Friday, May 14, 2010

Institusi Tarekat(طريقة) Dalam Ilmu Tasawuf(تصوف)

Pendahuluan.

Dalam konteks masyarakat Muslim Malaysia istilah tarekat tasawuf bukanlah sesuatu yang asing; ia digunakan dan terungkap dalam berbagai istilah, disamping itu ia juga ditemui dalam pelbagai jenama, sebagai sesuatu yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat kita. Diantara jenama-jenama terekat yang diamalkan dinegara kita, sebagaimana terdapat di dalam catatan syed Naguib al-Attas dan tulisan beliau berjumlah sembilan jenis tarekatt, iaitu :

1. Tarekat Qadariyyah.
2. Tarekat Naqshabandiyyah.
3. Tarekat Rifa'iyyah.
4. Tarekat Shadhillyah.
5. Chistiyyah.
6. Shattariyyah.
7. Ahmadiyyah.
8. Tijaniyyah
9. Alawiyyah.

Namun semua tarekat di atas tidak menjanjikan bahawa anggota masyarakat termasuk di kalangan yang terlibat secara langsung dalam urusan keagamaan, seperti imam, guru agama atau mereka-mereka yang mengaji dibidang agama, juga faham dengan baik selok belok dan isi kandungan amalan tarekat-tarekat tersebut Malah apa yang sedihnya mereka berpandangan negetif terhadap amalan tarekat. Ini dapat dibuktikan dengan jelas menerusi satu penyelidikan ilmiah yang dibuat di beberapa buah negeri tahun lalu mendedahkan bahawa sememangnya terdapat sejumlah ahli masyarakat Muslim, termasuk kalangan yang mempunyai fungsi kepimpinan dalam bidang keagamaan, tidak memahami selok belok ilmu tasawuf.

Oleh itu dalam perbincangan ini mari kita menyorot dan menganalisis beberapa aspek yang terhubung secara langsung dengan subject-matter institusi tarekat tasawuf. Diantara perkara yang dianggap penting diberikan penjelasan ialah mengenai hubung kait diantara tarekat dengan tasawuf, institusi syeikh dan kepentingannya, konsep murid dan beberapa konsep lain yang merupa part and parcel kepada institusi tarekat tasawuf. Bagaimana pun perlu dimaklumkan diawal ini bahawa dalam perbincangan ini saya tidak akan menyorot mana-mana konsep tarekat tertentu yang menjadi amalan sebahagian masyarakat kita sekarang ini, sekali pun konsep-konsep berkenaan merupakan perkara asasi dalam pelbagai jenama tarekat tersebut.


2. Hubungan Tarekat dengan Tasawuf.

Al-Sha'rani memberikan pandangannya di dalam tulisannya ' al-Tabaqat al-Kubra ', diberi mandat untuk menjelaskan kepada kita mengenai ilmu tasawuf , maka kita diberi tahu;

" Ketahuilah saudara-saudaraku...bahawa ilmu tasawuf itu merupakan suatu penjelasan mengenai ilmu yang terhasil atau muncul di hati para awliya' ketika mati hati tersebut digilap dengan amalan yang terkandung didalam al-Kitab dan al-Sunnah. Maka setiap oran yang mengerja amalan (suruhan) al-Kitab dan al-Sunnah terhasillah baginya berdasarkan amalan tersebut pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang lidah lemah dan kurang upaya untuk menjelaskannya "

Penjelasan al-Sha'rani di atas membolehkan kita membuat beberapa rumusan mengenai tabii ilmu tasawuf iaitu:

a. Ia merupakan jenis ilmu yang berpusat di hati seseorang manusia.

b. Ia terhasil berdasarkan kerja atau amalan.

c. Kerja atau amalan itu dilakukan untuk mengilap atau membersihkan hati supaya ia layak
menjadi tempat berlabuhnya ilmu.

d. Isi kandung amalan yang dikerjakan itu adalah segala suruhan yang terkandung dalam al-
Quran dan al-Sunnah.

e. Isi kandung ilmu tasawuf terseut berupa pelbagai adab, pelbagai rahsia dan pelbagai hakikat.

f. Ia merupakan jenis ilmu yang bersifat rasaan atau kecapan rohani(dhawq), kerana itu lidah
menjadi kurang berupaya untuk menjelaskannya.

Dalam kata lain ilmu tasawuf merupakan sejenis ilmu yang turun ke dalam hati , apabila hati disediakan dengan cara ia dibersihkan dan digilap dengan pelbagai amalan yang wajib dan digesa oleh al-Quran dan al-Sunnah supaya diamalkan oleh umat manusia.

Jadi, jelaslah kepada kita bahawa metodologi penghasilan ilmu tasawuf tertumpu kepada key word " amalan ", bukannya pembelajaran seperti yang biasa terjadi kepada ilmu-ilmu lain. Ilmu tasawuf tidak mungkin terhasil dari kegiatan-kegiatan ilmu biasa seumpama pembacaan, kehadiran kekelas tertentu, penyediaan soal selidik dan sebagainya. Pengalaman al-Gazali sebagaimana yang tercatat dalam tulisan beliau al-Munqidh min al-Dala mengesahkan perihal ini. Dalam autobiografi tersebut al-Gazali memerihalkan bahwa diperingkat awal usaha beliau untuk memasuki alam kesufian beliau telah membaca dan memahami secara tepat isi kandung pelbagai hasil karya golongan sufi yang boleh boleh didapati pada zamannya. Seperti karya Abu Talib al-Makki, al-Muhasibi, al-Junayd al-Baghdadi, al-Sibli, Abu Yazid al-Bistami. Namun semua usahanya itu tidak boleh menjadikannya seorang sufi; hanya boleh menjadikannya seorang yang memahami ilmu tasawuf. Justeru itu, secara tegas beliau mengungkapkan:

" Telah nyata kepadaku bahawa keistimewaan mereka(golongan al-Sufiyyah) yang cukup khusus ialah apa yang tidak mungkin dicapai(orang lain akan apa yang telah dicapai oleh mereka)- menerusi pengajian atau penyelidikan, malah mesti dicapai menerusi al-Dhawq, al-Hal serta perubahan pelbagai sifat akhlak(dari tercela kepada terpuji)...dan apa yang boleh diperolehi menerusi cara berlajar telah pun aku perolehi. Cuma yang masih belum aku perolehi ialah apa yang tidak dicapai menerusi pendengaran dan pengajian, malahan mesti melalui al-Dhawq dan al-Suluk. "

Ilmu tasawuf kini menjadi satu disiplin ilmu Islam yang khusus dan telah mencapai tahap kematangannya pada kurun ketiga Hijrah, maka proses perlaksanaan " amalan " yang boleh menghasilkan ilmu itu juga didekati dan disusun secara khusus, sesuai dengan tarafnya sebagai satu disiplin ilmu yang sudah mampan dan mantap. Lalu disinilah munculnya apa yang diistilahkan sebagai tarekat untuk menghulurkan khidmatnya bagi memenuhi kehendak disiplin ilmu berkenaan.

Perkataan " tarekat " itu, dari aspek etimologinya, merujuk kepada " jalan " sama dengan pengertian kepada perkataan-perkataan " shari'ah ", " sabil ", " sirat " dan " mannhaj ", dimana dalam hal ini yang dimaksudkan ialah jalan menuju kepada Allah guna mendapatkan keredhaan-Nya dengan cara mentaati segala ajarannya. Bagaimana pun dari aspek teknikal, istilah tarekat itu, pada asasnya merujuk kepada sirah atau jalan kerohanian khusus yang dilalui oleh orang yang berjalan (al-salikun) menuju kepada Allah, dimana dalam perjalanan tersebut mereka perlu merintasi pelbagai rintangan dan mengalami pelbagai peningkatan kerohanian dalam pelbagai makam.

Dari catatan di atas dapat memberikan kefahaman kepada kita, bahawa amalan yang perlu dilaksanakan bagi memperolehi kejayaan dalam mencapai ilmu tasawuf itu diolah dan diusahakan dengan penuh kesungguhan dalam lingkungan tarekat. Jadi, tarekat, dalam hubungan ini, merupakan wasilah yang disediakan bagi mencapai matlamat yang terkandung dalam ilmu tasawuf. Maka itu, di sinilah terjalinnya hubungan diantara tasawuf dan tarekat; iaitu suatu hubungan erat diantara wasilah dan ghayah.

Sesuai dengan taraf dan fungsinya sebagai laluan penyaluran kepada amalan-amalan yang akan menentukan pencapaian ilmu yang menjadi isi kandungan ilmu tasawuf, maka tarekat itu diasas dan dikembangkan oleh masyarakat Muslim dalam tamadun mereka menjadi satu institusi khusus dengan diberikan ciri, kaedah dan peraturan yang tersendiri. Maka itu, dari perspektif ia sebagai satu institusi khusus tersebut, tarekat perlu difahami sebagai himpunan sejumlah pegangan, tingkahlaku serta adab yang diasas dan ditetapkan oleh kumpulan sufi; atau secara yang lebih teknikal lagi istilah ini merujuk kepada metod memberi panduan dan tunjuk ajar akhlak dan kejiwaan yang digunakan oleh seseorang syeikh dalam usaha mendidik para muridnya. Maka dalam konteks ini akan boleh kita temui kumpulan-kumpulan para murid yang mula berhimpun dan mengelilingi seorang syeikh yang terkenal untuk mendapatkan tunjuk ajar dan latihan; lalu dengan itu muncul pula suatu bentuk persaudaraan kesufian(sufi brotherhood) dikalangan mereka.

Jadi, secara keseluruhan, istilah tarekat itu boleh dirujuk kepada cara, kaedah atau peraturan-peraturan khusus yang diikuti dan dihayati kehendak-kehendaknya oleh seseorang murid di bawah naungan satu kumpulan kesufian yang mengikuti panduan daripada seseorang syeikh yang masyhur. Atau istilah ini boleh juga dirujuk kepada kumpulan individu dari kalangan para murid yang mengsosiasikan diri dengan seorang syeikh tertentu dan tunduk patuh kepada peraturan-peraturan yang cukup ketat dalam hubungan dengan suluk kerohanian.

Dari perspektif sejarah adalahperlu difahami bahawa tarekat sebagai satu institusi yang mempunyai peraturan tersendiri tidak muncul bersama-sama kemunculan ilmu tasawuf itu tersendiri. Malah kita dapati kehidupan bertasawuf dalam Islam telah bermula dalam bentuk perseorangan, dimana tiap seorang daripada kalangan yang terlibat dalam kehidupan tersebut menggunakan cara atau jalan-jalan tersendiri dalam melaksanakan pelbagai amalan ibadah dan mujahadah masing-masing. Dan mulai pertengahan kedua kurun ketiga Hijrah barulah golongan sufi mula membentuk dan menyusun kumpula-kumpulan atau tarekat-tarekat tertentu., dimana setiap kumpulan mula tunduk dan patuh kepada peraturan-peraturan tertentu. Walaupun begitu, di peringkat awal perkembangan tarekat, aktiviti dan kegiatan mereka didapati berpusat di masjid-masjid. Kemudian setelah beberapa waktu selepas itu, barulah aktiviti mereka berpusat di zawiyah, ribat dan khanaqah yang tersendiri.

Tidak ketinggalan juga, perlu dicatatkan disini berhubung dengan persoalan tarekat ini ialah perihal hubungannya dengan syari'at Islam. Dalam konteks ini bolehlah dijelaskan bahawa pada asasnya tarekat itu merupakan lorong atau " jalan kecil " yang dilalui golongan orang yang terlibat dalam dunia kesufian. " Jalan kecil " tersebut merupakan satu lorong yang tercabang daripada " jalan besar " atau " lebuh raya " syari'at. Ini bermakna bahawa tarekat itu merupakan cabang daripada keseluruhan syari'at Islam; yang juga bermakna bahawa ia adalah lebih sempit dan lebih sukar untuk dilalui berbanding dengan " jalan besar" atau " lebuh raya " syari'at yang biasa dilalui oleh kalangan awam umat Islam. Dalam hubungan dengan tamsil ini, sebagaimana tidak akan ada lorong atau jalan kecil tanpa adanya jalan besar yang menjadi asas atau sumber kepada kemunculan atau terbentuknya jalan kecil berkenaan, maka demikianlah juga halnya di mana pengalaman kesufian tidak akan mungkin terhayat tanpa terasas kepada atau terlebih dahulu terhayatnya, suruhan-suruhan yang terkandung dalam syari'at Islam itu tersendiri. Dalam kata lain, hubungan diantara tarekat dan syari'at itu adalah cukup rapat dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan; malah perpisahan dalam kes ini bermakna kehancuran dan kemusnahan keharmonian Islam itu.

Hubung kait di antara tasawuf dan tarekat, malahan hubung kait diantara tarekat dan Syari'at Islam itu sendiri menjadi jelas berdasarkan catatan-catatan yang dibuat setakat ini. Cakupan istilah tarekat juga, sama ada daripada aspek mekanisme atau organisasi asasnya, sudah boleh difahami dengan baik. Adalah Jelas berdasarkan catatan-catatan yang dibuat setakat ini bahawa sesebuah institusi tarekat itu semestinya tertegak dengan wujud di dalamnya dua kompenen utama iaitu: Shaykh(Imam/Kalifah) dan murid(pengikut) yang mengerakan organisasi tersebut dengan menggunakan satu set mekanisme berbentuk peraturan dan syarat yang perlu dipatuhi dan dimiliki oleh kedua-dua kompenen utama berkenaan. Berdasarkan komitmen kedua-dua belah pihak, maka organisasi tarekat berjaya meneruskan hayat dan survivalnya di celah-celah perjalanan waktu sepanjang sejarah tamadun Islam.


3. Shaykh(Imam/Khalifah) Dalam Institusi Tarekat.

Dalam konteks sesebuah tarekat, shaykhmerupakan focal-point utama, yang mana segala kegiatan organisasi berkenaan tertakluk dan berpusat secara mutlak kepada kehadhiran. Maka itu, dalam bab ini sorotan khusus institusi shaykh ini bersangkut paut dengan aspek-aspek kepentingannya, syarat-syarat serta adab-adab tertentu akan cuba dibuat.

Dalam penggunaan golongan sufi istilah shaykh ddirujukan kepada seseorang penunjuk jalan atau pembimbing kerohanian yang menjalani jalan kebenaran dan mengenali secara tepat batas-batas serta perkara-perkara bahaya dan perlu ditakuti. Dengan berasakan ketepatan pengenalan tersebut dia memandu dan menunjuk kepada murid-murid perkara yang boleh memberikan manfaat serta mengelakan daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudharat, sehingga dengan petunjuk tersebut kalangan murid semakin dekat dirinya kepada Allah . Atau disebut juga istilah ini seorang yang berperanan memantapkan agama dan syari'at ke dalam hati para murid dan para penuntut.

Oleh itu dapat difahamkan di sini seorang shaykh sudah semestinya memiliki ilmu dan jalan-jalan kesufian serta bertanggungjawab menunjuk ajar dan mendidik kumpulan yang digelar sebagai murid, sehingga para murid berkenaan selamat dan memperolehi ilmu, iman yang mantap istiqamah dalam mengamalkan suruhan agama sebagaiamana yang dituntut oleh Syari'at Islam.

3.1. Kepentingan Syaikh(Imam/Khalifah)

Bagi golongan sufi, sebagimana yang terungkap alam pelbagai tulisan mereka, shyakh merupakan satu ciri yang terpenting dalam tarekat itu sendiri, bah ia dilahirkan dari tarekat itu sendiri. Dalam pengertiannya yang khusus, adalah disebabkan oleh wujudnya shaykh. Kerana itu sering kita dapati setiap tarekat yang muncul dalam sejarah tamadun Islam akan menamakan tarekat mereka berasaskan nama shaykh yang mengasaskan sesebuah tarekat tersebut. Aeperti tarekat al-Saqatiyyah yang dinisbahkan kepada Sari al-Saqati, al-Tayfuriyyah dinisbahkan kepada Abu Yazid al-Bistami dan lain-lain. Sandaran teori kepada konsep shaykh dalam tarekat berdasarkan konteks hubungan shaykh dengan para murid, ini mengambil teladan daripada hubungan diantara Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat.

Isyarat perbandingan hubungan shaykh dan murid adalah bagaikan hubungan Rasullah-Sahabat menunjukan perihal pentingnya shaykh dalam institusi tarekat. Lebih jauh lagi perihal kepentingan shaykh ini tergambar dengan jelas berdasarkan perakuan disiplin ini bahawa para murid tidak akan berjaya secara sempurna dalam perjalanan menuju kepada Allah tanpa bimbingan dan panduan shaykh. Hal ini dapat difahami dengan baik bila mana kita membaca ungkapan-ungkapan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh besr sufi yang memperkatakan tentang perkara ini. Al-Imam al-Qushayri misalnya dalam tulisan beliau ' al-Risalah al-Qushayri mengungkap perihal shaykh sepertimana berikut :

" Kemudian wajiblah keatas seseorang murid supaya dia dididik oleh shaykh; sekiranya dia tidak ada guru( yang membimbingnya) selamanya dia tidak akan berjaya(dalam perjalanannya menuju Allah. "

Jelas sekali kepentingan seorang shaykh dalam institusi tarekat, sebagaimana yang dicatatkan o;eh al-Qushayri di atas tadi, di mana kepentingannya itu menyentuh persoalan yang cukup asas, iaitu berjaya atau sebaliknya seseorang murid dalam perjalanannya menuju ke matlamat yang dituju.

Al-Imam al-Ghazali dalam Ihya' 'Ulumuddin mengungkap pandangan beliau mengenai shaykh sebagaimana berikut:

" Maka demikianlah seorang murid itu memerlukan seorang shyakh dan guru yang semestinya dia ikuti untuk dia mendapat panduan kearah jalan yang betul. Sesungguhnya jalan agama itu cukup sukar sekali, sedangkan jalan-jalan syaitan amat banyak pula; oleh itu barang siapa yang tidak ada shyakh yang menunjukan arah kepadanya, maka syaitan akan memandu ke arah jalannya(jalan syaitan).

Al-Syaykh Abd Qadir al-Jailani dalam tulisan beliau al-Fath al-Rabbani:

" Maka seseorang murid itu apabila kemahuannya( kemahuan untuk menjalani kehidupan secara bertasawuf) telah tiba dan fikiranya telah putus(untuk memulakan perjalanan secara tasawuf) tetapi ia tidak mengikuti seseorang shaykh, maka dia akan sesat dan syaitan akan menjadi pemandu dan menjadi shaykh kepadanya. "

Jadi, ternyata sekali bahawa kepentingan shaykh, dalam perspektif golongan sufi terletak kepada keupayaan seseorang shaykh itu membimbing para muridnya kearah jalan yang betul dan mengelakan mereka dari terkena jerangkap samar yang sentiasa dipasang oleh para syaitan yang muncul atau menjelma dalam berbagai bentuk, termasuk dalam bentuk nafsu para murid itu sendiri. Hal ini menjadi demikian kerana dalam pandangan tradisi, kesan atau pengaruh shaykh keatas diri murid atau salik adalah cukup mendalam sekali, kerana batin para salik itu dilihat Misalnya berkata oleh " al-Suhrawardi dalam. 'Awarif al-Ma'rif : Bagaikan lilin lembut yang boleh menerima apa juga bentuk lorekkan atau lukisan.


3.2. Syarat Seorang Shaykh

Pada lazimnya seorang shaykh diberikan kedudukan dan taraf yang begitu penting, ini membuatkan semua umat bersedia mengikuti bagi mencari kejayaan dalam kehidupan kerohaniam mereka. Untuk itu institusi tarekat pada kebiasannya memberikan syarat-syarat yang begitu ketat yang perlu ada pada diri seseorang yang diangkat menjadi shaykh sebelum membimbing muridnya. Dalam hubungan ini shaykh Shah Wali Allah al-Dihlawi mencatatkan di dalam kitabnya ' Qawl al-Jamil fi bayan sawa' al-Sabil, Kemudian ia di perkuatkan lagi oleh al-Imam al-Ghazali dalam ' Khulasat al-Tasanif fi al-Tasawuf serta catatan yang dibuat oleh al-Shaykh Muhamad Amin al-Kurdi dalam kitab Tanwir al-Qulub fi Mu'amalah 'Allam al-Ghuyub- adalah cukup menarik untuk diberikan perhatian. Antara syarat-syarat yang diberikan ialah:

1. Mempunyai Ilmu pengetahuan(alim)khususnya hal yang berkaitan dengan al-Quran dan al-Sunnah serta ilmu fiqh dan ilmu akidah, sehingga dengan itu seorang shaykh dapat membantu menyelesaikan pemasalahan murid.

2. Mempunyai bakat dan ketokohan dari segi kepimpinan.

3. Seorang shaykh perlu arif mengenai berbagai sifat dan kesempurnaan hati, adab sopannya, berbagai kerosakan dan penyakitnya serta juga bagaimana cara untuk memelihara dan mengseimbangkannya.

4. Mempunyai sifat adil dan takwa.

5. Bersifat zuhud dari kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada kehidupan akhirat.

6. Seorang shaykh mesti memiliki sifat yang suka menyuruh dan mengajak kepada makruf mencegah perkara mungkar; sangat tegas dengan fikirannya, mempunyai pendapat dan pandangan sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai marwah dan kekuatan akal yang sempurna.

7. Dalam sejarah kerohanian, seorang shaykh mesti telah pernah bergaul, bersahabat dan berguru dengan shaykh-shaykh kerohanian dalam satu tempoh yang agak panjang.

Oleh itu seseorang shaykh itu mestinya seorang Muslim yang memiliki pengalaman kerohanian yang luas serta kehebatan personaliti dan keluasan ilmu yang terhasil dari acuan dan adunan kefahaman ilmu yang mendalam mengenai syariat Islam secara bersepadu. Selarasa dengan hali ini dalam istilahat al-Sufiyyah menjelaskan

" Shaykh itu merupakan seorang Insan yang sempurna dalam dalam pelbagai ilmu syariat, tarekat dan hakikat; iaitu merupakan seorang yang telah mencapai ke tahap kukuh sempurna dalam ilmu-ilmu berkenaan. Ini ialah kerana seseorang shaykh itu memiliki ilmu mengenai perkara-perkara yang boleh membinasakan al-Nufus, mengenali pelbagai penyakit serta jenis penyakit al-Nufus, dia juga mengenali secara tepat ubat untuk penyakit al-Nufus serta berupaya menyembuhkan penyakit al-Nufus serta boleh melaksanakan tugas menunjuk ajar al-Nufus, sekiranya al-Nufus itu disedia dan diselaraskan untuk menerima tunjuk ajar berkenaan. "

Hanya dengan adanya kriteria-kriteria yang antara lain tercatat di sini sahaja seseorang shaykh itu dapat berperanan dengan baik untuk membimbing dan menangani persoalan-persoalan yang berkaitan dengan seseorang murid yang berada di bawah bimbingannya. Sebagao contoh renungkan dengan teliti betapa pentingnya seseorang shaykh itu memiliki pengetahuan yang jelas mengenai isi kandung al-Quran dan al-Sunnah bilamana ia berhadapan dengan persoalan-persoalan. Lihat apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh sufi tersohor "

" Al-Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili berpesan: " Apabila khasf engkau( yang engkau perolehi)bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka hendaklah engkau berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah dan tinggalkan khasf tersebut. Dan katakan kepada diri engkau: Sesungguhnya Allah telah menjamin kepadaku kemaksuman kandungan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi tidak begitu halnya dengan kandungan al-Kashf, al-Ilham dan al-Mushadah , melainkan semua (setelah semua itu) dipadankan dengan (semangat kandungan) al-Quran dan al-Sunnah (lalu didapati tidak bertentangan dengan semangat isi kandungan kedua-dua sumber berautoriti tersebut. "



No comments: