Sunday, May 16, 2010

Syarat Seorang Shaykh Tarekat

Institusi tarekat memberikan kedudukan dan taraf yang begitu penting kepada golongan shaykh, sehingga mereka sewajibnya diikuti oleh kalangan ummah yang mahu kejayaan dalam kehidupan kerohanian mereka, maka kita dapati kalangan sufi mengenakan kriteria-kriteria yang cukupt ketat yang perlu ada pada diri seseorang sebelum bergelar shaykh, untuk membimbing para murid. Dalam tulisan-tulisan mereka, para sufi meletakan pelbagai kemestian atau syarat wajib yang mesti ada pada sahsiah seseorang shaykh. Dalam hubung ini runusan syarat-syarat shaykh yang dicatatkan oleh Shah Wali Allah al-Dihlawi dalam tulisan beliau Qawl al-Jamil fi bayan sawa'al-Sabil dan tentunya boleh pula diadun dan ditambah dengan syarat yang dicatatkan oleh imam al-Ghazali dalam Khulasat al-Tasanif fi al-Tasawuf serta catatan yang dibuat oleh al-Shaykh Muhamad min al-Kurdi dalam kitab Tanwir al-Qulub fi Mu'amalah "Allam al-Ghuyub, adalah cukup menarik diberikan perhatian. Syarat-syarat shaykh berkenaan, antara lain adalah seperti berikut:

1. Mempunyai ilmu pengetahuan, iaitu alim- khususnya tentang isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah serta ilmu fiqh dan ilmu akidah, sehingga dengan itu shaykh akan dapat menyelesaikan permasalahan murid.

2. Mempunyai bakat dan ketokohan dari segi pemimpin.

3. Hendaklah shaykh benar-benar arif tentang berbagai sifat kesempurnaan hati, adab sopannya, berbagai kerosakan dan penyakitnya serta juga bagaimana cara untuk memelihara dan mengseimbangkannya.

4. Mempunyai sifat adil dan taqwa.

5. Mestilah mempunyai sifat zuhud dari kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada kehidupan akhirat.

6. Hendaklah dia memiliki sifat sentiasa suka menyuruh dan mengajak kepada makruf dan mencegah perkara mungkar; sangat tegas dengan fikirannya, mempunyai pendapat dan pandangan sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai marwah dan kekuatan akal yang sempurna.

7. Dalam sejarah kerohanian, seorang shaykh seharusnya telah pernah bergaul, bersahabat dan berguru dengan shaykh-shaykh kerohanian dalam satu tempoh yang agak panjang.

Oleh itu, seseorang shaykh mesti seorang muslim yang memiliki pengalaman kerohanianyang luas serta kehebatan personaliti dan keluasan ilmu yang terhasil dari acuan dan adunan kefahaman yang mendalam mengenai syari'at Islam secara sepadu. Dan selaras dengan hal inilah kita dapati al-Qashani dalam Istilahat al-Sufiyyah menjelaskan:

" Shaykh itu merupakan seorang insan yang sempurna dalam pelbagai ilmu syari'at, tarekat dan hakikat: iaitu merupakan seorang yang sampai ke tahap kukuh sempurna dalam ilmu-ilmu berkenaan. Ini ialah kerana seseorang shaykh itu memiliki ilmu mengenai perkara-perkara yang boleh membinasakan al-nufus, mengenali pelbagai penyakit serta jenis penyakit al-nufus. Ia juga mengenali secara tepat ubat untuk penyakit al-nufus, dan berupaya pula menyembuhkan penyakit al-nufus serta boleh melaksanakan tugas menunjuk ajar al-nufus, sekiranya al-nufus tersebut disedia dan diselaraskan untuk menerima tunjuk ajar berkenaan. "

Hanya dengan wujudnya kriteria-kriteria yang antara lain-lain kita catatkan disini sahaja seseorang shaykh itu akan dapat berperanan dengan baikuntuk membimbing dan menangani persoalan-persoalan yang berkaitan dengan seseorang murid yang berada di bawah bimbingannya. Sebagai contoh: renungkan dengan teliti betapa perlunya seorang shaykh memiliki pengetahuan yang jelas mengenai isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah bilamana ia berhadapan dengan persoalan-persoalan sebagaimana dicatatkan oleh tokoh-tokoh sufi tersohor seperti berikut:

Al-Shaykh Abu Hassan al-Shadhili berpesan:

" Apabila Kashf engkau(yang engkau perolehi)bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka hendaklah engkau berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dan tinggalkan kashf tersebut. Dan katakan kepada diri engkau: Sesungguhnya Allah telah menjaminkan kepadaku kemaksuman kandungan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi tidak begitu halnya dengan kandungan al-kashf, ilham dan al-mushahadah, melainkan setelah(semua itu) dipadankan dengan (semangat kandungan) al-Quran dan al-Sunnah(lalu didapati tidak bertentangan dengan semangat isi kandungan kedua-dua sumber berautoriti tersebut) " -- Sahl b Abd Allah al-Tustari menjelaskan": Setiap pengalaman wajd yang tidak dipersaksikan(kebenarannya) oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah terbatal "

Sesungguhnya pengalaman-pengalaman seumpama al-kashf,al-ilham, al-wajd dan al-mushahadah merupakan di antara mereka yang kerap mendatangi diri kalangan orang yang terlibat dalam kehidupan bertasawuf. Persoalannya di sini ialah bagaimanakah seseorang shaykh yang mengalami secara peribadi pengalaman-pengalaman seumpama di atas, atau yang perlu menyelesaikan masalah yang diadukan oleh para muridnya yang mengalami masalah tersebut, dapat membuat padanan dan seterusnya membuat kesimpulan samada roh isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah bertentangan atau sebaliknya dengan isi kandungan pengalaman peribadinya atau pengalaman para muridnya, seandai shaykh itu sendiri tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi berhubung dengan roh kandungan al-Quran dan al-Sunnah. Jelaslah bahawa seseorang shaykh itu sewajibnya memiliki pengetahuan yang mencukupi berhubung dengan isi kandung al-Quran dan al-Sunnah. Kalau tidak demikian, maka shaykh dan para muridnya akan terdedah luas ke lembah penyelewengan.












No comments: