجز الطبيب قد اويني
بحق لطفك شفينى يا شافى

3. Maqam Tarannum Hijaz

يا رحمة الله إنى خائق وجل # يا رحمة الله إنى مقلس عالى
وليس لىعمل ألقى العليم به محبتك العظمى وإيمانى

4. Maqam Taranum Sikah)
صلى من أشكر رامن # يا نورا النجود يا محمد
وأرى والعمر واللاء # جاد بالوصل جاد

PEMANTAPAN LAGU CABANG

Seorang qari yang mahir dalam selok belok lagu dan tarannum bukan sahaja dapat mempersembahkan lagu asas mengikut rentak dan irama tertentu, tetapi mampu menguasai lagu-lagu cabang. Menurut Tuan Hj. Nik Jaafar bin Nik Ismail , terdapat lebih tiga ratus cabang lagu lain yang boleh diselitkan dalam persembahan lagu asas.
Mohd Ali bin Abu Bakar(1997) cuba menyusun bai-bait seni kata pembayang bagi maqam lagu Nkris dan Usysyaq sebagaimana berikut.
(1) Maqam Lagu Nakriz
Cawangan dari lagu nahwand
يناك بحر عتئ البيان # فهلل وبشر بدين الإله
نبي الهدى أنت نبع الضياء # نبي الهدى أنت سيف السماء


(2) Maqam Lagu Usyshaq
Dari lagu nahawand
محمد يا فرحة العلمين # محمدا يا كوكب الائرين
ضللنا فهات الهدى واليقين # وأشرق فإنا غدونا سكارى
وصلينى ربنا وسلمن على محمد # جاءنا مبشرا بالعلى
والتبعين لهم أولى الهى الكرماء.

KAEDAH LATIH TUBI YANG BERTERUSAN

Dalam usaha memantapkan suatu persembahan taraannum, seorang qari perlu menjalani latihan-latihan berterusan mengikut potongan ayat atau surah yang pelbagai. Latih tubi tersebut perlu mengambil kira perkara-perkara berikut :
1- Latihan mempersembahkan bacaan pada ayat-ayat pilihan ujian tilawah dengan mempraktikkan ke semua jenis lagu dan dihiasi dengan wuslah al-mumathalah, ikhtilal al-lahn, salalim nuzul dan su’ud serta mahattah yang canggih .
2- Latihan mempersembahkan bacaan pada ayat-ayat yang dimulakan dengan huruf muqatho’ah dan diwakafkan dengan Mad Asli atau Mad Far‘i menerusi susunan lagu yang pelbagai.
3- Latihan mempersembahkan bacaan pada ayat-ayat yang diwakafkan dengan Ta Marbutoh menerusi susunan Bayati, Saba, Hijjaz, Nahwand dan Rast.
4- Latihan mempersembahkan bacaan pada ayat-ayat yang mengandungi bacaan khusus bagi riwayat Hafs seperti bacaan imalah, tashil dan ibdal, isymam dan ikhtilas ,saktah, bacaan naqal dan silah .
5- Latihan mempersembahkan bacaan pada ayat-ayat yang mengandungi Mad Lazim Kalimi Muthaqqal, Harfi Muthaqqal serta Mad Istifham yang memerlukan kadar panjang bacaannya dengan 6 harakat.

Latihan-latihan pengukuhan dan pemantapan seperti ini diharapkan member natijah yang terbaik bagi setiap qari dan qariah demi melahirkan generasi quranik yang berkualiti tinggi, mahir dari sudut tajwid dan fasohah, memiliki nafas yang panjang dan mampu mengalunkan alunan suara berlahjah Arab.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa seseorang qari yang berhasrat mengusai persembahan tarannum bi al-Quran yang berkesan sewajarnya menitikberatkan beberapa perkara berikut :
1- Berusaha sedaya upaya untuk memnguasai kaedah sebutan kalimah-kalimah dan mahir menggabungkan kalimah tersebut dalam potongan ayat al-Quran mengikut lahjah Arab.
2- Mendalami ilmu tatabahasa Arab dan merujuk guru-guru yang memahami bahasa al-Quran supaya menepati kehendak bacaan pada wakaf dan ibtida’.
3- Menerapkan tarannum yang sesuai dengan pengisian harakat yang canggih berdasarkan kefahaman pada maksud kalimah dan potongan ayat yang akan dipersembahkan.
4- Memastikan susunan tarannum yang rapi dan tingkatan suara yang bersesuaian dengan kemampuan nafas yang dimiliki.
5- Menghiaskan setiap harakat tarannum dengan pengisian ikhtilal, salalim, dan burdah yang berkualiti dalam usaha mencapai persembahan yang bermutu tinggi dan mencuit jiwa pendengar.
6- Sentiasa menjalani latih tubi yang berterusan di samping merujuk guru-guru dan pakar tarannum secara talaqqi dan mushafahah bagi mendapat gubahan seni yang terkini dan kontemporari kerana sifat suatu seni itu sentiasa maju dan berubah-ubah.



Rujukkan:

1. Al-Quran al-Karim

2. Al-Hadith al-Syarif.

3. Sedek Ariffin (2009).Jurnal Darul Quran JAKIM : Kepentingan Talaqqi dan Musyafahah Dalam Pembacaan Al-Quran. Disember 2009 . bil. Ke 13. Melaka: Percetakan Surya Sdn.Bhd.

4. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kurikulum Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran, Cet Pertama 2007. Selangor: Salwa tegap Niaga.

5. Hj Nik Jaafar Nik Ismail, (2009), Buku Qaedah Tarannum ( Cara Berlagu, Darul Fikr, Kuala Lumpur.

6. Mohd Ali Bin Abu Bakar, (1997), Seni Lagu Al-Quran Di Malaysia, Darul Fikir, Kuala Lumpur.
7. Muhammad Al-Ghazali, ( 1996 ), Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Quran Penerjemah Muhammad Rivai Batubara, Selangor : Budaya Ilmu Sdn.Bhd.
8. Abu Mardhiyah,( 2004),Tajwid al-Quran. Cetakan Pertama ,Kuala Lumpur: Perniagaan Normahs

9. Haji Qasim bin Haji Ahmad (t.t) Risalah Panduan Tarannum bi al-Quran, Kedah.
10. http://mytarannum.blogspot.com/

11. http://pcbukm.blogspot.com/2009/10/tahap-tahap-pembelajaran-ilmu- tarannum.html

12. Nota-nota Kuliah Pengajaran STTQ 2010

2 comments:

NadiahHalim dot com said...

Assalamu'alaikum ustaz, mohon untuk dikongsikan artikel ini. Syukran kathir

Unknown said...

Salam Ustaz says share pastu saya buat rujukan...terima kasih