Thursday, May 20, 2010

RINGKASAN ILMU QIRAAT

ASAS MANHAJ IMAM-IMAM AL-QIRAAT

Al-Qiraat memberi maksud satu ilmu yang membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Quran dan keadaan kalimah-kalimah tersebut seperti panjang dan sebagainya. Ilmu al-Qiraat diasas oleh Imam-Imam Qurra'. Terdapat juga pendapat yang mengatakan ianya diasakan oleh Abu Umar Hafs bin Umar Al-Duri. ILMU Qiraat merupakan semulia-mulia ilmu kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan al-Quran dan hukul mempelajari ilmu al-Qiraat adalah fardhu kifayah. Proses pengajaran dan pembelajaran ilmu al-Qiraat ini mestilah diambil secara bertalaqqi dan musyafahah daripada seorang guru yang sanadnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. kerana Al-Quran dan al-Qiraat merupakan sunnah Muttaba' ( yang diikuti ).

Terdapat dua toriq(jalan) yang menjadi panduan utama dalam disiplin ilmu al-Qiraat ini iaitu Toriq al-Syatibi( al-Qiraat Tujuh ) melalui matan حرز الأمانى ووجه التهانى dan Toriq al-Jazari( al-Qirrat sepuluh ) melalui matan طيبة النشر فى القرءات العشر . Toriq al-Syatibi dinamakan dengan الصغرى kerana periwayatan beliau terhadap turuq Qiraat adalah kecil dan sedikit, bermaksud ia tidak menyeluruh dan mendalam terhadap kesemua turuq Qiraat. Sementara toriq al-Jazari pula dinamakan dengan الكبرى kerana periwayatan beliau terhadap Turuq Qiraat adalah menyeluruh dan mencakupi semua Turuq, walaupun terdapat perbezaan diantara kedua-dua Toriq tersebut dari susur periwayatan Turuq masing-masing. Namun kedua-dua Toriq ini adalah betul dan sohih.(ruj: Abd. Jalal A.Manaf:DQ)

Di Malaysia khususnya,kaedah pembelajaran dan pengajaran ilmu tajwid lebih cenderung kepada Toriq al-Syatibi. Umat Islam di Malaysia membaca Qiraat حفص عن عاصم menggunakan Toriq al-Syatibi.

pembahagian Qiraat itu terbahagi kepad beberapa bahagian besar. Imam Ibnu al-Jazari mengkategorikan Qiraat itu kepada lima jenis :

1. Qiraat Mutawatir
Ia itu Qiraat yang diriwayatkan oleh satu kumpulan yang besar dan terselamat dari berlaku sebarang pendustaan, seperti Qiraat yang terdapat dalam Toriq al-Syatibi dan Toriq al-Jazari.

2. Qiraat Masyhur
iaitu Qiraat yang sah sanadnya tetapi tidak mencapai tahap mutawatir. Menepati kaedah Bahasa Arab dan membetuli salah satu Mushaf Uthmani, masyhur di kalangan Imam Qurra' tetapi berlawanan jalan riwayatnya dengan Imam Tujuh dan ada setengahnya tidak.

3. Qiraat Aahad

Iaitu Qiraat yang sah sanadnya tetapi menyalahi kaedah Bahasa Arab atau bacaannya tidak masyhur di kalangan Imam Qurra'.

4. Qiraat Syazah

Iaitu Qiraat yang tiada sanadnya.

5. Qiraat Maudhu'

Iaitu Qiraat yang yang direka-reka yang bukan diambil dari Rasulullah s.a.w.
Qiraat Aahad, Qiraat Syaazah dan Qiraat Maudhu' tidak boleh dibaca kerana ianya bukan dinamakan al-Quran walaupun sanadnya sahih seperti sanad Aahad, tetapi qiraat tersebut tidak terdapat dalam Rasm 'Uthmani.



ISTILAH-ISTILAH PENTING

1. الصلـة
( صلة هاء الكنية ( ضمير Ia itu memanjangkan Ha' Dhamir atau kata gantinama misalnya إنه . Jika sebelumnya berbaris hadapan, diwasalkan dengan huruf و . Jika sebelumnya berbaris dibawah diwasalkan dengan ي .

صلة ميم الجمع pula bermaksud memanjangkan mim Jama', contohnya عليهم/إليكم diwasalkan dengan huruf و seperti terjadi عليهمو/اليكموا .

2. إدغام الكبير
Memasukan huruf yang pertama berbaris kepada huruf yang kedua juga berbaris dengan syarat tertentu, contohnya الرحيم

3. القصر
Menbaca huruf mad dengan kadar 2 harkat sahaja Contoh: ءادم

4. التوسـط
Membaca huruf mad antara mad dan Qasar atau memanjangkan huruf mad dengan kadar 4 harkat sahaja.

5. الإشباع
Memanjangkan suara dengan kadar tidak kurang dari 6 harkat. Contohnya: السماء

6. تثليث البدل
Mad badal boleh dibaca dengan 3 wajah wajah bacaan iaitu dengan 2, 4, dan 6 harkat ( bagi riwayat warsy sahaja ).

7. التسهيل
Menyebut bunyi diantara bunyi huruf Hamzah dan huruf mad. Contoh: ءأنذرتهم

Ketika berbaris di atas : antara Hamzah dan Alif
Ketika berbaris di bawah : antara Hamzah dan Ya'
Ketika berbaris di hadapan : antara Hamzah dan Wau

8. الإبدال
Iaitu diibdalkan( diganti) huruf ء kepada huruf mad menurut harakah sebelumnya. Jika sebelumnya berbaris diatas, diibdalkan kepada huruf ا , jika sebelumnya berbaris di bawah, diibdalkan kepada ي dan jika sebelumnya berbaris di depan, diibdalkan kepada و. Contoh:
يؤمنون / يومنون

9. إسقاط
Mengugurkan. Istilah ini biasanya digunakan pada bab Hamzah, samada Hamzah itu terdiri dari dalam dua kalimah atau dalam satu kalimah. Contoh : أوجاء أحد dibaca أو جا أحد.

10. إدخال
Iaitu memasukan alif ( ا ) antara dua Hamzah yang berbaris di atas, contoh : ءأنذر تهم
dan diantara Hamzah berbaris di atas dan di bawah: أئـــذا

11. نقـل
Iaitu dipindahkan harkat Hamzah kepada huruf sebelumnya, contohnya: من ءامن

12. الفتحـة
Iaitu membunyi huruf diantara Fathah Syadid dan Taqlil.

13. إمالة
Dikenali juga dengan Imalah Kubra iaitu sesuatu bunyi yang terhampir sekali dengan kasrah, contohnya: مجر ــها

14. تقليل
Dikenali juga dengan nama Imalah Sughra iaitu bunyi diantara Fathah dan Imalah.

15. ترقيق
Menipiskan bunyi huruf ra'

16. تفخيم
Menebalkan huruf ra', contohnya: رسول الله

17. تغليــظ
Khusus untuk huruf Lam sahaja, menebalkan bunyi huruf Lam sebelumnya terdapat huruf isti'la', contoh: الصلـوة/أظلم

18. الســكـت/سـكـتة
Iaitu memutuskan suara pada huruf bertanda sukun tanpa menarik nafas yang baru.



Ringkasan Imam-Imam Qiraat Dan Perawi-Perawi

Imam Nafi'

Perawi:
1. Qalun
2. Warsy

Imam Ibn Kathir

Perawi:
1. Al-Bazi
2. Qunbul

Imam Abu 'Amru

Perawi:
1. Al-Duri
2. Al-Susi

Imam Ibn Amir

Perawi:
1. Hisyam
2. Ibn Zakwan

Imam 'Asim

Perawi:
1. Syu'bah
2. Hafs

Imam Hamzah

Perawi:
1. Khalaf
2. Kallad

Imam Al-Kisaie

Perawi:
1. Abu al-Harith
2. Al-Duri



Imam Qiraat 7

1. Imam Nafi' al-Madani

Beliau ialah Nafi' bin Abdul Rahman bin Abi Nuaim. Gelaran mashur beliau ' Abu Ruaim ', berasal dari Asbahani, dilahir pada sekitar tahun 70H. Wafat di Madinah pada tahun 169H. Mempunyai ramai murid. Dua orang daripada mereka menjadi perawinya yang terkenal iaitu: Qalun( meninggal pd tahun 220H ) dan Warsy( meninggal pd tahun 197H).

2. Imam Ibn Kathir al-Makki

Beliau ialah Abdullah bin Kathir al-Makki, Gelaran mashur beliau Abu Ma'bad. Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 45H. Tergolong dalam zaman tabiin dan pernah berjumpa Abdullah bin Zubair, Abu Ayub Al-Ansari dan Anas bin Malik. Meninggal dunia pd tahun 120H di Makkah. Mempunyai ramai murid. Dua orang daripadnya mereka menjadi perawinya yang terkenal iaitu al-Bazi( meninggal pd tahun 250H ) dan Qunbul( meninggal pd tahun 291H ).

3. Imam Abu 'Amru al-Bashri

Beliau adalah Zabban bin Al-Alaa' bin Ammar Al-Basri. Dilahirkan di Makkah pada tahun 70H dan meninggal Dunia diKufah pada tahun 145H. Mempunyai ramai murid, dua daripada mereka menjadi perawinya dan terkenal iaitu Al-Duri( meninggal dunia pd tahun 246 )dan al-Susi ( meninggal pd tahun 261H ).

4. Imam Ibn 'Amir al-Dimasyqi

Beliau adalah Abdullah Ibn Amir Al-Syami Al-Yahsobi. Seorang Qadhi di Damsyik dizaman Khilifah Al-Walid Ibnu Abdul Malik. Beliau merupakan seorang tabiin. Dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia di Damsyik pada hari ' Asyura ' pada tahun 118H. Mempunyai ramai murid, dua daripada mereka menjadi perawinya terkenal iaitu Hisyam( lahir pd tahun 153H dan meninggal dunia pd tahun 245H )dan Ibn Zakwan( lahir pd tahun 173H dan meninggal pd tahun 242H ).

5. Imam 'Asim al-Kufi

Beliau adalah 'Asim bin bin Abdullah (Abi al-Najud) binBahdalah al-Asadi dan digelar Abu Bakar. Beliau juga dari kalangan tabiin. Meninggal dunia pd tahun 127H. Mempunyai ramai murid, dua daripada mereka menjadi perawinya yang terkenal iaitu Syu'bah( lahir pd tahun 95H dan meninggal pd tahun 193H )dan Hafs( lahir pd tahun 90H dan meninggal dunia pd tahun 180H ).

6. Imam Hamzah

Beliau adalah Hamzah bin Habib bin Ummarah Al-Ziati. dan mendapat gelaran Abu Ummarah. Beliau juga seorang ahli perniagaan yang kuat beribadat dan warak. mempunyai ramai murid dua daripada mereka menjadi perawinya yang mashur iaitu Khalaf ( meninggal dunia pd tahun 229H )dan Khallad( meninggal dunia pd tahun 220H ).

7. Al-Kisa'i

Beliau adalah Abu al-Hassan Ali bin Hamzah dan pakar dalam ilmu nahu. Beliau mendapat gelaran Kisa'i kerana ketika melakukan ihram beliau mengenakan pakaian kebesaran ( kisa ). Dilahirkan pd tahun 119H dan meninggal dunia di Ranbawaih pada tahun 189H. mempunyai ramai murid, dua daripada mereka menjadi perawinya yang terkenal iaitu Abu al-Harith ( meninggal pd yg sama 240H) dan Al-Duri ( meninggal dunia pd tahun 246H ).


Rujukan;

- حرز الأمانى ووجه التهانى
- Al-Ustaz Abdul Jalal bin Abd Manaf , 2010. Khulasah Ringkasan Ilmu Qiraat, Darul Quran.
- Al-Ustaz Mohd Nazri, Manhaj Qiraat 'Asyara. 2010, Darul Quran
- Abu Mardhiyah. Tajwid Al-Quran Qiraat 'Aasyim, 2004, Perniagaan Normah.

2 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum,
ingin bertanya sekiranya saudara tahu di kedai mana buku2 ini di jual.
- Al-Ustaz Abdul Jalal bin Abd Manaf , 2010. Khulasah Ringkasan Ilmu Qiraat, Darul Quran.
- Al-Ustaz Mohd Nazri, Manhaj Qiraat 'Asyara. 2010, Darul Quran
- Abu Mardhiyah. Tajwid Al-Quran Qiraat 'Aasyim, 2004, Perniagaan Normah.

saya berminat untuk membeli buku2 tersebut.

tok baa said...

Hehe..ustaz Jalal Manaf dok dgn saya di rumah sewa di Shubra dulu.